DARI FOTOGRAFI KE FESYEN, GAYA MUHAMMAD IMRAN
Bermula dengan kamera di tangan, Muhammad Imran kini mencipta ruangnya sendiri dalam dunia fesyen. Daripada fotografi hingga peragaan, setiap langkah menjadi sebahagian daripada perjalanan membentuk gaya dan identitinya. Kali ini, GLAM Lelaki menyelami cerita di sebalik lensa dan gaya Muhammad Imran.
1. Boleh kongsikan sedikit tentang perjalanan anda dalam dunia content
creator dan fotografi? Apakah yang mendorong anda untuk bermula?
Sebenarnya, perjalanan saya bermula dengan fotografi terlebih dahulu, sebelum saya betul-betul terlibat dalam dunia content creation. Saya memang sudah berminat untuk mengambil gambar sejak zaman sekolah menengah lagi. Pada waktu itu, saya hanya menggunakan telefon sahaja sebab saya belum mempunyai bajet yang cukup untuk membeli kamera. Tapi bagi saya, peralatan bukanlah sesuatu yang patut menghalang kita daripada mula berkarya. Dengan apa yang kita ada pun, kita masih boleh belajar dan teroka.
Apabila saya melanjutkan pengajian di luar negara, saya akhirnya berjaya membeli kamera pertama saya, iaitu Fujifilm X-T5, menggunakan duit simpanan sendiri. Bagi saya, itu merupakan satu kejayaan yang agak bermakna sebab kamera tersebut bukan sekadar sebuah kamera, tetapi hasil daripada duit yang saya kumpul sendiri untuk sesuatu yang saya memang minat.
Sejak daripada itu, kamera dan mobile photography menjadi dua perkara yang saya masih buat sehingga ke hari ini. Apa yang saya suka tentang fotografi ialah ia membuatkan kita lebih kreatif. Kita mula belajar tentang sudut, komposisi, pencahayaan, warna, penyuntingan dan bagaimana sesuatu gambar boleh memberikan rasa yang berbeza walaupun subjeknya sama.
Untuk dunia content pula, pada awalnya saya sebenarnya tak begitu yakin dengan diri sendiri untuk mula berkarya. Saya selalu fikir, “Okay ke kalau aku post benda macam ni?” atau “Ada ke orang yang akan suka content aku?” Tetapi dengan dorongan daripada kawan-kawan dan ahli keluarga, saya perlahan-lahan berani keluar daripada comfort zone dan cuba perkara baharu.
Saya belajar bahawa kita tak semestinya perlu menghasilkan sesuatu yang terlalu rumit. Kadang-kadang, dengan mencipta content yang ringkas, bersahaja dan dekat dengan kehidupan kita sendiri pun sudah cukup untuk berhubung dengan orang lain. Kalau ada seseorang yang tengok content saya dan rasa terinspirasi, atau mungkin mempunyai minat yang sama seperti saya, bagi saya itu sudah menjadi satu kepuasan tersendiri.
2. Bagaimanakah anda menggambarkan gaya peribadi anda? Adakah gaya
anda berubah atau berkembang dari semasa ke semasa?
Bagi saya, gaya atau fesyen itu sangat subjektif. Setiap orang mempunyai pandangan, citarasa dan interpretation yang berbeza terhadap sesuatu pakaian. Apa yang seseorang anggap menarik, mungkin tidak semestinya menjadi pilihan orang lain. So, I think fashion is really about how you express yourself.
Untuk diri saya sendiri, gaya saya memang sentiasa berubah dan berkembang dari semasa ke semasa. Saya bukan seseorang yang mempunyai satu gaya yang tetap. Saya suka mencuba benda baharu, explore different looks dan melihat apa yang sesuai dengan diri saya. Dalam masa yang sama, saya juga suka mengikuti perubahan trend semasa supaya saya tidak terlalu terikat dengan satu jenis penggayaan sahaja.
