KENALI MR. E, EZWAN ZAIN BAKAL SUAMI ERRA FAZIRA
Pada 12 Disember 2025, primadona Malaysia dikhabarkan bakal mengikat tali perkahwinan bersama lelaki pilihannya, Ezwan Zain.
Dalam dunia hiburan tanah air, nama Erra Fazira bukan lagi asing. Figura tersohor yang sering digelar primadona Malaysia ini kembali mencuri perhatian apabila mengumumkan bahawa beliau bakal menamatkan zaman solo. Setelah setahun mengenali hati budi, Erra akhirnya menemukan kebahagiaan bersama lelaki pilihan hatinya. Seorang usahawan berjaya dan pemilik rangkaian restoran Kueh, Ezwan Zain, atau lebih mesra disapa Mr. E.
Pengumuman penuh emosi itu dibuat pada majlis pelancaran dan tayangan perdana muzik video Cinta Abadi 2025, di sebuah hotel. Dalam nada sebak, Erra yang kini berusia 51 tahun, memohon doa agar segala urusan pernikahannya dipermudahkan. Hubungan Erra dan Ezwan mula dihidu umum selepas Erra memuat naik ucapan romantis buat lelaki berkenaan pada Januari lalu. Sejak itu, peminat dan warganet semakin tertanya-tanya siapakah gerangan jejaka yang berjaya menawan hati primadona Malaysia ini.
Siapakah Mr. E?
Nama penuhnya ialah Mohamad Ezwan bin Mohamad Zain, seorang usahawan berusia 44 tahun yang berasal dari Selangor. Lebih dikenali dengan nama komersial Ezwan Zain, dia merupakan pengasas Kueh Cafe. Kueh Cafe ialah satu rangkaian restoran popular di Lembah Klang yang terkenal dengan sajian kuih tradisional, kek serta kopi istimewa. Anak sulung daripada tiga beradik ini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Mechatronics and Robotics, dan memulakan kerjaya dalam industri minyak dan gas sebelum memilih haluan keusahawanan. Sikap rajin, rendah diri dan mesra pula menjadikan Ezwan seorang usahawan yang disenangi ramai. Dia juga menerajui Demogi Sdn Bhd sebagai CEO, selain bergiat dalam pelbagai cabang perniagaan termasuk carwash, kilang kayu terpakai dan sektor pembinaan.
Dalam kehidupan peribadinya, Ezwan merupakan seorang duda yang dikurniakan seorang anak perempuan daripada perkahwinan terdahulu. Walaupun jadualnya padat dengan urusan perniagaan, Ezwan sentiasa dikenali sebagai seorang ayah penyayang yang dekat dengan keluarga. Sebelum dikenali menerusi Kueh Cafe, Ezwan sebenarnya memulakan langkah awal keusahawanan dengan membuka Restoran Nasi Lemak Cinta Sayang, satu perniagaan kecil-kecilan yang menjadi tapak kepada kejayaan hari ini. Minat mendalam terhadap kebebasan dan kepuasan dalam berniaga mendorong beliau terus mengembangkan empayar makanan dan minuman di sekitar Lembah Klang.
Erra Fazira & Ezwan Zain: Cinta Yang Dipelihara Dengan Tenang
Kisah cinta mereka berkembang secara tertutup dan matang. Erra pernah melalui dua perkahwinan sebelum ini, bersama Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003 dan Engku Emran pada 2007. Hasil perkahwinan keduanya, Erra dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, kini berusia 16 tahun. Selepas melalui pelbagai fasa kehidupan, Erra akhirnya bertemu kebahagiaan baharu bersama Ezwan. Sokongan, keserasian dan ketenangan hubungan mereka jelas terpancar, menjadikan berita pernikahan ini disambut penuh gembira oleh peminat.
Pada 12 Disember ini, Erra Fazira bakal bergelar isteri kepada Ezwan Zain. Permulaan baharu yang penuh harapan. Semoga laluan mereka menuju hari bahagia dipermudahkan dan hubungan ini kekal hingga ke hujung nyawa.
Pautan berkaitan: AMIR HAIQAL SEORANG TIMBALAN PENDAKWA RAYA DENGAN PENDEKATAN GAYA HIDUP SIHAT
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
10 RANCANGAN ‘MUST WATCH’ SEPANJANG JUN 2023
Dari filem “Extraction 2” lakonan Chris Hemsworth kepada siri hangat terbaharu “The Idol” lakonan The Weeknd dan Lily-Rose Depp, laman penstriman utama membariskan 10 rancangan ‘must watch’ sepanjang Jun 2023.
3 FILEM BUATAN MALAYSIA PERLU TONTON RAYA INI DI NETFLIX
Laman penstriman gergasi, Netflix membariskan tiga karya tempatan yang perlu anda tonton bersempena raya tahun ini bermula 27 April 2022.







