Skip to content

ANDY MURRAY UMUM BERSARA DARI DUNIA TENIS

ANDY MURRAY UMUM BERSARA DARI DUNIA TENIS

Kongsikan artikel ini

Atlet Britain, Andy Murray akan menggantung raket tenis buat selamanya selepas temasya Olimpik Paris 2024 berakhir.

Pemain berusia 37 tahun itu berkongsi mengenainya dalam satu hantaran di Instagram yang dimuat naik pada 23 Julai. Andy akan bertanding acara perseorangan dan beregu pada penampilan kelimanya dalam sukan Olimpik.

“Tiba di Paris untuk kejohanan terakhir saya di Olimpik. Bertanding mewakili Great Britain adalah minggu paling diingati dalam kerjaya saya, dan saya sangat berbangga dapat melakukannya sekali lagi buat kali terakhir,” tulisnya.

Juara tiga kali Grand Slam itu turut memuat naik fotonya di atas podium Olimpik Rio 2016 selepas menggenggam pingat emas dalam acara perseorangan lelaki.

Sebelum mengumumkan persaraannya, Andy sempat berkongsi foto dengan pasukan Great Britain yang tiba di Paris dalam pakaian seragam mereka. “Paris,” tulisnya ringkas.

Andy Murray

Foto: Instagram

Usia & Kecederaan Mungkin Punca Andy Murray Bersara

Pengumuman ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana dia telah pun memberi bayangan akan bersara selepas meraih kemenangan keduanya sewaktu kejohanan Terbuka Dubai 2024.

“Saya mungkin tidak mempunyai masa terlalu lama, tetapi saya akan melakukan yang terbaik dalam tempoh beberapa bulan ini. Saya masih suka bertanding dan menggemari sukan ini, tetapi semakin sukar bersaing apabila meningkat usia, untuk memastikan badan terus cergas dan segar,” katanya selepas memenangi kejohanan itu.

Umum mengetahui bintang kelahiran Glasgow itu pernah menjalani pembedahan menggantikan tulang pinggul pada 2019. Dia juga mengalami masalah buku lali teruk awal tahun ini dan menjalani pembedahan membuang sista pada tulang belakangnya.

ANDY MURRAY UMUM BERSARA DARI DUNIA TENIS

Foto: Reuters

Selain menggondol pingat emas di Olimpik Rio 2016 dan Olimpik London 2012, Andy meraih pencapaian cemerlang dengan memenangi tiga Grand Slam. Tidak lupa dua gelaran Wimbledon pada 2013 dan 2016 serta kejohanan Terbuka AS pada 2012.

Tahun itu juga menyaksikan Andy membawa pulang pingat perak dalam acara beregu campuran bersama Laura Robson di Olimpik London 2012.

 

Foto: Getty Images

Pautan berkaitan: KERJAYA TENIS ROGER FEDERER BERAKHIR SELEPAS 24 TAHUN