SYED SADDIQ – LANTANG, BERKARISMA & BERWAWASAN
Syed Saddiq – Lantang, Berkarisma & Berwawasan
Persepsi saya berubah seratus peratus setelah mendekati Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 23 tahun. Sebelum ini, saya hanya mengenali Syed Saddiq menerusi pembacaan akhbar, paparan Instagram juga perkongsiannya di media sosial. Bermula akhir tahun lepas, namanya cukup hangat sekali diperkatakan. Nak jugalah saya tahu siapa Syed Saddiq sebenar.
Harus diakui, ada beberapa perkongsian di media sosial saya terbaca menggambarkan Syed Saddiq, tetapi ia sangat berbeza dengan yang saya kenali pada hari pertemuan. Biasalah, dah dikenali ramai, pasti ada cerita positif dan cemuhan negatif. Lumrah manusia biasa. Yang paling mengejutkan saya adalah Syed Saddiq sebenarnya punya ‘sense of humor’. Dia bukanlah serius atau sombong seperti diperkatakan. He is one cool guy to hang out with. Apa sahaja topik boleh kami bual. Jangan terkejut, topik tentang Selena Gomez pun kami cerita bersama.
Sering sibuk dengan tugasan, dia baru sahaja pulang dari Amerika. Menurutnya, lawatan ke Amerika bertujuan untuk menyertai kursus akademik selama dua bulan untuk membincangkan tentang isu-isu semasa. Kongsinya lagi, banyak pengalaman baru dilalui sepanjang mengikuti kursus bermanfaat tersebut. Melalui cerita ringkasnya, saya tahu dia tidak pernah jemu menimba pengetahuan baru.
Siapakah Syed Saddiq?
“Siapakah Syed Saddiq?” soal saya bernada santai. Dia memikirkan seketika, lantas menjawab, “Saya orang yang bangga menjadi anak Malaysia. Ini semua disebabkan semangat patriotisme telah dididik sejak bersekolah di Maktab Tentera Diraja (RMC). Setiap pelajar RMC akan ‘dibasuh’ supaya mencintai negara. Dan ternyata ia berjaya mengubah diri saya ke arah lebih baik.”
Sambung Syed Saddiq, “Saya berasal dari Johor Bahru dan baru habis jurusan Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Dan kalau nak tahu, saya sangat kuat bekerja. Sama seperti ibu saya. Pada masa sama, saya melakukan lima kerja sambilan. Saya turut bergelar pensyarah sambilan dalam subjek pengucapan awam, penyelidik di Bait Al-Amanah dan pelatih debat untuk junior saya di UIA dan pasukan debat kebangsaan. Tapi sekarang, saya sedang memfokuskan terhadap pergerakan belia. Saya sedang giat menyertai mana-mana pergerakan atau organisasi berjuang secara aktif khusus isu-isu berkaitan belia. Dan tak lama lagi saya akan memperkenalkan landasan baru khusus golongan belia.”
TIMBA PENGALAMAN DI RMC
Syed Saddiq memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Taman Perling, Johor Bahru dan kemudiannya meneruskan pengajian menengah di Maktab Sultan Abu Bakar (English College). “Saya bersekolah di sekolah sama dengan tempat ibu saya mengajar. Ibu saya bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di EC. Apa sahaja saya cuba lakukan di sekolah pasti akan diketahui ibu. Buat nakal sikit, pasti ibu tahu. Haha. Nak ada girlfriend pun susah!”
Setelah mendapat keputusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Syed Saddiq melanjutkan pengajian menengah di RMC. Biarpun terpaksa menempuh pelbagai bentuk cabaran sepanjang bersekolah di RMC, dia tetap menganggap pengalaman dua tahunnya di RMC antara paling bermakna dalam hidupnya. Ia juga telah mengubah dan membentuk dirinya hari ini.
“What have you learned there?” “Dua perkara! Menjadi lebih tabah dan mudah rasa simpati terhadap sesuatu perkara. Kalau you jumpa saya lima tahun lalu, I was a completely different person.” “Beza yang bagaimana?” “I was a bigot. Yes, a bigot. Boleh bayangkan tak? Saya tersangat malu dengan diri saya terdahulu. Boleh dikatakan dengan semua orang, saya akan mengecam, menyakat dan diskriminasi mereka tanpa mengira perasaan. Tapi setelah bersekolah di RMC, barulah saya berubah. Kerana di situ saya dapat berjumpa dengan pelbagai jenis orang yang datang dari latar belakang berlainan. Pelbagai ragam, perwatakan dan seksualiti orang pernah saya kenali. Lantas, ia mengubah cara saya memandang orang lain. Acceptance juga saya belajar di sekolah tersebut.”
