Skip to content

PEMERGIAN NABIL ZAMANHURI DITANGISI

PEMERGIAN NABIL ZAMANHURI DITANGISI

Kongsikan artikel ini

Industri hiburan tanah air berdukacita atas pemergian Nabil Zamanhuri atau lebih dikenali sebagai Nabil Mentor pada 26 Mei 2024.

Penyanyi dan pelakon itu disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung. Menurut keluarganya, dia mengalami sesak nafas sebelum dikejarkan ke Hospital Ampang.

Ibu Nabil, Fatimah Abdullah berkata dia dimaklumkan tentang kesihatan anaknya yang kurang baik oleh menantunya, Adelia Citra Hapsari. Nabil menunjukkan tanda-tanda kurang sihat pada waktu Subuh.

“Sewaktu Nabil mahu solat subuh, isteri maklumkan keadaannya sudah mula nampak tidak baik dan mengalami kekejangan. Jadi, dia terus hubungi saya.

“Ketika sedang bercakap, saya ada dengar suara Nabil seolah-olah sudah nazak. Kemudiannya, kami terus hubungi ambulans dan arwah dibawa ke hospital dalam masa 30 minit kemudian.

“Kalau diikutkan arwah disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang, pukul 9.15 pagi tadi, namun keadaannya sudah mula merosot sejak di rumah,” katanya, menurut laporan Kosmo.

Nabil Zamanhuri

Foto: Instagram

Tambah Fatimah, anaknya tidak mempunyai sebarang penyakit namun ada mengadu sakit perut beberapa bulan lalu.

Rakan Selebriti Berkongsi Momen Bersama Nabil Zamanhuri

Naib Juara rancangan realiti Mentor musim pertama itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana sekitar pukul 6.20 petang pada hari sama. Lebih 100 orang termasuk ahli keluarga, kenalan terdekat dan rakan seindustri hadir mengiringi perjalanan terakhirnya. Ini termasuk mentornya Datuk Nora Ariffin, Nabil Ahmad, Ubai MZ, Alif Satar dan Lah Ahmad.

Rakan artis meluahkan rasa duka atas pemergian penyanyi itu di media sosial. Kongsi Lah, dia sempat berbalas mesej dengan Nabil sehari sebelumnya. Dia memuat naik tangkap layar perbualan terakhir mereka di Instagram.

“Tak sangka semelam itu mesej kau yang terakhir buat abang. Dalam kenangan selalu. Seorang sahabat yang sentiasa mengukir senyuman dalam apa jua keadaan sekali pun. Salam takziah buat seluruh keluarga,” tulisnya.

Tangkap layar itu menunjukkan Nabil teruja kerana berpeluang bekerjasama dengan Lah. “Antara sesi rakaman paling best dan paling banyak belajar daripada abang Lah masa ini,” ujarnya.

Datuk Nora pula berkata dia memahami keperitan yang dilalui ibu Nabil kerana pernah kehilangan anak lelakinya, Muhammad Syakir Aliff pada 2019.

Foto: Kosmo Digital

“Saya tahu bukan mudah kehilangan seorang anak tetapi Allah lebih sayangkan dia dan saya doa ibunya tabah dan redha. Mengenali arwah, dia seorang yang periang dan selalu sibuk dengan kerja-kerjanya. Kalau tengok ramai kawan-kawan dan saudara mara yang hadir sebab semua sayangkan dia.

“Nabil sangat manis orangnya. Masa dia bergelar protege saya, tak rasa macam sedang bekerja. Saya memang anggap dia sebagai anak sendiri dan bangga dengan semua kejayaannya. Bila tatap wajah arwah pun senyum saja dia. Sedih tapi dalam masa sama saya tahu Allah lebih menyayanginya,” katanya, menurut mStar.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua cahaya mata perempuan, Aluna Calista, 7 serta Stara, 3. Salam takziah daripada Glam Lelaki.

 

Foto: Instagram

Pautan berkaitan: LAPAN TAHUN MENDERITA MASALAH BUAH PINGGANG, NAZRUL RABBANI MENINGGAL DUNIA