Skip to content

KISAH INSPIRASI & DIDIKAN BERGAYA CIKGU ‘HOT’ WAN MOHD KHAIRI

Kongsikan artikel ini

Ibarat lilin menerangi gelita, begitulah pengorbanan seorang guru. Jasa dan budi mereka tidak dapat dihitung serta dinilai dengan wang ringgit atau dibalas dengan apa sahaja. Malah di zaman milenial ini, peranan guru hari ini tidak hanya sebagai golongan pendidik mengajar subjek tertentu dalam pendidikan tetapi menjadi pembimbing serta pembentuk personaliti murid. Itulah peranan yang dipegang Wan Mohd Khairi, salah seorang guru yang sudah lama menabur bakti mendidik anak-anak muridnya menjadi bangsa berguna. Yang menariknya, dek personaliti, rupa serta pembawaan dirinya yang sentiasa dilihat tampil kemas, segak bergaya, Wan Mohd Khairi bukan saja terkenal di laman sekolahnya, namun di laman-laman sosial sehinggakan dirinya dilabelkan antara guru paling kacak di Malaysia. Lantas, ibarat selebriti Wan Mohd Khairi sering kali dipanggil untuk ditemubual di dalam rancangan stesen-stesen tv dan radio tempatan. Malah, laman sosialnya turut dihujani dengan ratusan komen memuji dirinya yang dilihat sentiasa tampil bergaya walaupun kerjaya guru dilihat ada tekanannya yang tersendiri.

How he managed to stay calm, cool and stylo? GL terpanggil untuk menghubungi Wan Mohd Khairi atau lebih ramah dipanggil Wan dan mendekatinya dengan lebih dekat. Oleh itu, teruskan membaca temubual eksklusif kami bersamanya.

GLAM LELAKI: Boleh anda ceritakan serba sedikit mengenai diri anda?

Assalamualaikum. Hi pada semua pembaca-pembaca GLAM Lelaki. Baiklah, nama saya Wan Mohd Khairi Bin Wan Hassan dan berumur 30 Tahun. Saya diilahirkan pada 25.02.1987 dan dibesarkan di Felda Chalok Barat, Setiu, Terengganu. Saya anak ke 6 daripada 8 adik beradik. Saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Saya merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Reka Bentuk Dan Teknologi dari IPG Kampus Pendidikan Teknik, Kuala Lumpur. Setelah lima tahun setengah menuntut di Bandar Metropolitan, pada 7.02.2011 saya ditempatkan untuk mengajar di luar bandar iaitu di Sekolah Kebangsaan Satak, Raub, Pahang.

Sekolah ini adalah satu satunya sekolah yang terdiri daripada semua anak murid orang asli di Daerah Raub. Pertama kali menjejaki kaki di sekolah ini, pelbagai perasaan yang wujud dan tak tahu nak kata suka atau sebaliknya. Dengan liputan telefon yang kadang ada kadang tiada, ia menambahkan lagi gundah gelana hati bujang saya sewaktu itu. Ia seakan-akan menjadi realiti akan cerita-cerita keperitan guru-guru pedalaman yang pernah saya dengar sebelum ini. Namun saya bertuah kerana masih lagi boleh ke Bandar Raub yang hanya 36KM jauhnya dengan melalui jalan tar yang baik. Saya diberi kepercayaan untuk mengajar Bahasa Melayu Tahun 3 dan Reka Bentuk dan Teknologi Tahun 4 dan 5.

GLAM LELAKI: Kenapa minat mengajar? Kongsikan kepuasan yang anda dapat?

Pengalaman empat bulan praktikal di sekolah berprestasi tinggi seperti di SK Convent Bukit Nanas 1, KL menjadikan saya seorang yang menyintai dunia pendidikan. Sekolah ini banyak mengajar saya tentang keseronokan dalam mengajar dan membentuk jati diri seseorang. Lantas, saya gunakan pengalaman itu di SK Satak namun setelah setahun, pendekatan yang saya gunakan tidak membawa banyak peningkatan dari segi akademik murid-murid asli ini. Oleh demikian, saya harus membuat anjakan paradigma supaya saya tidak  tertekan dan murid juga mendapat manfaat. Saya akui mungkin mereka kurang berminat dalam akademik, tetapi saya percaya setiap orang ada kelebihan.

