Skip to content

Keanggunan Nan Agresif 01

Keanggunan Nan Agresif

Kongsikan artikel ini

Arteon R-Line baharu tampil mengimbangi kuasa, karakter serta karismanya. Mengemudi stereng yang disokong sistem pacuan semua roda 4MOTION menyalurkan kuasa buat memberi cengkaman serta kawalan lebih baik.

Keanggunan Nan Agresif 03

Prestasi yang mendahului kelasnya dengan kuasa 280PS dan tork 350Nm jelas menyuntik adrenalin. Diolah dengan sisi serta spirit identiti R yang sebenar, Arteon R-Line 4MOTION diperkasakan bagi menuruti sensasi nan mendebarkan. Arteon hadir membuat penampilan yang berani, tambah lagi diolah susuk konstruksi serta kontur yang ekspresif didorong serba atletik juga agresif. Eksteriornya yang dinamik memancarkan kuasa serta karisma yang jitu. Manakala bahagian interiornya pula diperkasa dengan kokpit serba baharu membiaskan lanjutan kekuatan dalaman yang efektif lagi canggih bersentuh gaya avant-garde.

Arteon R-Line 4MOTION baharu dipertontonkan pada harga bermula RM247,670.97 dengan titik harga ini, ia mengungkapkannya bukan sekadar kenderaan utilitarian. Bahkan merupakan sebuah sedan yang versatil, premium dan mampu memenuhi gaya hidup masa kini. Kemunculanya perlu dilayangkan dengan penuh istimewa dan sebahagian besar daripadanya bermula dengan prestasi pemanduan yang hebat. Jika prestasi yang anda cari, Arteon R-Line 4MOTION mempunyai bertimbun kuasa. Malah ia berpunya 276 kuasa kuda, tepatnya. Jika anda tertanya-tanya sama ada kuasa itu mencukupi, jawapannya adalah YA!

Arteon merupakan sebuah fastback serba boleh kerana ia menawarkan fleksibiliti bagi memenuhi keperluan pemanduan yang berbeza. Inilah model Volkswagen yang membolehkan pemandu menikmati pemanduan sporty atau perjalanan jauh sama ada berseorangan atau bersama keluarga dengan penuh keselesaan. Mengemudi sterengnya dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur begitu lancar. Jentera ini dijana oleh enjin 2.0L TSI turbo yang mampu menghasilkan kuasa 280PS dan tork 350Nm. Digabungkan dengan transmisi dwi-clutch DSG 7-kelajuan, fastback ini boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa hanya 5.6 saat. Seolah tiada apa yang tidak boleh ditinggalkan saat kaki kanan menekan pedal minyak di lebuh raya yang lurus.

Keanggunan Nan Agresif 04

Kuasa prestasinya seperti sentiasa tersedia sekali pun pada kelajuan atau rev rendah. Tambah lagi, jika anda benar-benar mahukan respons pecutan yang lebih pantas, hanya perlu menukar gear ke mod manualnya. Pemanduan yang tajam dan responsif, disokong sistem pacuan semua roda 4MOTION menyalurkan kuasa buat kesemua roda agar memberi cengkaman serta kawalan lebih baik pada selekoh. Walau bagaimanapun, Arteon R-Line 4MOTION bukanlah sebuah jentera sport semata seperti yang hangat dibualkan.

Walaupun hadir bersama kedudukan tempat duduk yang rendah dan roda 19” yang besar, ia tidaklah dibina untuk beraksi di trek perlumbaan. Ia lebih kepada mengimbangi pemanduan kemewahan dengan prestasi tinggi lagi selesa. Arteon sebenarnya amat selesa, dari sekecil-kecil jalan kampung dan jalan tempatan kepada lebuh raya ekspres. Bagi menemani pengalaman pemanduan yang hebat, tempat duduk ErgoComfort dibaluti kemas dari kulit Nappa Carbon nan sempurna. Pemandu turut ditawarkan dengan 14 larasan pilihan dan fungsi urutan untuk memberi lebih keselesaan ketika memandu. Sistem audio premium Harman Kardon 700-watt pula menyempurnakan ruang dalamannya yang mewah dengan 12 unit pembesar suara yang memberikan kualiti akustik terbaik.

Ciri untuk pemandu juga inovatif, intuitif dan boleh disesuaikan mengikut cita rasa tersendiri. Semua maklumat boleh diakses dengan mudah menerusi Digital Cockpit dan sistem infohibur Discover Pro yang kini menawarkan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Fungsi-fungsi utama boleh diakses dengan mudah oleh pemandu sekalipun di bawah cahaya matahari langsung. Aspek ketersambungan tersebut ditambah baik menerusi butang sentuhan haptik pada stereng yang memberi maklum balas tepat. Sistem pendingin hawa ‘Climatronic’ 3 zon baharu juga boleh dikawal menerusi sentuhan pada panel kawalan. Bagi aspek keselamatan pula Volkswagen tidak ambil ringan. Sebab itulah Arteon dilengkapi rangkaian bantuan pemandu untuk melindungi penumpang.

Ini termasuklah ciri Lane Assist, Side Assist dan Driver Alert system bagi memastikan setiap perjalanan kekal selamat. Apatah lagi menawarkan keluasan ruang but mencecah 563 liter. Sebagai ciri tambahan, ia membolehkan but dibuka tanpa sentuhan tangan dan but ditutup lebih perlahan. Ini membolehkan pemandu untuk mengeluarkan barangan menggunakan kedua-dua belah tangan dengan lebih mudah. Rekaan hud clamshell menurun ke arah gril krom diolah bersama garis lampu serta sepasang lampu utama LED dengan bahagian belakang condong yang diinspirasikan oleh coupe yang lembut. Tingkap tanpa bingkai, gril yang agresif dan warna biru Lapiz ini sangat menakjubkan. Penulis berpendapat kata ‘menakjubkan’ seharusnya digunakan untuk menggambarkan sebuah jentera aspirasi baik untuk mengemudi perjalanan jauh mahupun singkat.

Pautan berkaitan: ART IN MOTION: SNIKER IKONIK ASICS SPORTSTYLE BERSAMA ARTIS SENI ASIA TENGGARA

Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

Melangkah Ke Masa Depan Elektrik Sepenuhnya 01

Melangkah Ke Masa Depan Elektrik Sepenuhnya

Bacaan Lanjut

GOLF R-LINE – EVOLUSI KESERONOKAN VOLKSWAGEN TERBAHARU

Bacaan Lanjut

BMW X4 – ELEKTRIFIKASI, SPORTY DAN PENUH SOFISTIKASI

Bacaan Lanjut

BMW 5 SERIES PENERAJU PERUBAHAN BAHARU

Bacaan Lanjut

SENSASI MINI ELECTRIC GENERASI TERKINI

Bacaan Lanjut

Victory Travels In Louis Vuitton

Bacaan Lanjut