Skip to content

AMY LEE RESPONS ISU AMBIL ALIH TANGGUNGJAWAB SEBAGAI VOKALIS LINKIN PARK

AMY LEE RESPONS ISU AMBIL ALIH TANGGUNGJAWAB SEBAGAI VOKALIS LINKIN PARK

Kongsikan artikel ini

Kumpulan rock legenda, Linkin Park kini sibuk membuat perancangan untuk mengadakan reunion sekali gus konsert jelajah pada 2025.

Menurut laporan Billboard, ia akan melibatkan Mike Shinoda, Brad Delson serta Dave Farrell dan mereka kini sedang membuat pertimbangan untuk menggunakan khidmat vokalis wanita. Kumpulan itu berehat daripada industri muzik sejak tujuh tahun lalu selepas pemergian vokalisnya, Chester Bennington pada 2017.

Berita mengenai penyatuan semula ini disahkan oleh vokalis utama kumpulan Orgy, Jay Gordon pada bulan Mac. Katanya, dia diberitahu kumpulan tersebut sudah pun mendapat vokalis wanita sebagai pengganti.

“Linkin Park sememangnya kumpulan yang hebat. Mereka telah lama berada dalam industri dan masih terus bertahan. Tentunya sukar tanpa Chester, tapi lihatlah bagaimana nanti. Dengarnya mereka sudah jumpa penyanyi wanita. Itu apa yang saya dengar,” katanya.

Linkin Park

Namun tidak lama kemudian, dia mengeluarkan kenyataan menafikan perkara itu. “Berkenaan isu vokalis Linkin Park, saya tidak tahu apa-apa,” tulisnya. Dia turut meluahkan kekecewaan kerana kenyataannya diambil di luar konteks.

Linkin Park Masih Dalam Misi Pencarian

Sejak berita itu tular, peminat mula membuat spekulasi tentang siapakah penyanyi yang bakal menyertai reunion Linkin Park. Sehingga kini identitinya masih belum didedahkan, namun nama yang disebut-sebut peminat di media sosial adalah Amy Lee, vokalis Evanescence.

Dalam satu wawancara bersama iHeartRadio Canada pada April lalu, pemuzik berusia 43 tahun itu meletakkan noktah pada khabar angin yang sedang hangat bertebaran. Jelas Amy walaupun peminat berharap dia akan menyertai Linkin Park, kumpulan itu langsung tidak menghubunginya dan membuat sebarang tawaran.

“Ia sesuatu yang hebat. Jika mereka mahukannya, mereka patut menghubungi saya. Saya tak ada banyak masa lapang tapi saya boleh lakukannya secara sambilan,” ujarnya.

Amy Lee linkin park

Foto: Nick Fancher

Sohor sekitar tahun 2000-an, Linkin Park telah mengukuhkan namanya sebagai salah satu kumpulan rock paling berjaya dalam industri muzik global. Awal tahun ini mereka melancarkan sebuah album hit baru berjudul Papercuts. Ia mengandungi lagu Friendly Fire yang tidak pernah diperdengarkan sebelum ini, yang menampilkan vokal Chester sebelum kematiannya. Lagu ini menduduki tangga teratas dalam carta US Rock & Alternative Airplay.

 

Foto: Entertainment Weekly/X

Pautan berkaitan: AMIR MASDI TERUJA TERAJUI KONSERT SEARCH GEMURUH