DARI BACKSTAGE KE SPOTLIGHT: PERJALANAN EPIK IZZUL FAIQ
Perjalanan Izzul Faiq dalam dunia hiburan bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Sebagai anak kepada pasangan penggiat seni, dunia ini telah menjadi sebahagian daripada hidupnya sejak kecil. Namun, keputusan untuk benar-benar menceburkan diri dalam bidang ini tidak berlaku sekelip mata. “Saya sering menemani ibu dan ayah bekerja, dan minat itu terpupuk secara semulajadi,” katanya. Bermula dari kerja-kerja di belakang tabir dan menjalani uji bakat lakonan, Izzul berjaya menempatkan diri dalam industri seni tanah air walaupun persaingan yang hebat.
Gaya Peribadi: Ringkas tetapi Berimpak
Ketika berbicara tentang gaya peribadi, Izzul menekankan pentingnya kesederhanaan. “Saya lebih memilih gaya yang ringkas, bersih, kemas, dan rapi, tetapi sesuai dengan situasi,” ujarnya. Baginya, gaya peribadi bukan sekadar soal pakaian, tetapi juga cerminan keperibadian seseorang. Walaupun lebih mengutamakan penjenamaan diri, beliau tetap perlu mengikuti perkembangan fesyen terkini, terutama sebagai selebriti yang sering menjadi perhatian umum.
Pengalaman yang Mematangkan
Sebelum mencapai kejayaan dalam bidang seni, Izzul pernah bekerja dalam pelbagai bidang. “Saya pernah menjadi pembantu jualan di kedai pakaian, bekerja di hotel, servis pendingin hawa, malah menjual buah-buahan segar,” katanya sambil tersenyum. Setiap pekerjaan ini memberikan pengalaman yang tidak ternilai, menjadikannya lebih memahami erti kerja keras dan disiplin.
Kini, Izzul sibuk dengan beberapa projek terbaru, termasuk filem Munajat Kekasih yang akan ditayangkan pada awal tahun 2025. Filem ini turut menampilkan nama besar seperti Mira Filzah dan Remy Ishak. Selain itu, beliau juga terlibat dalam beberapa drama dan web drama yang sedang dalam perbincangan. “Alhamdulillah, peluang ini adalah rezeki yang sangat saya hargai,” katanya.
Nasihat untuk Generasi Baru
Sebagai seorang yang telah melalui perjalanan penuh cabaran, Izzul percaya bahawa usaha dan disiplin adalah kunci kejayaan. “Jangan malas menimba ilmu, terutama daripada pelakon senior,” tegasnya. Menurut Izzul, set penggambaran bukanlah tempat untuk belajar lakonan. “Hafal dialog dan berlatih sebelum ke set. Jadilah pelakon yang bertanggungjawab dan hormati masa orang lain.”
Wanita Idaman dan Fesyen
Bagi Izzul, wanita yang memahami kerjayanya dan bijak berbicara adalah wanita idamannya. Beliau turut mengagumi Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai ikon inspirasi. “Beliau kekal relevan dan menjadi contoh terbaik bagi generasi muda,” katanya penuh kagum.
Dalam dunia fesyen, Izzul berpendapat bahawa wanita adalah trendsetter sebenar. “Wanita berhijab kini memberi impak besar dalam dunia fesyen, dan keyakinan diri mereka membuatkan mereka lebih menyerlah,” katanya.
Dari seorang yang bekerja di belakang tabir hingga menjadi pelakon yang semakin dikenali, kisah Izzul Faiq adalah inspirasi kepada mereka yang bercita-cita tinggi. Dengan usaha dan dedikasi, beliau membuktikan bahawa apa sahaja impian boleh dicapai, asalkan ada keberanian untuk mencuba dan ketekunan untuk terus maju.
ARTIKEL BERKAITAN: FAHD DHAF, “MATLAMAT UTAMA SAYA ADALAH UNTUK DAPAT BERJALAN UNTUK PEREKA DI PARIS ATAU MILAN FASHION WEEK.”
Tags
Artikel Yang Berkaitan
PERJALANAN ZARIF GHAZZI MENJADI ANAK SENI
Zarif Ghazzi adalah seorang pelakon muda yang bersemangat dan berjiwa besar.