TAHNIAH! ATIQ AZMAN KINI BERGELAR SUAMI
Selepas empat bulan mengikat tali pertunangan, Atiq Azman selamat disatukan dengan wanita pilihan hatinya, Alia Natasha.
Pasangan itu sah bergelar suami isteri dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Sri Sendayan, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan pada tanggal 21 Februari 2025.
Pada majlis pernikahan, Alia yang juga seorang pramugari menerima mas kahwin sebanyak RM200 daripada pengantin lelaki sebelum acara diteruskan dengan sesi menyarung cincin.
Walaupun berlangsung sederhana, majlis tetap meriah dengan kehadiran ibu bapa, ahli keluarga dan kenalan rapat.
Atiq Azman & Alia Natasha Berbalas Mesej Romantis
Pemilik nama Raja Muhammad Atiqullah Syah itu turut berkongsi detik hari bahagianya bersama peminat dengan memuat naik foto pernikahannya di Instagram. Turut disertakan kapsyen manis buat permaisuri hatinya.
“Perkahwinan yang hebat bukanlah apabila pasangan sempurna bersatu, tetapi apabila pasangan tidak sempurna belajar menikmati perbezaan masing-masing. Hai isteriku,” tulisnya ringkas.
Alia juga tentunya tidak mahu ketinggalan. Pramugari itu turut menulis kapsyen istimewa buat Atiq, meluahkan rasa kesyukuran kerana dipertemukan jodoh dengan aktor itu.
“Saat pertama saya melihat awak, hati saya berbisik, ‘inilah gerangannya’. Kini saya adalah isteri kepada Atiq. Doakan kami semoga dipanjangkan umur dan rezeki. Ini adalah permulaan hidup kami sebagai pasangan suami isteri,” tulisnya.
Atiq dan Alia mengikat pertunangan pada 26 Oktober tahun lalu dalam sebuah majlis yang berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan.
Foto: Instagram
Pautan berkaitan: TAHNIAH! SEAN LEE KINI SUAMI KEPADA MODEL BAY DOUCET
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.