I love everything about the military
Seperti mana diketahui, RMC adalah institusi pendidikan yang amat mementingkan disiplin. Yang biasa kedengaran, setiap pelajar akan dilatih seperti tentera. Mungkin mencabar bagi sesetengah daripada kita, tetapi tidak buat Syed Saddiq. Ceritanya, “Seawal jam 4.30 pagi saya perlu bangun dan melakukan persiapan untuk keesokan hari. Selepas tamat sesi belajar, kami akan menghadiri sesi latihan tentera sampai waktu petang pula. Setelah terbiasa dengan rutin tersebut, ia sedikit sebanyak mendidik saya agar menjadi orang lebih tabah juga sabar. Tak takut akan cabaran. Sehinggalah hari ini, saya sudah terbiasa tak tidur lebih daripada lima jam. Kalau terlebih, saya akan rasa rugi dan amat bersalah.”
Tambah Syed Saddiq, arwah datuknya banyak mempengaruhi minatnya terhadap bidang tentera. Dan cintanya terhadap bidang tentera telah pun dipupuk sejak kecil. “I love everything about the military. Saya gemar membaca majalah-majalah tentang ketenteraan seperti Parajurit dan Tempuh.”
Cerita Syed Saddiq lagi, banyak pengalaman menyeronokkan dialaminya sepanjang menceburi bidang perdebatan. Antaranya, dia berpeluang mengembara ke 25 negara juga menerima layanan kelas pertama daripada pihak-pihak tertentu. “Atas tuntutan debat, saya berpeluang mengembara ke serata dunia. Dari situlah saya belajar banyak benda baru melalui pendekatan budaya dan berkenalan dengan penduduk di sana. Tentang layanan pula, tiada satu pun aduan. Tetapi, saya taklah suka dilayan berlebih-lebih. Cukup sekadar biasa-biasa sahaja.”
Syed Saddiq, anak kedua dari empat beradik, mendapat anugerah pendebat terbaik Asia semasa mewakili UIA dalam Kejohanan Debat Bersatu Asia (UADC) di Bali, Mei lalu. Malah, pasukan debatnya juga menempatkan universiti Islam itu di tempat ke-10 daripada 440 pasukan semasa Kejohanan Debat Universiti Dunia (WUDC) ke-35. Tahun ini telah menandakan lima tahun Syed Saddiq berkecimpung dalam dunia perdebatan. Lebih membanggakan, Syed Saddiq turut pernah meraih anugerah Pendebat Terbaik (ESL) di kejohanan Australasia, Cambridge dan Oxford Inter-varsities pada 2012-2014.
PENDEBAT TERBAIK ASIA
“Apakah perbezaan Syed Saddiq sekarang berbanding waktu awal menceburi debat?” “Banyak bezanya. Kalau nak ceritakan pun malu. Hanya ibu sahaja pernah menonton rakaman video pertama kali saya berdebat. Pada ketika itu, nampak sangat saya kurang pengetahuan dan fakta-fakta penting. Jadi, bagi ‘menutup’ kelemahan itu, saya sampaikan hujah-hujah debat dengan penuh keyakinan. Saya gemar tonjolkan keyakinan. Itulah cara saya!” Tanpa disangkal lagi, nama Syed Saddiq melonjak naik lebih-lebih lagi setelah dia dianugerahi gelaran pendebat terbaik sebanyak tiga kali. Dan secara tak langsung, ia menjadi batu loncatan buat Syed Saddiq dikenali ramai.
“How do you feel now?” “Amat terharu. Terutamanya setalah saya meraih trofi Pendebat Terbaik Asia kali ketiga. Kerana dengan anugerah tersebut, tidak ada sesiapa lagi boleh memperkecilkan nama Malaysia. Atau mengatakan Malaysia itu lemah. Tapi tahun ini adalah tahun terakhir saya boleh mewakili UIA. Kerana Jun nanti saya akan habis belajar. Walau bagaimanapun, komuniti perdebatan antarabangsa telah menghubungi saya dan menawarkan posisi ketua juri di perlawanan debat akan datang. Dan ini bererti saya akan berhenti berdebat. Now I’m running the global debate scene. This is even better! Adanya anak Malaysia yang menggerakkan arena debat bertaraf antarabangsa. Pada saya, ia sangat membanggakan. Selepas perlantikan itu, saya akan ke Belanda dan beberapa negara lain untuk menghadiri perlawanan debat.”