Menurut teori Howard Gardner manusia mempunyai sembilan kecerdasan pelbagai jadi kenapa harus saya tertekan jika murid tak dapat menerusi satu bidang. Tahun kedua saya diberi amanah untuk menjadi warden asrama. Dari situ saya menggunakan kelebihan mereka iaitu menyanyi dan menari. Saya dan pihak pentadbiran merencanakan pelbagai program, dan setiap nama program harus gempak, canggih dan trending seperti yang ada di kaca TV. Contohnya, Jelajah Kampung Fear Factor Satakianz, Konsert Kpop Star, Candle Light Dinner, Satakianz Idol. Program-program ini sama seperti makan malam, sambutan hari jadi, pertandingan nyanyian dan program masuk kampung namun ianya diubah menjadi urban dan segar. Dengan kekuatan itu, maka tertubuhlah kelab muzik dan kebudayaan “Satakianz Entertainment Crew” pada 2013 dan kelab ini telah pun membuat pelbagai persembahan rasmi kerajaan dan yang terkini ialah persembahan sempena Majlis Pengisytiharan Tahun Melawat Pahang 2017 baru baru ini. Satu penghormatan kerana memilih murid kami dalam acara yang disempurnakan oleh Pemangku Sultan Pahang. Begitu juga aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, murid-murid mudah menerima dan  melalui aktiviti ini, peningkatan kehadiran ke sekolah dapat dicapai, pendidikan itu bermula dari awal dan berterusan.

GLAM LELAKI: Sebagai seorang guru, pasti tertekan apabila berhadapan dengan murid-murid bukan? Bagaimana agaknya awak mengekalkan diri untuk bertenang, tampak sentiasa ceria dan segak? Boleh kongsikan?

Tidak dinafikan kerjaya guru ini banyak cabaran dan ia boleh buat kita tertekan jika kita tidak berjaya menguruskan masa. Bila gagal dalam pengurusan masa, ia akan terkesan kepada lambakan kerja yang banyak dan impaknya boleh membuatkan kita stres. Anak murid saya tidak mendatangkan tekanan kerana mereka sangat lucu, comel dan buat hati kita sentiasa nak ke sekolah. Tetapi stres itu datang bila kerja-kerja pengkeranian tak dapat diselesaikan dengan baik. Bagi saya, personaliti dan penampilan itu perlu bertaraf artis atau ikon fesyen. Tak kiralah waktu stres atau pun tidak. Terma ini hanya untuk panduan diri sendiri bagi memotivasikan diri supaya sentiasa kelihatan menarik. Guru perlu bergaya kerana guru adalah role model kepada anak murid. Rahsia nampak cool? Stay humble, go gorgeous! Bergaya? Selagi tidak melanggar etika penampilan sebagai seorang penjawat awam, banyak cara nak bergaya dan nampak menarik.

GLAM LELAKI: Awak mula dikenali sebagai salah seorang cikgu paling hot di Malaysia. Boleh awak ceritakan perasaan dan kenapa awak rasa awak boleh tiba-tiba popular?

Eh taklah. Saya biasa-biasa saja. Apa-apa pun saya sangat berterima kasih kepada sesiapa saja yang memberikan saya gelaran tersebut. Segala pujian saya kembalikan pada Yang Maha Agung. Popular secara tiba tiba itu apabila kisah saya bersama anak murid disiarkan di satu blog pada 2015 dan sejak dari itu banyak media cetak dan media elektronik menghubungi saya untuk menyiarkan kisah saya dalam media mereka. Terima kasih pada semua.

Populariti itu tidak kekal dan saya juga tidak terlalu memerlukan populariti namun saya sedar ia membawa impak yang menarik kepada profesion perguruan dan mungkin sebagai sumber inspirasi kepada anak-anak muda. Saya jadinya ini sebagai perkara yang positif. Label hot itu pula bagi saya terlalu berat, ia akan membuatkan orang yang tidak pernah berjumpa dengan saya terasa ingin berjumpa. Jadi dilabel ‘hot’, seakan dihambat bayang-bayang sendiri untuk muncul di awam.  Kalau tidak yakin dengan apa yang disarungkan, maka niat akan terbantut. Kerana itu saya katakan label hot itu terlalu berat dan mungkin tidak sesuai untuk saya.

Namun yang menariknya, sejak penularan isu label ‘hot’ kepada saya, alhamdulillah ia menarik perhatian pihak AirAsia yang sudi menaja kami seramai 40 orang melawat AirAsia REDQ, AACE malah berpeluang menaiki kapal terbang terbesar airasia sempena ulang tahun ke-9 AirAsiaX. Dan yang membanggakan tahun ni Ceo AirAsia Aireen Omar bersetuju menaja empat orang murid cemerlang (bersama dua orang guru pengiring) selama 3 hari 2 malam ke pulau Langkawi sebagai motivasi untuk mereka terus cemerlang

GLAM LELAKI: Awak dilihat sering kali tampil segak dan bergaya. Ceritakan serba sedikit mengenai stail fesyen peribadi awak. Kenapa pentingnya seorang cikgu seperti awak menjaga penampilan dan gaya?

Sudah terbiasa dididik dengan berpakaian kemas apabila keluar dari rumah, apabila melanjutkan pengajian di bandar besar, ia semakin menjadi keperluan dan kebiasaan. Oleh kerana itu, tampil segak dan bergaya itu sangat dituntut. Siapa yang tak suka dengan kecantikan dan kekemasan. Kalau kita suka, kenapa tidak menjadi seperti itu. Lebih lebih lagi saya seorang guru yang mana ia banyak mempengaruhi minat murid terhadap pelajaran yang kita ajar. Sebab saya akui, minat saya terhadap subjek Lukisan Kejuruteraan sehingga mendapat A1 semasa belajar di SMT Wakaf Tembusu dulu adalah kerana penampilan cikgu yang menarik.

