Skip to content

4 WANGIAN UNISEKS WAJAR DICUBA

Kongsikan artikel ini

Tahun lalu, kata kunci utama dalam dunia olfaktori ialah ‘uniseks’. Trend utama ini melihatkan lambakan haruman-haruman neutral gender daripada label fesyen ternama. Malah, ramai di kalangan mereka memperkenalkan lebih daripada satu haruman uniseks untuk menambat deria bau anda.

Louis Vuitton hadir dengan tiga wangian uniseks bertemakan jiwa bebas California, yakni Sun Song, Cactus Garden dan Afternoon Swim. Thom Browne, pereka yang sudah sinonim dengan pendekatan gender fluid dalam koleksi-koleksinya, pertama kali melangkah ke dunia wangian dengan melancarkan enam EDP uniseks berasaskan ramuan vetiver. Sebagaimana Versace, dengan enam haruman uniseks mewah di bawah payung Atelier Versace. Tak mahu kalah, Celine pula – di bawah arahan Hedi Slimane – mengeluarkan sebanyak 11 haruman uniseks yang dicipta untuk memenuhi tuntutan siang dan malam. (Kali terakhir Celine tampil dengan haruman baru adalah pada tahun 2011). Belum dikira lagi wangian uniseks daripada Christian Dior dan Gucci.

GL senaraikan 4 semburan neutral gender keluaran 2019 yang wajar anda cuba.

1. Figue Blanche daripada Atelier Versace

Oh, what a scent! Tema kemewahan koleksi ini cukup terasa dalam setiap semburan Figue Blanche. Semarak flora dan buah-buahan yang tidak terlampau manis, tapi menyegarkan – and it smells expensive. Dicipta untuk menggambarkan suasana musim panas di Itali, Figue Blanche kaya dengan gabungan nota buah ara dengan minyak pati buah mandarin dan bergamot Itali, juga lada hitam Madagaskar. Yang didukung adunan kompleks bunga melur, ros, kemenyan, kayu cedar dan ambrettolide.

Dizahirkan dalam botol kaca geometrik hitam buatan tangan dengan penutup emas dihiasi kepala Medusa, lambang signatur jenama. Disimpan pula dalam kotak serba mewah – Versace semestinya pakar dalam produk luxe. Haruman ini sudah pun menjadi antara yang paling laris dari koleksi Versace Atelier. Malah, di kala pelancarannya Oktober lalu, stok Figue Blanche di Kuala Lumpur sold out selepas dua hari jualan.

Figue Blanche, Eau De Parfum 100ml, RM1,490

 

2. Gucci Mémoire d’Une Odeur daripada Gucci

Sebagaimana rekaan Alessandro Michele untuk koleksi-koleksi Gucci, wujud sesuatu yang unik dan istimewa pada haruman Gucci Mémoire d’Une Odeur. Direka sebagai satu simbol kebebasan berekspresi, tidak mengira gender, usia, warna kulit dan latar belakang, haruman ini mahu menangkap suatu memori. Tak hairanlah rekaan botol, dan juga baunya, punya pesona vintaj yang distingtif. An old world charm for the digital age.

Semarak olfaktori nota kamomil Rom yang dibina daripada kelopak melur Indian coral meminjamkan satu kelembutan, dengan kesturi memberi dimensi, dihangatkan nota sandalwood, kayu cedar, dengan belaian vanila. Baunya seakan-akan secawan teh yang nyaman. Istimewanya, nota jasmine dalam wangian ini adalah eksklusif untuk Gucci. Dipetik khusus di India, aroma bunganya hadir pekat di waktu malam dan menjadi lebih ringan dan segar di siang hari.

Mewakili famili olfaktori baru, yakni aromatik mineral, sifat keindividuan yang dijulangkan Gucci Mémoire mungkin hanya akan memikat individu-individu tertentu yang mahukan sesuatu yang luar biasa untuk mewakili spirit autentik mereka.

Gucci Mémoire d’Une Odeur, Eau De Parfum 60ml, RM320 & 100ml, RM435

 

3. Spice Blend daripada Christian Dior

Untuk sesuatu yang lebih ‘menyengat’, seperti yang jelas tertera pada namanya, Spice Blend bercirikan aromatik rempah hasil karya pakar olfaktori terkemuka, François Demachy. Permulaannya tajam hasil nota atas rum dan halia, tapi karakter Spice Blend tidaklah sepekat nota pengenalan ini. Kepintaran Demachy terbukti pabila mencapai keseimbangan antara bau yang hangat dengan yang segar dalam Spice Blend. Adunan nota tengah lada hitam, lada merah, kayu manis, buah pala, cengkih dan ketumbar meminjamkan aura eksotik, langsung membuka jalan kepada nota dasar daun bay dan nota kekayuan. Wangian mekar yang sesuai untuk waktu malam.

Spice Blend, Eau De Parfum 40ml, RM395 & 125ml, RM890

 

4. Afternoon Swim daripada Louis Vuitton

Sebahagian daripada seleksi haruman uniseks pertama daripada Louis Vuitton, Afternoon Swim secara tepat melakarkan senario beriadah di tepi pantai yang indah – it smells like the beach. Dengan sentuhan sitrus daripada jambangan oren Sicily, bergamot dan mandarin yang lebih berdimensi daripada haruman sitrus biasa. Semarak sitrusnya lembut, bukan tajam, hasil gabungan halia dan ambergris. Impresi pertamanya tampil segar dan cerah, sebelum memikat dengan pasang-surut nuansa akuatik yang membuat anda rasa tenang. Haruman ideal untuk hari-hari cerah dan bersahaja.

Pembungkusan wangian Louis Vuitton Cologne Perfumes mengadaptasikan lukisan artis California, Alex Israel pada kotak-kotaknya untuk menghidupkan aura California yang menjadi inspirasi di sebalik koleksi ini, termasuk Afternoon Swim.

Afternoon Swim, Eau De Parfum 100ml, RM1,050 & 200ml, RM1,550

 

By Abdul Aziz Draim
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

Henry Jacques Malaysia

HENRY JACQUES MEMPERKENALKAN WANGIAN BERHARGA RM45,000

Bacaan Lanjut

12 WANGIAN PILIHAN GLAM LELAKI DAN RIZAL RASID UNTUK LEBARAN 2024

Bacaan Lanjut
Aiman Hakim Ridza

“MEN ARE MADE HOW MEN SHOULD BE.” – AIMAN HAKIM RIDZA, GLAM LELAKI JANUARI 2024

Bacaan Lanjut

GAYA TERBAIK MEERQEEN SEPANJANG 2023

Bacaan Lanjut

10 WANGIAN TERBAIK PILIHAN GLAM LELAKI 2023

Bacaan Lanjut

FELIX STRAY KIDS DAN SHO HIRANO ANTARA YANG MENGHADIRI LOUIS VUITTON MEN PRE-FALL 2024 DI HONG KONG

Bacaan Lanjut