EMPTY PAGE. KEMBALI DENGAN ‘BERDOSA’, BANGKITKAN TRAUMA LAMA
Selepas mencuri perhatian menerusi lagu ‘mata(hari)’, kumpulan pop rock Empty Page. kembali dengan single terbaharu berjudul ‘BERDOSA’
Bukan semua kisah patah hati datang daripada perspektif insan yang terluka. Ada masanya, kita sendiri adalah puncanya. ‘BERDOSA’ merupakan sebuah karya rock alternatif Empty Page. yang membawa pendengar menyelami sisi penyesalan selepas menyakiti insan tersayang. Diterbitkan sebagai single pertama Empty Page. bagi tahun 2026, lagu ini ditulis oleh Zic, Zac dan Alip, sebelum dilengkapkan dengan sebuah video muzik yang menampilkan pelakon Qistina Rania.

Menariknya, lagu ini tidak sekadar mengulang formula lagu patah hati yang lazimnya berkisar tentang individu yang ditinggalkan atau dilukai. Sebaliknya, Empty Page. memilih untuk melihat kisah ‘BERDOSA’daripada perspektif si pelaku. Seseorang yang terpaksa berdepan rasa bersalah selepas menyakiti orang yang disayangi.
Ada rasa sesal, ada keinginan untuk memperbaiki keadaan, namun dalam masa sama hadir persoalan sama ada seseorang itu masih layak untuk dimaafkan. Menurut Zic, yang juga merupakan penulis lirik utama kumpulan itu, lagu ini lahir daripada sisi manusia yang pernah melakukan kesilapan dan terpaksa berdepan dengan akibat daripada perbuatan sendiri.
“Saya bukanlah orang yang baik. Saya pun pernah sakiti orang tanpa sengaja. Tapi sebagai manusia, kita cuba untuk sedar dan muhasabah kelakuan kita, dan sentiasa cuba untuk memperbaiki diri, walaupun kadangkala kita rasa seperti tidak berhak untuk dimaafkan.”
‘BERDOSA’ Cetus Perbualan di Media Sosial
Kejujuran tersebut ternyata berjaya menyentuh pendengar apabila ‘BERDOSA’ mula mencetuskan perbualan di media sosial termasuk Threads, TikTok dan YouTube. Lebih daripada sekadar komen mengenai muzik, ruangan komen lagu tersebut turut menjadi ruang buat pendengar berkongsi pengalaman dan kisah peribadi masing-masing. Segalanya termasuk tentang penyesalan, kesilapan lalu serta individu yang pernah mereka sakiti. Bagi Zac dan Alip, sambutan tersebut merupakan sesuatu yang tidak dijangka.
“Kami pun tak sangka ramai yang boleh relate dengan lagu ini dan sudi luahkan cerita mereka. Tapi kami bersyukur dan sangat menghargai peminat yang sudi mendengar, serta berkongsi cerita mereka dengan kami.”

Barangkali di situlah kekuatan ‘BERDOSA’. Ia tidak cuba meletakkan seseorang sebagai mangsa atau penjahat sepenuhnya. Sebaliknya, lagu ini mengingatkan bahawa manusia juga boleh melakukan kesilapan, menyesal dan belajar daripada perkara yang pernah dilakukan.
Untuk Empty Page., pendekatan tersebut selari dengan identiti mereka. Mereka kekal mengangkat kejujuran dalam penulisan dan perjalanan muzik sebagai sebuah kumpulan yang bergerak secara independent. Empty Page. terdiri daripada Zic sebagai vokalis dan penulis lirik, Zac sebagai gitaris serta produser, manakala Alip memainkan peranan sebagai pemain dram dan komposer.
‘BERDOSA’ kini boleh didengarkan di pelbagai pelantar penstriman muzik termasuk Spotify dan Apple Music sejak 18 September 2026. Video muzik rasmi lagu tersebut yang menampilkan Qistina Rania pula boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Empty Page.
Pautan berkaitan: GL PLAYLIST: 10 LAGU IKONIK SEPANJANG ZAMAN YANG DILANCARKAN PADA BULAN OKTOBER
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
RECAP GL THE MAN AWARDS 2025: 10 BEST LOOK PILIHAN GLAM LELAKI
GLAM Lelaki memilih 10 best look yang menjadi pilihan kami pada hari acara GL The Man Awards 2025, bertemakan black & sleek.
SNEAKERLAH BAWAKAN LAHLAHLAND 2025 BUAT HUJUNG MINGGU ANDA
LahLahLand 2025: Bersatunya budaya, komuniti serta gaya hidup anak muda di Malaysia di satu tempat yang sama!
KENALI BAND POP ROCK HANGAT, EMPTY PAGE
Band pop rock hangat Malaysia, empty page. membawa nama mereka ke seluruh negara dengan bakat mereka yang tersendiri.








