MAXIMALISM 2026: ERA LELAKI BERANI MENYERLAH
Minimalism bakal menjadi rujukan semula gaya lelaki moden memasuki tahun 2026. Say no more to quiet luxury, let’s be loud.
Pada tahun 2026 lelaki dijangka semakin berani mengambil ruang visual. Bukan lagi sekadar memilih yang selamat dan sederhana, tetapi merangkul gaya yang sarat warna, tekstur dan perincian. Inilah kebangkitan maximalism, sebuah gerakan fesyen yang menuntut keberanian untuk menunjukkan karakter diri tanpa kompromi.

Maximalism memberikan nafas baharu kepada ekspresi lelaki. Setiap helaian pakaian bukan sekadar pelengkap gaya, tetapi menjadi pernyataan berani yang mendahului kata-kata. Warna menjadi lebih hidup, mencipta aura percaya diri yang tidak boleh diabaikan. Dari rona merah delima ke elektrik biru. Daripada hijau zaitun pekat ke semburan metalik, setiap pilihan warna diraikan sebagai refleksi personaliti yang penuh karisma.
Pendekatan rekaan juga semakin eksperimental. Layering kini menjadi bahasa seni — gabungan fabrik dan siluet yang tidak dijangka, oversized bertemu tailored, denim bertemu satin, menghasilkan momentum visual yang dramatik namun penuh keanggunan maskulin. Setiap lapisan pakaian bagaikan bab dalam kisah diri seseorang, mencipta naratif gaya yang unik dan tidak pernah sama di antara satu sama lain.
Corak Jadi Peranan Utama Loud Fashion
Corak pula memainkan peranan utama dalam menghidupkan maximalism. Print-on-print bukan lagi dianggap ‘terlalu banyak’, tetapi dilihat sebagai manifestasi kreativiti yang matang. Tartan, paisley, grafik seni pop, animal prints semuanya disusun dalam harmoni yang kelihatan chaotic pada pandangan pertama tetapi sebenarnya ibarat seni yang dirancang penuh teliti. Di sinilah keberanian fesyen benar-benar diuji — dan diraikan.

Aksesori turut mengalami revolusi tersendiri. Daripada menjadi pelengkap yang tersembunyi, kini ia menjadi fokus utama sebuah gaya. Cermin mata berstruktur futuristik, cincin dan rantai chunky, serta bros bersaiz besar pada blazer. Semuanya tampil sebagai elemen yang memperkukuh identiti pemakainya. Sedikit atau banyak bukan lagi persoalan; yang penting ia mencipta impak.

Dalam masa yang sama, fabrik mewah seperti velvet, jacquard dan leather berkualiti tinggi menambah elemen eksklusiviti kepada keseluruhan trend ini. Sentuhan tekstur memberi sensasi yang lebih mendalam kepada visual maximalism, menjadikannya bukan sekadar cantik dilihat, tetapi juga terasa hebat dipakai.
Akhirnya, maximalism membawa makna jauh lebih besar daripada pilihan gaya. Ia melambangkan keyakinan untuk berdiri sebagai diri sebenar — tanpa rasa perlu bersembunyi di sebalik kesederhanaan yang selamat. Tahun 2026 menjadi pentas untuk lelaki meraikan keberanian itu. Fesyen bukan lagi hanya tentang apa yang sesuai, tetapi apa yang memberi ruang kepada jiwa untuk berbicara lantang. Kerana maximalism bukan sekadar mahu menarik perhatian orang lain. Ia adalah tentang memberi diri sendiri peluang untuk bersinar dengan sepenuhnya. Dan untuk tahun 2026, pancaran itu bukan lagi sesuatu yang harus disembunyikan.
Pautan berkaitan: GL25: SOROTAN PENUH GAYA BERSAMA GLAM LELAKI 2025
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.