GLAM LELAKI: Siapakah inspirasi awak dalam berfesyen?

YB Khairy Jamaluddin. Bijak, kacak, fashionista dan berjiwa rakyat. Itu kenamaan dan kalau bukan kenamaan, tentulah ayah saya sendiri. Sentiasa kemas, rapi dan bersifat penyayang.

GLAM LELAKI: Awak juga dilihat seorang yang menjaga penampilan menerusi kecergasan. Mungkin awak boleh ceritakan serba sedikit tip-tip awak menjaga kesihatan yang boleh dikongsikan bersama pembaca kami.

Sejak berkahwin dan mempunyai anak untuk diberi perhatian, saya tidak lagi ke gim dan ia telah merubah corak kecergasan saya. So, untuk mengekalkan kecergasan, seminggu dua kali saya mesti mengeluarkan peluh dengan berjoging atau berzumba di rumah. Saya bertuah kerana isteri juga akan berzumba dengan saya dirumah. Kebiasaanya 45-60 minit utk satu sesi.

GLAM LELAKI: Sekiranya awak ditawarkan untuk terjun dalam bidang seni, seperti lakonan dan pengacaraan adakah awak sudi menimbangkannya?

Alhamdulillah, saya pernah ditawarkan untuk berada di bawah pengurusan artis yang agak popular dan pernah ditawarkan untuk berlakon. Tetapi saya menolaknya dengan baik kerana bidang lakonan memerlukan masa dan komitmen yang sememangnya tidak sesuai untuk saya sebagai guru. Berbeza dengan pengacaraan, jika ada tawaran saya akan menimbangkannya sekiranya tidak mengganggu waktu kerja saya. Biasanya aktiviti banyak diadakan pada waktu hujung minggu, jadi saya akan lebih mendahului aktiviti sekolah terlebih dahulu sebelum menimbangkan tawaran tersebut.

GLAM LELAKi: Nasihat awak untuk semua lelaki-lelaki di luar sana untuk pentingnya menjaga penampilan dan peribadi.

Menjaga penampilan dan peribadi bukan bersifat material. Setiap apa yang disarungkan ke badan itu melambangkan keperibadian kita. Kemas dan menarik itu subjektif jadi apa yang kita rasakan sesuai dan selesa sudah memadai. Tetapi tip paling mudah bagi menjaga penampilan bagi lelaki ialah jika baju sudah berbau akibat peluh, tukarlah baju lain.

GLAM LELAKI: Kata-kata akhir buat semua yang mengikuti perkembangan diri anda?

Terima kasih buat pihak GLAM Lelaki kerana sudi menyiarkan kisah saya, dan terima kasih juga kepada semua pengikut-pengikut di laman sosial saya atas sokongan dan kata-kata positif yang diberikan.  Saya amat menghargainya. Saya doakan kalian  dirahmati tuhan, dan doa-doakan yang terbaik juga buat saya. Amin.

TRIVIA :

Penerima anugerah:

– Anugerah Ikon Guru Daerah Raub sempena sambutan hari guru peringkat daerah raub 2016

– Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendidikan Pahang 2015

– Anugerah Guru Linus Cemerlang Daerah Raub 2012 sempena Majlis Kecemerlangan Linus Daerah Raub

Ihsan photo: Instagram Wan Mohd Khairi (@vnkery)

Oleh Wan Mohd Firdaus (@wanmohdfirdaus), 19 Mei 2017

By Wan Firdaus
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

RENAISSANCE FILEM BY BEYONCÉ DITAYANGKAN DISEMBER INI

Bacaan Lanjut

“USAH RISAU TENTANG KEMASYHURAN DAN KEKAYAAN, IA AKAN DATANG SENDIRI” – DATO’ SRI BERNARD CHANDRAN #GLALPHAMEN2023

Bacaan Lanjut
Tomok diangkat sebagai Alphamen GLAM Lelaki 2023

“JANGAN MUDAH LEKA DAN LALAI DENGAN SEGALA IMPIAN YANG INDAH DI LUAR SANA” – TOMOK #GLALPHAMEN2023

Bacaan Lanjut

“KITA PERLU MENORMALISASIKAN PERBUALAN KESIHATAN MENTAL. HENTIKAN STIGMA SETIAP LELAKI PERLU “SUCK IT UP” ATAU “BE A MAN” – KHOON HOOI #GLALPHAMEN2023

Bacaan Lanjut
#NYFW: COOL KIDS DI PERTUNJUKAN COACH MUSIM BUNGA 2024

#NYFW: COOL KIDS DI PERTUNJUKAN COACH MUSIM BUNGA 2024

Bacaan Lanjut

7 SEBAB LELAKI RENDAH LEBIH BAGUS UNTUK WANITA

Bacaan Lanjut