Bagi saya, apabila kita berani mencuba sesuatu yang baharu, secara tidak langsung ia boleh meningkatkan keyakinan diri. Kadang-kadang kita rasa sesuatu outfit itu mungkin bukan gaya kita, tetapi bila kita pakai dan cuba bawa diri dengan yakin, tiba-tiba keseluruhan gaya tersebut nampak berbeza.
Menariknya, perubahan gaya tidak semestinya datang daripada pakaian sahaja. Walaupun kita memakai outfit yang sama, perubahan pada gaya rambut, misai, jambang, aksesori ataupun cara kita gayakan pakaian boleh memberikan interpretasi yang sangat berbeza kepada orang lain.
Jadi bagi saya, gaya personal bukan tentang cuba untuk menjadi seperti orang lain. It is more about finding what works for you, kemudian perlahan-lahan diterapkan untuk menjadi identiti diri sendiri.
3. Bagaimanakah anda mengikuti perkembangan terkini dalam dunia fesyen
dan gaya lelaki?
Dengan perkembangan media sosial sekarang, sebenarnya sangat mudah untuk kita mengikuti perkembangan dunia fesyen. Hampir semuanya berada di hujung jari. Platform seperti TikTok dan Instagram banyak membantu saya melihat fashion trends yang sedang berkembang, terutamanya melalui FYP dan recommendation.
Daripada situ, saya boleh tengok bagaimana orang lain menggayakan sesuatu outfit, jenis kombinasi warna yang digunakan, bagaimana mereka mix and match pakaian dan juga trend yang sedang popular sekarang. Tetapi saya tidak semestinya akan ikut semua trend tersebut. Saya lebih suka mengambil inspirasi dan kemudian fikir, “Okay, benda ni sesuai tak dengan personal style aku?”
Selain TikTok dan Instagram, saya rasa Pinterest memang antara platform yang sangat membantu, terutamanya untuk beginner seperti saya. Kalau saya tak tahu nak pakai apa atau nak cari idea untuk sesuatu event, Pinterest biasanya menjadi titik permulaan saya. Kadang-kadang saya hanya search benda yang simple seperti “men minimalist outfit”, “classic menswear”, “casual outfit” atau “smart casual”. Dari situ boleh keluar macam-macam idea. Tak kisah untuk lelaki atau perempuan, Pinterest memang sangat berguna untuk mencari inspirasi.
Bagi saya, yang penting bukan sekadar follow trend, tetapi kita kena tahu bagaimana untuk adapt trend tersebut kepada diri sendiri. Sebab akhirnya, pakaian itu bukan hanya tentang apa yang sedang trending, tetapi bagaimana kita rasa selesa dan yakin apabila memakainya.
4. Boleh kongsikan pilihan fesyen atau gaya peribadi anda untuk tahun 2026?
Untuk tahun 2026, saya banyak mencuba gaya minimalis dan klasik outfit. Walaupun umur saya baru 25 tahun, saya perasan saya semakin kurang tertarik dengan streetwear yang terlalu loud atau terlalu banyak elemen dalam satu outfit. Saya lebih suka sesuatu yang clean, simple dan timeless. Bagi saya, fesyen minimalis tidak semestinya bermaksud membosankan. Kadang-kadang outfit yang paling simple sebenarnya boleh nampak sangat elegan apabila pemilihan cutting, warna dan fitting itu betul.
Sudah semestinya, lain orang lain citarasanya. Ada orang lebih suka streetwear, ada yang suka oversized, ada yang suka warna yang terang dan ada juga yang suka gaya klasik. Semua itu bergantung kepada personaliti masing-masing. Untuk saya, penggayaan yang minimal dan klasik memberikan satu feeling yang lebih mature dan pada masa yang sama meningkatkan keyakinan diri. Bila kita rasa selesa
dengan apa yang kita pakai, kita akan bawa diri dengan cara yang berbeza.
