Skip to content

EMINEM RAI PENCAPAIAN PERIBADI TERBESAR DALAM HIDUP

EMINEM RAI PENCAPAIAN PERIBADI TERBESAR DALAM HIDUP

Kongsikan artikel ini

Walaupun sudah melakar pelbagai kejayaan dalam kerjaya muzik, ada satu lagi pencapaian hidup Eminem yang membanggakannya: 16 tahun bebas daripada ketagihan dadah.

Penyanyi berusia 51 tahun itu meraikan ulang tahun istimewa tersebut dengan memuat naik fotonya memegang ‘recovery chip’ yang tertulis, “16. Unity, service and recovery.” Dia tidak menulis apa-apa di ruangan kapsyen.

Pemilik nama Marshall Mathers ini berjaya keluar daripada perangkap najis dadah sejak April 2008. Antara tahun 2002 dan 2008, dia bergelut dengan ketagihan terhadap Ambien, Valium dan Vicodin.

Dalam podcast Paul Pod: Curtain Call 2 dua tahun lalu, Eminem mengimbas kembali bagaimana dia mengambil dos secara berlebihan sehingga hampir meragut nyawanya pada 2007. Akuinya, dia sendiri tidak tahu bagaimana boleh terselamat. Setahun selepas bebas daripada dadah, penyanyi ini mengeluarkan album studio keenamnya, Relapse.

Eminem

Foto: Instagram

Eminem Luah Keterujaan Dalam Lagu

Dalam podcast sama, Eminem mengakui berasa amat gembira selepas tubuhnya tidak lagi menjadi hamba dadah. Tambahnya, sudah lama dia tidak berasa teruja dan seronok menghasilkan album. Namun ketika pembikinan album Relapse, dia menikmatinya setiap saat walaupun terpaksa belajar semula bagaimana untuk melakukan rap.

“Otak saya mengambil masa yang lama untuk pulih dan berfungsi dengan baik,” katanya mengenai kesan penyalahgunaan dadah terhadap fizikalnya.

Eminem telah berkongsi pencapaian hebatnya ini di media sosial sejak bertahun-tahun. Pada April 2020, dia meraikan ulang tahun ke-12 dengan menulis, “Clean dozen, in the book!” Tambahnya, “I’m not afraid,” merujuk kepada lagunya Not Afraid daripada album Recovery (2010).

Lirik lagu itu berbunyi, “It was my decision to get clean. I did it for me. Admittedly, I probably did it subliminally for you, so I could come back a brand new me.”

 

Foto: Page Six

Pautan berkaitan: G-DRAGON BIGBANG TERLIBAT DALAM SKANDAL DADAH?