It’s more about passion
“Jadi, apakah ciri-ciri pendebat terbaik?” Syed Saddiq berpendapat, “It’s more about passion. Orang lain sering berpendapat sekiranya nak menyertai dunia perdebatan, mestilah fasih bertutur dan bijak. Tapi saya sebaliknya. Pada awal menceburi bidang debat, saya tidak fasih bertutur, cuma punya minat amat mendalam juga bersungguh-sungguh. Saya akan berlatih debat setiap hari bagi mempertajamkan skil debat. To the point, orang ingat saya gila sebab terlalu taasub! Sejak dahulu sehinggalah hari ini, saya akan cuba cari peluang berlatih debat seperti berdebat di depan cermin. Jikalau tersangkut dalam kesesakan lalu lintas pun, saya akan mendengar audiobook seperti The Economist dan BBC. Melalui teknik itu, mendapat pelbagai informasi baru. Lagipun, saya tak suka membazir masa. Minat ini seiring dengan pesanan ibu saya – ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’. Percayalah, ahli debat tidak dilahirkan berbakat semula jadi.”
Selain rajin mendapatkan fakta-fakta baru, Syed Saddiq turut menekankan bahawa persediaan awal juga aspek terpenting menjadi pendebat terbaik. Katanya, tak kira penat atau malas, melakukan kajian tentang sesuatu topik itu amat penting.
“Persiapan tak boleh last minute. Sekurang-kurangnya perlu sebulan lebih awal. Inilah yang selalu saya pesankan kepada junior debat saya. Jangan jadikan debat sekadar hobi, ia mestilah bertindak sebahagian daripada hidup anda. Sebab itulah, perlu berlatih setiap hari.”
Saya masih kekal dengan saya seperti yang dulu
Menurut Syed Saddiq, biarpun dia telah dianugerahi pelbagai gelaran dan anugerah besar, ia tidak bermakna dia perlu berlagak sombong. Merendah diri itu perlu dikuasai. “Saya masih kekal dengan saya seperti yang dulu, cuma lebih baik dari segi pemikiran dan pembawaan diri. Tapi jangan tak tahu, dunia perdebatan bisa membawa seseorang itu ke arah tak diingini. The dark side. Sebab apa, sekiranya seseorang pendebat itu telah lama berdebat dan banyak memenangi anugerah, ia ada kemungkinan cenderung ke arah tidak baik.
Contohnya, akan mengubah diri menjadi bodoh sombong, angkuh, pemarah, tak boleh konfrontasi dengan orang lain dan sebagainya. Inilah yang saya tak mahu. Kena selalu ingat, debat bukan menghancurkan diri anda, sepatutnya mematangkan, mendewasakan dan menambahkan pengetahuan. Kalau tak tahu kawal diri atau kurang berjaga-jaga, ia bisa membinasakan diri anda. Trust me. You really don’t want to go to the dark side.” “Sampai begitu sekali ya?” “Benar. Terkadang-kadang perkara tak dijangka akan terjadi kepada diri anda disebabkan perdebatan. Seperti saya, saya akan sentiasa cuba kawal diri. Akan meminta kawan-kawan rapat menegur saya, sekiranya ada yang tak kena,” ujar Syed Saddiq lagi.
BERANI BERSUARA
Sepanjang berbual dengan Syed Saddiq, saya tak nampak dia seperti pelajar berumur 23 tahun yang biasa. Dia matang dan senang sekali diajak berbual juga bersungguh-sungguh meluahkan butir kata. Dalam perbualan kami, Syed Saddiq ada menyentuh tentang bangganya dia menjadi warga Malaysia. Tapi mengapa? “Mengapa sekarang Syed dilihat lebih gemar mengambil tahu tentang isu semasa di Malaysia berbanding dahulu?” Lantas Syed Saddiq meluahkan, “Sebab saya sedari saya adalah rakyat Malaysia. Bukan apa, sebelum ini saya terlalu sibuk berdebat tentang isu-isu di negara orang, tapi hal negara sendiri saya kurang ambil tahu. Dan pada saya, ia tiada makna sekiranya di negara sendiri pun saya tak ambil peduli.”
