DIET ASAS TUMBUHAN ANTARA RAHSIA AWET MUDA LENNY KRAVITZ
Artis serba boleh, Lenny Kravitz baru saja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-60 pada Mei lalu.
Walaupun sudah berusia lebih separuh abad, pemuzik dan pelakon ini membuktikan dirinya masih gagah dan bergaya. April lalu namanya menjadi tular selepas berkongsi video dirinya di laman X.
Dalam video tersebut, Lenny dilihat mengangkat berat di gim sambil menggayakan celana kulit, kemeja berjaring, kasut but dan tentunya cermin mata hitam. Apa perlunya praktikal kalau boleh tampil bergaya!
Namun menurut jurulatih peribadinya, Dodd Romero, Lenny tidak pernah bersenam dalam celana kulit. “Jika dia mahu bersenam, dia akan pakai saja apa yang sedang disarungnya ke gim. Selepas habis bersenam barulah dia akan mandi dan pakai baju bersih. Dia memang berbeza. Itulah Lenny yang sebenar,” katanya.

Foto: Instagram
Bapa kepada aktres Zoe Kravitz ini baru saja melancarkan album terbarunya berjudul Blue Electric Light. Dia turut menampilkan video muzik single keduanya, Human pada Mac lalu di mana dia turut menayang otot kekar sambil menggayakan celana kulit kegemarannya.
Bagaimana Lenny Kravitz mengekalkan tubuh sasa dan wajah awet muda pada usia 60 tahun?
Rutin Senaman
Dalam temu bual bersama Men’s Health pada 2020, Lenny berkata, “Tubuh terbaik saya bukan pada masa lalu, ia berada di hadapan saya sekarang. Saya tingkatkan rutin senaman seiring peningkatan usia.”
Menurutnya, dia memiliki bentuk tubuh sempurna hasil gaya hidup luar yang aktif di pulau Eleuthera di Bahamas. Dia rajin berbasikal sekeliling pulau, mendayung dan berjalan kaki setiap hari, menurut GQ Australia.
Lenny juga mendapatkan khidmat jurulatih Dodd Romero sejak akhir 1990-an. Rutin senamannya menggabungkan sesi latihan kardio dan angkat berat, lima hingga enam hari seminggu.

Foto: Instagram
Diet Pilihan
Dalam satu wawancara, Lenny berkata dia amat berhati-hati dengan pengambilan makanan. Mengamalkan diet berasaskan tumbuhan yang ketat, dia mengambil satu langkah ke hadapan dengan memilih hidangan mentah selagi boleh.
Menurut GQ, bintang Shotgun Wedding ini telah lama bereksperimen dengan mengambil hanya makanan mentah. Dia tidak lagi mengambil buah-buahan dek kandungan gulanya dan hanya menikmati sayuran. Bagaimapun pada ‘cheat day’, Lenny dilaporkan akan makan hidangan sarat karbohidrat seperti roti, pasta, penkek atau wafel.
Untuk memaksimumkan dan menjamin nilai nutrisi dalam makanannya, Lenny turut mengusahakan ladang sayuran dan menuainya sendiri di hartanahnya di Brazil dan Bahamas.

Foto: Instagram
Penjagaan Kulit Organik
Pada 2020, Lenny mendedahkan bahan unik yang digunakannya dalam rutin penjagaan kulit tubuh: pasir Bahamas. “Ia sangat, sangat, sangat halus. Jadi apabila mandi di lautan, saya akan gunakan pasir untuk skrub badan,” kongsinya.
Duta YSL Beauty ini juga berkata dia mengutamakan konsistensi dan bahan-bahan organik seperti minyak kelapa, mentega shea serta mentega koko dalam penjagaan kulit harian.
Foto: The Guardian/The Times
Pautan berkaitan: DIET SARAPAN PELIK YANG DIAMALKAN DWAYNE JOHNSON UNTUK TAMPAK SASA
Tags
Artikel Yang Berkaitan
10 GAYA LELAKI TERBAIK DI MET GALA 2026
Terokai 10 gaya lelaki terbaik di Met Gala 2026 pilihan GLAM LELAKI. Temui inspirasi gaya avant-garde dan maskulin paling ikonik tahun ini.
8 LAGU IKONIK NYANYIAN ‘THE LEGENDARY’ MICHAEL JACKSON
Ayuh imbau 8 lagu paling ikonik nyayian mendiang Michael Jackson sempena pelancaran filem biopik 'Michael'.
5 FILEM BIOPIK PENYANYI LELAKI YANG MEMPUNYAI RATING ATAS LAPAN
Ketahui senarai filem biopik berkisar tentang penyanyi lelaki dengan penilaian tinggi melebihi paras rating lapan.
BUKU SEBAGAI AKSESORI: TREND LELAKI BERINTELEKTUAL
Lihat bagaimana selebriti dunia menjadikan naskhah fizikal sebagai pelengkap personaliti yang sangat berkarisma.
TRANSISI MEGA: MARK DAN TEN NCT MENCIPTA IDENTITI BAHARU
Mark dan Ten NCT meninggalkan SM Entertainment. Ketahui impak besar perpindahan dua ikon global ini terhadap industri seni.
5 LAGU TERBAIK NYANYIAN NAIM DANIEL PILIHAN GLAM LELAKI
Terokai 5 lagu terbaik Naim Daniel pilihan GLAM Lelaki. Dari "Sumpah" hingga "Seni Berdamai Dengan Takdir", lihat evolusi seni beliau di sini.











