Skip to content

AKTRES CHARMED, SHANNEN DOHERTY MENINGGAL DUNIA PADA USIA 53 TAHUN

AKTRES CHARMED, SHANNEN DOHERTY MENINGGAL DUNIA PADA USIA 53 TAHUN

Kongsikan artikel ini

Selepas sekian lama bertarung dengan kanser, Shannen Doherty akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada 13 Julai 2024 (14 Julai waktu Malaysia).

Aktres yang terkenal pada tahun 90-an itu dilaporkan menghidap kanser payudara tahap empat. Berita duka itu dikongsikan bersama umum menerusi satu kenyataan daripada pegawai serantanya, Leslie Sloane.

“Dengan rasa duka cita saya ingin mengesahkan pemergian pelakon Shannen Doherty. Pada hari Sabtu, 13 Julai, dia tewas dalam perjuangannya selepas bertahun-tahun melawan kanser.

“Kala pemergiannya, dia dikelilingi oleh insan-insan tersayang dan anjing kesayangannya, Bowie. Keluarga Shannen memohon agar diberi ruang pada waktu ini agar mereka boleh menghadapinya dengan tenang,” kata Leslie.

Foto: Getty Images

Barah Shannen Doherty Merebak Ke Bahagian Lain

Pelakon Hot Seats ini disahkan menghidap kanser payudara pada 2015. Setahun kemudian, Shannen mendedahkan barahnya telah pun merebak ke nodus limfa dan dia percaya dirinya akan meninggal dunia dalam tempoh lima tahun.

Menerusi satu perkongsian di media sosial pada Jun 2023, Shannen mengumumkan kansernya telah pun merebak ke otak. Selepas menjalani pembedahan, doktor mengesan sel barah pada bahagian tulang pula, sekali gus memberinya peluang tipis untuk hidup.

Shannen mencipta nama sebagai pelakon kanak-kanak menerusi siri Little House On The Prairie dari tahun 1975 hingga 1983. Namanya menjadi sebutan di Malaysia selepas membintangi Beverly Hills 90210 pada 1990 seterusnya siri popular yang menjadi kegilaan ramai, Charmed pada 1998.

Shannen Doherty

Foto: The WB

Penglibatan terakhirnya dalam industri perfilemen adalah menerusi Darkness of Man yang ditayangkan di layar perak pada Mei lalu. Dalam filem arahan James Cullen Bressack itu, dia digandingkan bersama aktor terkenal Jean-Claude Van Damme.

 

Foto: MovieWeb

Pautan berkaitan: AKTOR THE HUNGER GAMES, DONALD SUTHERLAND MENINGGAL DUNIA