Skip to content

10 STAIL LELAKI PALING IKONIK DALAM SEJARAH MET GALA

10 STAIL LELAKI PALING IKONIK DALAM SEJARAH MET GALA

Kongsikan artikel ini

Malam terbesar fesyen, Met Gala telah menampilkan pebagai gaya berani dan luar biasa selama bertahun-tahun.

Mendapat jolokan ‘Oscars of fashion’, acara itu menghimpunkan nama-nama terbesar dalam industri muzik, filem, TV dan fesyen setiap tahun. Tahun ini ia dijangka lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Bertemakan Sleeping Beauties: Reawakening Fashion, Met Gala 2024 akan berlangsung pada 7 Mei dan dihoskan oleh Zendaya, Bad Bunny, Jennifer Lopez juga Chris Hemsworth.

Kod pakaian tahun ini adalah ‘The Garden of Time’ yang diinspirasikan oleh cerpen nukilan J.G. Ballard pada 1962 dengan judul sama. Bertitik tolak daripada tema cerpen ini, Vogue memaklumkan bahawa tema tahun ini adalah mengenai ‘fleeting beauty’. Justeru selebriti dijangka hadir dalam persalinan bertekstur dengan perincian bunga dan helaian bersejarah.

Sebelum itu, semak beberapa stail selebriti paling berani di karpet merah Met Gala

Jared Leto, 2023

Tema: Karl Lagerfeld: A Line Of Beauty

10 STAIL LELAKI PALING IKONIK DALAM SEJARAH MET GALA

Foto: Getty Images

Kala selebriti lain memberi penghormatan kepada legasi Karl Lagerfeld dengan perhiasan mutiara, tweed dan rambut palsu beruban, Jared tampil dengan idea di luar kotak. Aktor berusia 53 tahun ini menyarung kostum kucing milik pereka itu, Choupette hadil kerja tangan Specialty Costumes and Props (SCPS).

 

Bad Bunny, 2023

Tema: Karl Lagerfeld: A Line Of Beauty

10 STAIL LELAKI PALING IKONIK DALAM SEJARAH MET GALA

Foto: Entertainment Tonight

Penyanyi Puerto Rico ini kelihatan segak dalam sut berinspirasikan pengantin rona putih daripada Jacquemus. Namun apa yang mencuri perhatian adalah selendang sarat bunga dan cutout seksi di bahagian belakang tubuhnya.

 

Lil Nas X, 2023

Tema: Karl Lagerfeld: A Line Of Beauty

10 STAIL LELAKI PALING IKONIK DALAM SEJARAH MET GALA

Foto: Getty Images

Bukan Jared Leto saja yang mendapat inspirasi daripada haiwan kesayangan Karl Lagerfeld, Lil Nas X juga sama. Dia tampil sebagai Choupette versi berkilauan yang mengambil masa sembilan jam untuk disiapkan, hasil kreativiti Pat McGrath. Wajah dan badan penyanyi itu hanya ditaburi ribuan mutiara dan kristal tanpa pakaian, kecuali thong dan kasut but perak yang disarungnya.

 

Pedro Pascal, 2023

Tema: Karl Lagerfeld: A Line Of Beauty

10 STAIL LELAKI PALING IKONIK DALAM SEJARAH MET GALA

Foto: Getty Images

Aktor The Last Of Us ini mencuri perhatian dalam persalinan Valentino yang merangkumi kot bersaiz besar dan kemeja merah, serta celana pendek dan tali leher rona hitam. Penampilannya disempurnakan dengan dandanan yang disikat rapi ke belakang dan but hitam lengkap dengan stokin paras betis.

 

Lil Nas X, 2021

Tema: In America: A Lexicon of Fashion

10 STAIL LELAKI PALING IKONIK DALAM SEJARAH MET GALA

Foto: NDTV

Penyanyi berusia 25 tahun ini tidak pernah kalah bergaya. Dia muncul di karpet merah Met Gala dalam bukan satu atau dua, tapi tiga persalinan berbeza daripada Versace. Bermula dengan jubah bersulam, ia diikuti dengan sut perisai emas seterusnya sut badan berjaring.

 

Ezra Miller, 2019

Tema: Camp: Notes on Fashion

10 STAIL LELAKI PALING IKONIK DALAM SEJARAH MET GALA

Foto: Getty Images

Bintang Fantastic Beasts ini mengenakan salah satu kostum istimewa daripada Burberry hasil kreativiti Riccardo Tisci. Namun apa yang paling mencuri tumpuan adalah beberapa pasang mata ilusi pada wajahnya yang disembunyikan di sebalik topeng. Ia dilukis oleh Mimi Choi, jurusolek dari Kanada yang mempunyai kepakaran dalam ilusi optik.

 

Harry Styles, 2019

Tema: Camp: Notes on Fashion

Foto: Getty Images

Penyanyi dan pelakon ini menggayakan blaus jarang yang menampakkan sebahagian besar tatu di tubuhnya. Dia memadankannya dengan kasut but dempak dan anting-anting mutiara, kesemuanya daripada Gucci.

 

Jared Leto, 2019

Tema: Camp: Notes on Fashion

Foto: Getty Images

Sebelum menggayakan persalinan kucing pada 2023, Jared pernah mencuri tumpuan hadirin dengan penampilannya empat tahun sebelum itu. Pelakon dan pemuzik ini memadankan gaun labuh Gucci berwarna merah dengan replika kepalanya sendiri yang amat realistik dan menyeramkan.

 

Kanye West, 2016

Tema: Manus x Machina: Fashion in an Age of Technology

Foto: Getty Images

Penyanyi penuh kontroversi ini terkenal dengan cita rasanya terhadap fesyen. Pada Met Gala 2016, dia muncul di karpet merah dalam jaket metalik futuristik dan celana denim daripada Balmain. Kanye turut memakai kanta sentuh berwarna biru untuk menepati tema.

 

Marc Jacobs, 2012

Tema: Schiaparelli and Prada: Impossible Conversations

Foto: Getty Images

Lama sebelum Harry Styles menggayakan gaun di kulit majalah Vogue, Marc Jacobs terlebih dahulu memulakan trend skirt dan gaun lelaki di karpet merah. Pereka fesyen terkenal itu tampil menyarung gaun renda hitam jarang rekaannya bersama celana pendek rona putih pada Met Gala 2012.

 

Foto: Getty Images

Pautan berkaitan: 30 MOMEN GIRANG SELEBRITI YANG ANDA TIDAK LIHAT DI KARPET MERAH MET GALA 2023