“Mungkin ada sebab tertentu? Alasan lebih peribadi?” tanya saya lagi. “Disebabkan selalu mengembara ke luar negara juga menjadi salah satu faktor utama. Misalnya, baru-baru ini saya ke Amerika dan berkesempatan melawat White House. Pelbagai reaksi saya tonjolkan kala melawat White House. Dan rasa sangat kagum dapat mendekatinya. Oleh itu, ia membuatkan saya terfikir, saya juga mahukan warga Amerika datang ke Malaysia dan melihat bangunan-bangunan ikonik di Malaysia dan mempunyai reaksi sama seperti saya. Saya mahu mereka kagum dengan Malaysia. Mungkin taklah sekarang, tapi 10 atau 20 tahun akan datang? I want people to know Malaysia!”
Sejak kebelakangan ini, Syed Saddiq gemar berkongsi pendapat tentang isu-isu semasa melalui status Facebook-nya. Seperti biasalah, ada sahaja netizen bersetuju juga tidak berpuas hati dengan pendapatnya. Tapi padanya, itu tidak penting. Yang penting adalah keberanian bersuara.
You can attack me but not my mother
“Sebenarnya, saya mengambil masa agak lama sama ada nak menulis status di Facebook atau pun tidak. Kerana saya perlu fikir apakah kemungkinan akan terjadi kepada saya kelak? Apakah saya akan dibuang Universiti? Diancam orang? Atau kehilangan kawan kerana tidak sefahaman? Semua itu adalah risiko besar bagi saya. Dan saya jenis berani mengambil risiko. Kalau nak tahu, disebabkan keberanian saya bersuaralah, saya banyak terlepas peluang. Pernah juga saya menerima ugutan bunuh dan ahli keluarga saya diancam. You can attack me but not my mother, especially. Tak lama kemudian, saya sedari walaupun kita punya pandangan berlainan tetapi pada akhirnya kita memperjuangkan perkara sama iaitu kebebasan hak untuk bersuara.”
“Sebelum berleluasanya penggunaan media sosial lagi, saya sudah mencari cara untuk bersuara. Sebelum ini, saya pernah mengusulkan kepada beberapa menteri di Malaysia termasuk MB Khaled Nordin dan YB Khairy Jamaluddin untuk tampil ke hadapan dan suarakan yang sebenarnya. Pernah juga saya bertemu Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin untuk melakukan perkara sama. I tried my best to do something. Sebanyak 90 peratus gagal dan selebihnya bersependapat dengan saya. Walaupun sedikit, tetapi ia amat bermakna buat saya,” tutur penerima Anugerah Perdana Belia ini.
Inovator Masa Kini
Dengan usaha dan ketegasan Syed Saddiq ingin memperjuangkan hak bersuara di Malaysia, saya kira dia sedang menginovasikan sesuatu. Hasilnya belum dilihat lagi tetapi pasti mendatangkan yang positif sahaja. “Apakah Syed Saddiq menganggap diri sebagai inovator masa kini?” “Sekiranya, usaha saya mahu membentuk konsep dan memperjuangkan hak bersuara itu dikira menginovasikan sesuatu, maka saya selayaknya digelar inovator.”
Syed Saddiq menegaskan bahawa buat masa ini dia mahu memperjuangkan isu berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Dan sebelum ini lagi, Syed Saddiq sudah ‘mencuri’ perhatian umum dengan statusnya sering mempersoalkan dan mengkritik beberapa pihak berhubung isu tersebut. Tapi, ia terpulang kepada masyarakat umum untuk menilainya. Pada Syed Saddiq, pihak atau individu bertanggungjawab tampillah ke hadapan bagi menyatakan kebenaran.
“Yang saya cakapkan ini bukan untuk berpolitik, tetapi kita perlu adil. Ini demi kebaikan kita bersama terutamanya generasi akan datang. Tambahan pula, telah saya tegaskan sebelum ini bahawa saya tidak memihak sama ada kepada kerajaan mahupun pembangkang. Pada saya, tidak ada parti politik sempurna. Tapi ini tidak bermakna saya tak setuju dengan mana-mana parti politik. Ada yang setuju, saya ambil dan yang tak setuju saya tak ambil pusing. Untuk pengetahuan, yang pasti saya akan menyertai bidang politik suatu masa nanti,” jelasnya.
