Pasti anda biasa mendengar, rutin mandi malam sebelum masuk tidur mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Sejauh manakah kebenarannya?
Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Center For Sleep Medicine di New York, mandi malam sebenarnya mempunyai manfaat untuk kesihatan tubuh.
Jika mandi pagi dapat meningkat kreativiti, mandi pada waktu malam pula membantu anda memperoleh tidur yang lebih nyenyak dan relaks. Bagaimana?
Dr. Dianna Augelli selaku peneliti kajian ini mendapati, proses mandian adalah satu aktiviti mendinginkan tubuh. Ia sekali gus boleh merangsang hormon oksitosin atau hormon gembira untuk mengusir tekanan dan membuat anda mudah lena.
Foto: Drobotdean/Freepik
Waktu Sesuai Untuk Mandi Malam
Jelas Dianna, anda perlu berikan tempoh kira-kira 90 minit sebelum waktu tidur untuk mandi. Mandi pada waktu tersebut, menurutnya, dapat memberikan isyarat pada tubuh bahawa anda telah bersedia untuk berehat.
Jelasnya lagi, seiring perjalanan waktu, anda akan mengalami proses pendinginan yang bakal mendatangkan rasa mengantuk. Pada peringkat ini, anda akan mulai tertidur dengan nyenyak dan bangun dengan keadaan yang lebih segar pada keesokan harinya.
Tip: Sebagai bonus, anda boleh menggabungkan rutin membersih wajah ke dalam rutin mandi. Menurut National Sleep Foundation, mencuci wajah sebelum tidur boleh membantu menyingkir noda, mengurangkan jerawat, mencegah kedutan dan membantu krim malam dan pelembap berfungsi dengan lebih berkesan.