Skip to content

WILL SMITH KEMBALI DALAM DUNIA RAP DENGAN WORK OF ART

WILL SMITH KEMBALI DALAM DUNIA RAP DENGAN WORK OF ART

Kongsikan artikel ini

‘Fresh Prince’, Will Smith membuat kejutan apabila menghidupkan semula kerjaya nyanyiannya menerusi lagu terbaru.

Sabtu lalu bintang berusia 55 tahun itu melancarkan lagu sulung, Work of Art daripada album baharu berserta video muzik. Lagu ini turut menampilkan anak lelakinya, Jaden Smith dan penyanyi Russ pada rangkap vokal. Menerusi lirik dalam korus, Will menjelaskan aspek berbeza keperibadiannya.

“I am Musa, I am Jesus / I am Judas, I am the judge / I am the victim, and I’m the shooter / I’m in the Torah, and the Koran, and in the Bible / I am a shepherd / I am a leader, and a disciple.”

Dia turut berkongsi perjuangannya di mata umum selepas menampar pelawak Chris Rock di Anugerah Akademi 2022.

“They tried to censor me / But then they sent for me,” nyanyinya dalam satu rangkap diikuti korus, “I am a saint, but if you touch, I am a savage.”

Will Smith

Foto: YouTube

Pada permulaan video muzik, Will mendedahkan kepada Russ bahawa dia merakam lebih 20 lagu untuk projeknya yang akan datang. “Work of Art was the song where I found my voice. It was like ‘Ah! That’s what I want to talk about,’” katanya ketika kedua-duanya berada di dalam sebuah muzium.

Di Sebalik Album Baru Will Smith

Sejak beberapa bulan lalu Will telah memberi petunjuk bahawa dia akan kembali dalam industri muzik. Sebagai permulaan, dia membuat kemunculan bersama J. Balvin di Coachella pada bulan April.

Seterusnya, persembahan secara langsung pertamanya di BET Awards 2024 dengan lagu You Can Make It dua bulan kemudian. Ini diikuti dengan penampilan istimewa di La Velada Del Ano 4 pada awal bulan Julai.

will smith work of art

Foto: Raquel Alvarado

Aktor Bad Boys: Ride or Die ini menyentuh tentang album kelimanya itu dalam satu perkongsian di Instagram pada 13 Julai lalu.

“Tema muzik yang sedang saya usahakan adalah ‘Dance in your Darkest Moments’. Beberapa tahun kebelakangan ini saya terpaksa belajar cara berbeza untuk hidup dalam kesusahan — cara berbeza untuk berdepan dengan saat sukar,” tulisnya.

Album studio terakhir Will dikeluarkan pada tahun 2005 berjudul Lost and Found. Ia terjual melebihi setengah juta salinan dan memuncak di tangga keenam dalam carta album Billboard 200.

 

Foto: Alan Silfen/Billboard

Pautan berkaitan: WILL SMITH SAHKAN BAKAL KEMBALI DENGAN I AM LEGEND 2