Skip to content

BINTANG LEGENDA PERANCIS, ALAIN DELON MENGHEMBUSKAN NAFAS TERAKHIR

BINTANG LEGENDA PERANCIS, ALAIN DELON MENGHEMBUSKAN NAFAS TERAKHIR

Kongsikan artikel ini

Pelakon popular Perancis yang menjadi pujaan sekitar tahun 60-an, Alain Delon meninggal dunia pada usia 88 tahun.

Berita duka itu dikongsikan anak-anaknya dalam satu kenyataan. Menurut mereka, pemergian Alain disebabkan oleh masalah kesihatan.

“Dengan rasa duka cita, kami Alain Fabien, Anoucha, Anthony dan Loubo (anjing peliharaan) ingin memaklumkan tentang pemergian bapa kami. Bapa meninggal dunia dengan tenang di rumahnya di Douchy, dikelilingi tiga anak dan ahli keluarga yang lain,” menurut kenyataan.

Media Perancis melaporkan, tahap kesihatan Alain merudum selepas diserang strok pada 2019 dan sejak itu dia jarang keluar dari kediamannya yang terletak di wilayah Val de Loire.

Penampilan awam terakhir mendiang adalah pada Mei 2019 ketika menerima anugerah Palme d’Or di Festival Filem Cannes.

Alain Delon meninggal dunia

Foto: Getty Images

Latar Belakang Kerjaya Alain Delon

Nama Alain sohor di seluruh dunia terutama Jepun sebagai seorang aktor dan pembikin filem berbakat besar. Bermata biru dan berwajah tampan, dia ada kalanya dirujuk sebagai ‘French Frank Sinatra’ – satu persamaan yang tidak disukainya.

Menceburi industri hiburan pada usia 22 tahun, popularitinya melonjak di persada antarabangsa selepas membintangi Purple Noon pada 1960. Dalam filem itu, dia menggalas watak sebagai Tom Ripley, seorang pengembara tampan namun tidak bermoral.

Alain terus membintangi barisan filem hebat lain termasuk Women Are Weak (1959), Rocco and His Brothers (1960), L’Eclisse (1962) dan The Leopard (1963).

Foto: Getty Images

Sepanjang kerjayanya, mendiang telah muncul dalam lebih 90 filem dan bekerjasama dengan ramai pengarah tersohor seperti Luchino Visconti, Jean-Luc Godard, Jean-Pierre Melville Michelangelo Antonioni dan Louis Malle.

Selain bergelar pelakon, pembikin filem serta penerbit, Alain juga bergelar penyanyi dan mengeluarkan satu duet popular bersama Dalida berjudul Paroles, Paroles (1973).

 

Foto: X

Pautan berkaitan: AKTOR THE HUNGER GAMES, DONALD SUTHERLAND MENINGGAL DUNIA