Walaupun begitu, gaya peribadi saya tidak semestinya sentiasa sama. Ada masa saya berpakaian santai untuk pergi cafe atau keluar dengan kawan-kawan, ada masa saya perlu dress up untuk event, photoshoot atau kerja. Jadi, saya masih suka explore different looks mengikut keadaan. Saya rasa itu yang menarik tentang fashion, kita boleh berubah mengikut mood, occasion dan fasa kehidupan kita.
5. Boleh ceritakan tentang salah satu karya atau projek yang paling bermakna dan tidak dapat dilupakan sepanjang perjalanan anda?
Bagi saya, salah satu projek yang paling bermakna sepanjang perjalanan saya ialah projek modelling bersama brand pakaian tradisional, KHATAM. Projek ini sangat istimewa untuk saya kerana ia merupakan antara langkah pertama saya untuk benar-benar menceburi bidang modelling.
Apa yang menariknya, peluang tersebut sebenarnya bermula dengan sesuatu yang sangat mudah. Bermula daripada sekadar tag di Instagram Story dan kemudian approach melalui DM, akhirnya saya diberikan peluang untuk menjadi salah seorang muka untuk jenama yang cukup dikenali di Malaysia.
Bagi saya, itu merupakan satu pengalaman yang saya tidak sangka akan berlaku. Pada awalnya memang ada rasa gementar dan kurang yakin sebab saya bukan seseorang yang dari awal mempunyai latar belakang dalam modelling. Saya selalu tertanya-tanya sama ada saya cukup bagus atau sesuai untuk berada dalam bidang ini.
Tetapi saya percaya, rezeki Tuhan tidak pernah salah alamat. Bila peluang itu datang, saya fikir kenapa tidak cuba? Dengan galakan daripada keluarga dan orang-orang yang berada di sekeliling saya, saya memberanikan diri untuk keluar daripada comfort zone. Daripada pengalaman tersebut, saya belajar bahawa kadang-kadang kita terlalu memikirkan sama ada kita cukup bagus atau tidak, sedangkan sebenarnya kita hanya perlu berani untuk mengambil peluang yang datang.
Projek KHATAM bukan sahaja memberikan saya pengalaman modelling, tetapi ia juga membuka mata saya bahawa mungkin ada sisi diri saya yang sebelum ini saya sendiri tidak pernah diterokai. Dari situ, saya mula lebih yakin untuk mencuba peluang-peluang lain dalam bidang fesyen, modelling dan content creation.
6. Siapakah atau apakah yang menjadi inspirasi anda dalam menghasilkan
karya dan membentuk gaya peribadi anda?
Saya sebenarnya mengikuti beberapa pempengaruh fesyen dari dalam dan luar negara. Antara individu yang banyak menjadi inspirasi kepada saya ialah @pipirazi. Bagi saya, dia merupakan salah seorang fashion personaliti yang mempunyai gaya yang sangat menarik.
Apa yang membuatkan saya tertarik ialah caranya menggabungkan fizik, grooming dan fesyen dalam satu look. Saya suka bagaimana dia boleh membawa gaya yang minimal, klasik dan pada masa yang sama ada sedikit elemen retro. Saya juga tertarik dengan caranya menggayakan pakaian tradisional seperti baju Melayu bersama sampin. Apabila saya tengok bagaimana sesuatu pakaian tradisional boleh dibawa dengan cara yang moden tetapi masih mengekalkan elemen klasik, ia membuatkan saya sendiri ingin explore gaya tersebut.
Selain individu tertentu, saya juga banyak mendapat inspiration daripada orang di sekeliling saya, media sosial, street style, jenama fesyen dan juga fotografi. Kadang-kadang satu gambar yang saya nampak di Instagram atau Pinterest pun boleh memberikan saya idea untuk satu outfit atau photoshoot. Saya rasa inspirasi itu tidak semestinya datang daripada satu sumber sahaja. Kita boleh ambil sedikit daripada seseorang, sedikit daripada sesuatu trend dan kemudian gabungkan semuanya dengan personaliti kita sendiri. Kesudahannya, saya tidak mahu menjadi salinan orang lain. Saya lebih suka mengambil inspirasi daripada orang yang saya kagumi dan kemudian sesuaikan dengan gaya saya sendiri.