Syed Saddiq ‘sekolahkan’ Nurulhidayah Zahid
Berhubung dengan isu Syed Saddiq ‘sekolahkan’ Nurulhidayah Zahid baru-baru ini, katanya, dia bukanlah berniat mahu mengecam atau mengkritik pendapat Nurulhidayah. Dia cuma mahu memperbetulkan sedikit sebanyak tentang luahan Nurulhidayah. Padanya, walaupun dia tidak setuju dengan kenyataan Nurul Hidayah, namun ia tidak bermakna Nurul Hidayah tidak berhak untuk bersuara. Tambahan pula, hak bersuara adalah yang sedang diperjuangkan Syed Saddiq sendiri.
Namun, dia berpendapat hak itu sepatutnya diberi sama rata kepada semua tanpa mengira pangkat dan kedudukan. “Saya lihat hanya sesetengah pihak sahaja boleh bersuara terutamanya golongan atasan, elit di Malaysia diberi hak bersuara tetapi rakyat tidak diberi hak. Tan Sri Muhyiddin Yassin juga ada hak nak bercakap, tapi beliau dihukum kerana bersuara untuk rakyat. Lebih menyedihkan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dihormati ramai juga ada hak untuk bercakap tetapi beliau dipanggil untuk siasatan,” luah Syed Saddiq yang mengangkat Tun Dr. Mahathir Mohamad antara individu paling berpengaruh di Malaysia.
“Tapi tak takut ke sekiranya orang menggelar anda an opinionated person? Dan apa bezanya opinionated person dengan orang berani bersuara?” Jawabnya, “Tiada beza. Dan saya tak nampak apakah menjadi ‘opinionated person’ is a bad thing? Inilah minda orang kita yang perlu diperbetulkan. Sebab apa, jikalau di luar negara, misalnya, Amerika, semua berhak untuk bersuara dan meluahkan pendapat masing-masing. Cuma orang kita sahaja masih nampak janggal dengan wujudnya individu seperti itu. Lagi satu, janganlah sekat atau ada rasa takut nak berkata sesuatu. Selagi ia tidak mengakibatkan kematian atau situasi seumpama 13 Mei berulang kembali, selagi itu kita berhak bersuara. Kalau setakat menyinggung atau menyakitkan hati seseorang individu itu, tak mengapa.
Teks: Johan Kassim
Baca lebih lanjut: KENALI SYED ABDULLAH, ABANG YB SYED SADDIQ YANG TAMPAN PERSIS MODEL
Tags
Artikel Yang Berkaitan
KOLEKSI LARRIE 2025: GAYA RETRO UNTUK MULAKAN TAHUN BARU
Bersiap sedia untuk tampil bergaya dengan koleksi terbaru Larrie, Retro Vibes: Revamping Classics with a Modern Spin.
VIRAL: GRADUAN PAKAI RAY-BAN META DI KONVOKESYEN, INI SEBAB ANDA PERLU ADA SEPASANG!
Ray-Ban Meta menggabungkan teknologi boleh pakai terkini dengan reka bentuk asli Ray-Ban untuk memastikan anda sentiasa berhubung di mana sahaja
COACH PLAY: DESTINASI TRENDI TERBARU DI KUALA LUMPUR YANG WAJIB KUNJUNGI
Destinasi Eksperiensial Unik Coach Play APW bukan sekadar butik; ia adalah kedai konsep eksperiensial yang merangkumi seni kraftangan dan inovasi jenama Coach. Terinspirasi oleh semangat New York dan elemen gaya hidup moden Kuala Lumpur, Coach Play APW menghidangkan pengalaman visual dan interaktif yang meraikan warisan dan ekspresi seni—menjadikannya tempat yang wajib dikunjungi bagi pencinta fesyen…
CARA MUDAH MENJAGA RAMBUT BERUBAN
Ketahui cara mudah menjaga rambut beruban agar tampak lebih sihat dan elegan. Dapatkan tips tentang syampu, produk terbaik, dan gaya rambut
5 TREND GAYA RAMBUT LELAKI 2024
Paras rupa yang tampan dan menarik akan dilihat melalui gaya rambut seseorang yang menentukan aura mereka yang tersendiri.
10 TIPS PENJAGAAN KESIHATAN MENTAL UNTUK LELAKI
Secara skeptikalnya, lelaki sering dikatakan untuk tidak mencari sokongan kesihatan mental kerana norma budaya dan sosial.