TEMUBUAL EKSKLUSIF GLAM LELAKI BERSAMA RANGGA, EL PUTRA SARIRA
El Putra Sarira, seorang pelakon baharu yang penuh dengan bakat semulajadi memegang watak Rangga dalam filem Rangga & Cinta.
Filem cinta ikonik Indonesia, Ada Apa Dengan Cinta kini dibuat semula dengan kehadiran wajah-wajah baharu dan muda dengan tajuk Rangga & Cinta. Ia ditayangkan di pawagam Malaysia pada 6 November 2025 ini menerima sambutan hangat di Indonesia. Filem yang diadaptasi semula pada tahun 2025 ini merupakan filem muzikal. Dilakonkan oleh barisan pelakon muda Indonesia seperti El Putra Sarira, Leya Princy, Katyana Mawira, Rafly Altaman dan ramai lagi. GLAM Lelaki sempat berjumpa dengan pelakon utama, Rangga dan menemubualnya. Mari kenali El Putra Sarira dengan lebih dekat!
1. Boleh El ceritakan sedikit tentang latar belakang diri dan bagaimana El mula melibatkan diri dalam dunia lakonan?
Saya merupakan pelajar jurusan Kejuruteraan Komputer dan baru sahaja menamatkan pengajian pada bulan September yang lalu. Rangga & Cinta merupakan projek lakonan pertama saya, dan saya membawakan watak Rangga. Untuk filem ini, saya menjalani latihan intensif selama lebih kurang lima bulan. Ia meliputi lakonan, nyanyian dan muzik memandangkan ia adalah sebuah filem muzikal. Saya berasal dari Makassar, yang terletak di pulau lain dan agak jauh dari Jakarta. Setiap kali ke sana, saya perlu menaiki penerbangan selama kira-kira dua jam.
2. Watak pertama yang El bawa—bagaimana perasaannya dan apa cabaran utama waktu itu?
Cabaran terbesar pastinya dalam aspek lakonan, kerana saya tidak mempunyai latar belakang sebagai seorang pelakon. Kami bukan sahaja perlu berlakon, tetapi juga menyanyi. Bahagian paling mencabar ialah babak muzikal kerana dalam babak itu, kami bukan sekadar menyanyi atau berlakon, tapi perlu memberikan sepenuh jiwa dengan komposisi yang betul-betul sempurna. Ia tentang bagaimana kami menyampaikan perasaan sebenar dalam setiap adegan supaya penonton dapat merasainya. Bagi saya, muzik adalah medium untuk mengekspresikan diri.
3. Siapakah antara pelakon wanita atau lelaki yang El impikan untuk berlakon bersama suatu hari nanti?
Pelakon yang saya kagumi dan ingin berlakon bersama, pertama sekali ialah Marsha Timothy. Saya sangat mengagumi karya-karyanya. Selain itu, Laura Basuki dan Dian Sastrowardoyo juga antara inspirasi saya. Untuk pelakon lelaki pula, saya menyanjungi senior saya, Nicholas Saputra. Selain itu, Reza Rahadian, dan Feri Nuril. Mereka semua pelakon hebat yang sangat berpengalaman.
4. Selain berlakon, adakah El mempunyai minat lain?
Tentang minat lain, saya sebenarnya suka banyak perkara dan ingin terus meneroka. Sejak kecil saya memang minat menyanyi, jadi kalau diberi peluang untuk menghasilkan muzik sendiri, saya akan lakukannya. Sekarang, saya sedang mempersiapkan single pertama sambil meneruskan bidang lakonan, kerana saya benar-benar menyukai kedua-duanya. Saya masih terbuka untuk terus berkembang dalam kedua-dua bidang ini.
5. Dari mana El mendapat inspirasi untuk gaya peribadi El?
Dari segi gaya peribadi, saya banyak mencari rujukan dari internet dan Pinterest. Saya lebih cenderung kepada gaya yang clean, underdress tapi tetap kemas dan rapi. Ringkas, tetapi berpenampilan segar dan teratur.
6. Apa item fesyen yang El rasa paling menggambarkan personaliti diri?
Baju tee linen. Itu merupakan item fesyen kegemaran saya.
7. Apa harapan dan matlamat El untuk lima tahun akan datang dalam industri hiburan?
Dalam tempoh lima tahun akan datang, saya berharap agar tidak pernah kehilangan jati diri dan akar saya. Saya tak mahu lupa siapa diri saya yang sebenar, walau sejauh mana pun perjalanan ini membawa saya.
Pautan berkaitan: KENALI WAJAH-WAJAH MUDA DALAM DUNIA LAKONAN MALAYSIA
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
GL ‘5 UNDER 25’: SHARUL AIMY. MENGENALI POTENSI DIRI, PERJALANAN, CABARAN & MASA DEPAN
Baca temu bual GLAM Lelaki bersama Sharul Aimy, salah seorang personaliti cover isu April 2026. Bicara soal kerjaya dan pengalaman diri .
KENALI INDIVIDU HEBAT & BERPENGARUH ‘5 UNDER 25’, ISTIMEWA GLAM LELAKI APRIL 2026
Untuk April 2025, GLAM Lelaki sajikan 5 Under 25, individu muda yang menonjol dalam bidang masing-masing, dan mempunyai pencapaian hebat.
5 GAYA PASANGAN SAM LIM DAN PARISA ARDINA DI INSTAGRAM
Gaya pasangan Sam Lim dan Parisa Ardina sesuai dijadikan inspirasi buat pasangan muda yang ingin tampil bergaya dan masih kelihatan matchy.
FAKTA MENARIK TENTANG PEMPENGARUH TERKENAL, SAM LIM
Sam Lim mendapat perhatian di media sosial dengan kandungan uniknya, serta perkahwinannya bersama Parisa Ardina baru-baru ini.
6 IKON GLOBAL & OBSESI MEREKA TERHADAP PEMBACAAN
Terokai 6 ikon global daripada Jacob Elordi ke Dua Lipa yang membuktikan buku adalah aksesori paling karismatik.
DORM 403: KENALI PELAKON-PELAKON MUDA DRAMA SEKOLAH BERASRAMA PENUH KONFLIK
Drama Dorm 403 telah mula ditayangkan, menampilkan barisan pelakon muda yang menyerlah dan bakal menghidupkan lagi drama ini.











