5 BINTANG HOLLYWOOD YANG BERGELAR AKTIVIS ALAM SEKITAR
Dunia semakin tenat dan memerlukan usaha lebih daripada aktivis dalam memelihara serta memulihara alam sekitar yang kian terjejas dek bencana dan kerakusan manusia.
Lihatlah bencana yang melanda di Los Angeles baru-baru ini. Kebakaran besar memusnahkan kediaman mewah di Pacific Palisades dan Malibu, sekali gus memaksa lebih 100,000 penduduk untuk berpindah.
Namun begitu, GL tabik usaha beberapa selebriti Hollywood yang menggunakan pengaruh mereka untuk menyebar kesedaran dan membantu memelihara alam sejak beberapa dekad lalu.
Siapakah selebriti yang galak menggalas tanggungjawab sebagai aktivis alam sekitar?
1. LEONARDO DICAPRIO
Merupakan salah seorang aktivis terkenal, aktor Titanic ini mengasaskan Leonardo DiCaprio Foundation pada 1998 untuk membantu menjamin masa depan yang mampan bagi planet kita. Pada 2010, yayasannya menderma sebanyak USD1 juta untuk melindungi harimau liar di Nepal.
Leonardo DiCaprio Foundation juga dianugerahkan USD80 juta dalam bentuk geran yang telah membiayai beberapa projek di lebih 50 negara di seluruh dunia. Dokumentari berjudul The 11th Hour yang diterbitkan pelakon itu berjaya mengumpul USD40 juta dan menjadi acara amal alam sekitar dengan kutipan tertinggi sepanjang masa.
2. MARK RUFFALO
Masyhur dengan watak The Hulk, Mark mendedikasikan kehidupannya lebih daripada sekadar dalam filem. Aktor berusia 57 tahun itu menjadi pengasas bersama The Solutions Project yang memberi galakan untuk beralih kepada penggunaan tenaga bersih.
Mark turut menggunakan platformnya untuk menggalakkan orang ramai beralih kepada tenaga suria daripada bahan api fosil. Dia terlibat secara aktif dalam kempen hijau dan pernah mengumpul derma sebanyak USD200,000 untuk Pertahanan Air.
3. MATT DAMON
Pada 1990, aktor Interstellar ini menjadi pengasas bersama Water.org, sebuah organisasi yang bertujuan untuk membekalkan dunia dengan akses kepada air bersih. Dek usaha ini Matt mendapat penghormatan di Anugerah Media Alam Sekitar pada 2013.
Menurut Water.org, organisasi itu telah membantu lebih 17 juta orang untuk mendapatkan akses kepada air bersih dan penapisan. Matt juga terlibat dalam dokumentari James Cameron dan Jerry Weintraub berjudul Not Reality TV yang memberi kesedaran tentang pemanasan global.
4. ADRIAN GRENIER
Pelakon Clickbait ini sememangnya terkenal dengan kerja-kerja amal. Sejak dua dekad lalu dia telah menyokong lebih 20 badan amal, kebanyakannya berkaitan dengan isu-isu yang menjejaskan persekitaran dan bagaimana ia mempengaruhi bekalan makanan.
Pada 2008 Adrian menerbitkan rancangan televisyen berjudul Alter Ego yang menampilkan dirinya dan sekumpulan pakar alam sekitar melakukan perubahan untuk menjalani gaya hidup lebih mesra alam dan mampan.
5. STING
Pemuzik ini menjadi selebriti terawal yang menyokong usaha melindungi hutan hujan tropika. Malah dialah yang mengasaskan Rainforest Foundation pada 1990 bersama isterinya Trudie Styler. Yayasan itu bertujuan untuk menyelamatkan hutan hujan tropika dan telah membantu memelihara lebih 115,000 kilometer persegi.
Foto: Getty Images
Pautan berkaitan: 7 BINTANG HOLLYWOOD YANG MERUPAKAN JURUTERBANG BERTAULIAH
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.