SUMBANGAN LUAR BIASA TOKOH MUZIK & SENIMAN NEGARA AHMAD NAWAB
Industri muzik tanah air dikejutkan dengan berita pemergian tokoh muzik tersohor, Tan Sri Ahmad Nawab pada 24 November 2024.
Khabar duka itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez. Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Gombak, Selangor pada usia 92 tahun.
“Tan Sri Datuk Seri Ahmad Khan bin Nawab Khan telah kembali ke Rahmatullah di rumahnya jam 3.15 petang tadi,” tulisnya.
Cucu Allahyarham, Khairul Hafis Khan mengesahkan perkara itu dan mendedahkan pemergian datuknya berpunca daripada sesak nafas. Jelasnya, datuknya tidak mempunyai penyakit kronik namun kesihatannya merosot selepas pulang daripada menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) bulan lalu.
“Bulan lalu kami bawa datuk ke IJN sebab beliau sesak nafas. Selepas dibenarkan pulang, keadaan datuk okey tetapi agak lemah. Tadi selepas ke tandas, datuk lemah dan tidak sedar.
“Emak telefon saya suruh datang. Setibanya saya, datuk sudah tiada. Kalau hendak kata datuk sakit kronik, tiada penyakit kronik,” katanya menurut BH Online.
Tambah Hafis, pengebumian Allahyarham mungkin akan disempurnakan pada 25 November di Tanah Perkuburan di Taman Samudera, Gombak.
Perjalanan Kerjaya Tan Sri Ahmad Nawab
Dilahirkan pada 6 April 1932, anak kelahiran Pulau Pinang ini memulakan kerjayanya dalam industri muzik seawal usia 16 tahun. Allahyarham mencipta legasi tersendiri dengan menggubah lebih 2,000 lagu sepanjang kerjayanya sejak tahun 1950-an.
Malah Ahmad Nawab juga pernah mencipta beberapa lagu untuk dimuatkan dalam filem arahan kenalan rapatnya, Tan Sri P. Ramlee termasuk Taman Firdausi, Ilham Tiba dan Bintang Malam. Selain itu, Allahyarham juga telah menghasilkan lebih 200 album yang didendangkan artis tanah air dan Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.
Menerusi sumbangannya, Ahmad Nawab telah berjaya melahirkan banyak nama besar dalam dunia seni suara termasuk Datuk Sharifah Aini, Datuk Sudirman Arshad, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah, Uji Rashid dan Ramlah Ram.
Pernah berkihdmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun, Ahmad Nawab telah memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980. Pada 2006, komposer terkenal ini dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ketujuh oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Atas kepakaran dan pencapaian luar biasa, Universiti Putra Malaysia mengurniakan anugerah Doktor Falsafah dalam bidang penulisan kehormat kepada Allahyarham pada 2000.
Sepanjang kerjayanya, Ahmad Nawab disifatkan sebagai legenda muzik berpengalaman luas dalam industri muzik tempatan dan antarabangsa. Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar dan pastinya tiada galang ganti.
Belasungkawa buat keluarga Allahyarham daripada Glam Lelaki.
Foto: X
Pautan berkaitan: PENGHIBUR IKONIK 70-AN, HAIL AMIR MENINGGAL DUNIA
Tags
Artikel Yang Berkaitan
TRANSFORMASI MENGEJUTKAN BRADLEY COOPER UNTUK FILEM TERBAHARU
Bradley Cooper akan melakonkan perjalanan hidup komposer legenda, Leonard Bernstein di samping Carey Mulligan yang menggalas watak sebagai isterinya.