Skip to content

MENJAGA SEMPADAN PENTING BUAT TEH FIRDAUS UNTUK MENJAGA REPUTASI

MENJAGA SEMPADAN PENTING BUAT TEH FIRDAUS UNTUK MENJAGA REPUTASI

Kongsikan artikel ini

GLAM Lelaki bertemu pereka fesyen Teh Firdaus di butiknya yang terletak di Seri Kembangan, Selangor, istimewa buat isu cetakan September 2025. Mencuri sedikit masanya dalam kesibukan kerja dan urusan peribadi, Firdaus meluangkan masa bersama GLAM Lelaki untuk berkongsi cerita dan momen manisnya sebagai pereka fesyen.

Muhammad Firdaus Bin Awang Teh, antara wajah baharu yang menjanjikan masa depan cerah buat industri fesyen tempatan. Dalam temu bual kami bersama pereka muda ini, sisi introvertnya turut menyerlah — tenang, jujur, dan penuh ilham.

Jenama Teh Firdaus mula meniti bibir ramai selepas YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam memilih busana rekaannya untuk majlis khatam Al-Quran menjelang perkahwinan baginda. Momen bersejarah itu meninggalkan kesan mendalam. Firdaus mengakui dirinya menangis sendirian di bucu butik, terharu dengan kegembiraan yang sukar digambarkan. Sebuah pengalaman yang terasa seperti mimpi, tetapi nyata. Dalam dunia fesyen yang luas, Firdaus muncul sebagai individu terpilih untuk merasai keistimewaan yang tidak mudah dimiliki orang lain.

teh firdaus

Berasal dari Kedah, Firdaus memulakan langkah dalam dunia kejuruteraan awam. Namun hatinya, sejak awal, sudah terpaut pada seni. Selesai pengajian di sekolah teknik, dia memilih untuk mengikut kata hati, menyambung pelajaran dalam bidang seni dan rekaan. Minatnya terhadap melukis menjadi benih awal yang tumbuh menjadi cinta terhadap fesyen. Daripada pensel dan kertas, lahirlah busana yang membisik cerita.

Namun perjalanan membina nama bukan semudah melakar di kanvas. Firdaus menempuh pelbagai cabaran demi menambat kepercayaan pelanggan. Setiap tahun, Dia mendisiplinkan diri untuk terus berkembang — menjadikan setiap koleksi satu refleksi evolusi, dengan sentuhan yang sentiasa berbeza dan berani.

teh firdaus

Dari Malaysia Ke Brunei Membawa Nama Teh Firdaus

Segalanya bermula dengan sebuah panggilan daripada seorang pelanggan setia. Yang telah lima tahun setia bersama Firdaus, dan kini membawa satu permintaan istimewa: mereka busana untuk seorang klien misteri di Brunei. Tanpa mengetahui siapa yang menantinya di seberang laut, Firdaus menyahut peluang itu dengan penuh harapan.

Dia tidak tahu bahawa langkah itu akan membawa dirinya kepada YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam. Sosok diraja yang kelak akan menjadi antara penyokong terbesarnya dalam dunia fesyen. Hari ini, lebih dua tahun selepas pertemuan pertama itu, Firdaus telah mereka hampir 60 busana untuk baginda.

teh firdaus

Dari majlis khatam Al-Quran hingga hari perkahwinan, setiap helaian mencerminkan kehalusan sentuhan dan keanggunan rekaannya. Gaya minimalis dan elegan yang menjadi identiti Firdaus ternyata memberi impak besar. Bukan hanya kepada penampilan sang puteri, tetapi juga kepada reputasinya sebagai pereka muda yang sedang mencorak masa depan fesyen Malaysia dan rantau ini.

Apabila menyentuh soal kehidupan peribadi, Firdaus mengakui bahawa dia lebih selesa meluangkan masa bersama pasukan kerjanya daripada bersosial dengan orang luar. Dari hanya dua atau tiga orang pada awalnya, kini pasukannya telah berkembang kepada hampir 18 orang. Setiap satu dihargai dan dianggap sebagai tulang belakang kepada kejayaan jenama ini.

“Saya tidak datang dari keluarga yang senang. Jadi bila saya diberi peluang untuk membina sesuatu dan menikmati sedikit keselesaan, saya benar-benar fokus,” kongsinya dengan jujur.

Sejak mula, Firdaus lebih cenderung untuk menjauh dari keramaian industri fesyen — bukan kerana angkuh, tetapi kerana keutamaannya jelas: membangunkan jenama yang dibina dengan penuh usaha, dedikasi dan kasih sayang.

Berfikiran Terbuka Dalam Kreativitinya

Memilih Dato’ Rizalman Ibrahim dan Alia Bastamam sebagai ikon fesyen tempatan, Firdaus terinspirasi oleh gaya ringkas namun elegan yang menjadi tanda tangan kedua-dua lagenda ini. Di peringkat antarabangsa pula, nama seperti Elie Saab, Jason Wu, dan Maison Schiaparelli turut menduduki senarai pereka yang sangat dihormati olehnya.

Setiap kritikan yang diterima Firdaus sambut dengan terbuka. Sebagai peluang untuk memperbaiki setiap kekurangan dengan penuh rendah hati. “Tiada siapa mahu menjatuhkan periuk nasi sendiri,” ujarnya ketika ditanya bagaimana dia menghadapi kritikan.

Kejayaan tidak datang tanpa cabaran dan konflik. Firdaus sering disalah anggap dalam hal memilih kasih terhadap pelanggannya, padahal setiap pelanggan dijaga dengan penuh keadilan supaya layanan yang diberikan setara dan saksama.

Bagi Firdaus, sempadan atau “boundaries” adalah aspek penting, terutama sekali dalam menjaga reputasi jenama Teh Firdaus. Pengalaman mengajarnya untuk meletakkan had yang jelas agar tidak tersasar dari landasan yang diinginkan. Seperti yang pernah diungkapkan, “It’s okay to say no.”

Setiap tempahan diuruskan dengan penuh teliti dan hanya diterima antara tiga hingga empat bulan sebelum majlis, demi memastikan kualiti hasil rekaan sentiasa terjaga. Bagi Firdaus, yang penting adalah populariti jenama, bukan dirinya sendiri. Dia lebih selesa berada di sebalik tabir nama besar ini, serta berinteraksi secara peribadi dengan pelanggan. Walaupun rona hitam dan midnight blue menjadi kegemarannya, Firdaus tetap memadukan warna-warna pastel dalam rekaannya, selaras dengan citarasa pelanggan. Perjalanan Firdaus menempatkan namanya dalam industri fesyen Malaysia adalah sumber inspirasi yang besar. Mungkin selepas menakluk pasaran Malaysia dan Brunei, nama Teh Firdaus bakal mekar lebih luas ke pentas dunia.

Pautan berkaitan: