Skip to content

ANGELINA JOLIE MENJELMA SEBAGAI PENYANYI SOPRANO IKONIK DALAM FILEM MARIA

ANGELINA JOLIE MENJELMA SEBAGAI PENYANYI SOPRANO IKONIK DALAM FILEM MARIA

Kongsikan artikel ini

Angelina Jolie muncul di Festival Filem Venice ke-81 yang berlangsung di Itali sempena tayangan filem terbarunya, Maria.

Naskah arahan pembikin filem Chile, Pablo Larrain itu menyaksikan Angelina menggalas watak sebagai penyanyi opera terhebat dalam sejarah, Maria Callas. Ia berkisar tentang kisah indah namun tragis mengenai hari-hari terakhirnya di Paris pada tahun 1970-an.

“Ada sesuatu tentang wanita seperti Maria Callas, juga Angelina Jolie. Mereka mempunyai aura tarikan fizikal di atas pentas, di hadapan kamera, malah walaupun ketika berada di dalam bilik. Anda dapat rasakan betapa besarnya nilai kemanusiaan yang mereka bawa.

“Jadi tidak sukar untuk Angie (Angelina Jolie) menjelma sebagai penyanyi itu dan memikul tanggungjawab yang diberi, kerana ia sudah pun ada dalam dirinya,” kata Pablo dalam satu kenyataan akhbar di Venice.

Angelina Jolie Maria Callas

Angelina Jolie ‘Berguru’ Dengan Maria Callas

Aktres berusia 49 tahun itu dilaporkan menghabiskan masa tujuh bulan untuk mempersiapkan diri bagi menggalas watak ikonik tersebut.

Pablo menambah, persiapan Angelina melibatkan beberapa peringkat. Ia bermula dengan latihan bersama jurulatih dan penyanyi opera untuk menguasai postur, pernafasan serta pergerakan penyanyi profesional, juga loghat Maria.

Menurut produksi, Angelina berlatih menyanyikan pelbagai opera atau aria Itali, di mana jurulatih merakam suara dan pernafasannya untuk memastikan aktres itu menguasai melodi dan pitch.

Angelina Jolie Maria Callas

Kebanyakan nyanyian dalam filem itu menggunakan persembahan sebenar Maria pada zaman kegemilangannya yang digabung bersama sedikit vokal Angelina. Pelakon itu berkata, mempelajari nyanyian opera adalah ‘terapi yang diperlukannya tanpa dia menyedarinya’.

Tambahnya, dia bertuah kerana dapat mempelajari secara terus daripada legenda itu sendiri. Ini kerana penyanyi soprano itu pernah bekerja sebagai jurulatih nyanyian opera dan rakaman kuliahnya masih wujud sehingga kini.

Selepas tayangan di Festival Filem Venice, Maria akan dipersembahkan pula di Festival Filem New York. Ia bakal disiarkan di platform penstriman popular Netflix tidak lama lagi.

 

Foto: Pablo Larrain

Pautan berkaitan: PENAMPILAN PERTAMA TIMOTHEE CHALAMET UNTUK FILEM BIOPIK BOB DYLAN