7. Apakah yang boleh kami nantikan daripada anda untuk tahun 2026?
Adakah terdapat sebarang projek atau kolaborasi menarik yang bakal hadir?
Walaupun kita sudah hampir ke penghujung tahun 2026, sejujurnya, nothing much is confirmed at the moment. Saya tidak mahu terlalu banyak tunjukkan sesuatu yang masih belum pasti. Tetapi untuk diri saya sendiri, saya berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak jenama, terutamanya jenama tempatan yang mempunyai identiti dan konsep yang menarik.
Sekarang ini sudah lebih kurang setahun saya berada dalam bidang modelling, dan saya masih melihat diri saya sebagai seseorang yang sedang belajar. Saya masih banyak benda yang perlu diperbaiki — dari segi posing, expression, confidence, styling, cara bekerja dengan camera dan juga bagaimana untuk membawa diri dalam sesuatu photoshoot. Saya percaya perjalanan ini bukan tentang menjadi perfect dalam masa yang singkat. It is about improving yourself little by little dan mengambil setiap peluang sebagai satu pengalaman baharu.
Setakat ini, belum ada projek besar yang boleh saya umumkan, tetapi saya terbuka kepada peluang-peluang baharu. Mungkin ada sesuatu yang masih di luar bidang saya sekarang, dan sejujurnya, saya rasa itu juga sesuatu yang menarik untuk dicuba. Untuk tahun depan, Insya-Allah saya berharap dapat keluar lagi daripada comfort zone saya. Saya mahu cuba lebih banyak perkara, berjumpa dengan lebih ramai orang, collaborate dengan lebih banyak creative people dan mungkin explore bidang yang sebelum
ini saya tidak pernah fikir untuk cuba.
Saya tidak tahu ke mana perjalanan ini akan membawa saya, tetapi buat masa sekarang, saya cuma mahu terus mencipta, belajar dan memperbaiki diri. Kalau ada rezeki untuk bekerjasama dengan jenama atau individu yang menarik, saya akan cuba sebaik mungkin untuk grab the opportunity.
Bagi saya, perjalanan ini masih panjang dan saya baru sahaja bermula.
Pautan berkaitan: PENGARUH FESYEN, GAYA, DAN PERSONALITI OSCAR YUHANG
Tags
Artikel Yang Berkaitan
PENGARUH FESYEN, GAYA, DAN PERSONALITI OSCAR YUHANG
Kenali Oscar Yuhang, wajah baharu dalam dunia fesyen dan salah seorang pengasas 365uniform, serta gaya peribadi yang menjadi identitinya.
LEBIH LONGGAR, LEBIH BERGAYA: TREND OVERSIZED KEMBALI POPULAR
Oversized kembali mencuri perhatian dengan siluet longgar, selesa dan bergaya yang semakin menjadi pilihan generasi kini
DARI AKTOR KE STAIL IKON: 5 PELAKON TEMPATAN DENGAN GAYA VERSATIL
Kenali 5 selebriti Malaysia yang bukan sahaja menyerlah di layar, tetapi turut mencuri perhatian dengan stail dan identiti fesyen tersendiri.
LIMA TIPS FESYEN UNTUK TAMPIL BERGAYA ALA KABILAN JELEVAN
Daripada jam tangan flashy hingga seluar yang tampil baggy, GL melampirkan lima tips fesyen untuk tampil bergaya ala Kabilan Jelevan.
ANALISIS TREND UTAMA DI PENTAS KLFW 2026
Terokai trend utama KLFW 2026 dari sentuhan batik moden, gaya jalanan berani, hingga busana lelaki terkini di pentas peragaan tempatan.
KIT WOO: EKSPLORASI FALSAFAH “NOTHING IS FINISHED”
Terokai koleksi Kit Woo di KLFW 2026 bertemakan ‘Nothing Is Finished’. Pembaharuan siluet dekonstruksi maskulin di pentas peragaan.











