Skip to content

"SAYA TAK TAHU REKAAN TANJAK TERSEBUT UNTUK OLIMPIK 2020," SALLEHIN HUSSAIN, PEREKA TANJAK KONTINJEN MALAYSIA

“SAYA TAK TAHU REKAAN TANJAK TERSEBUT UNTUK OLIMPIK 2020,” SALLEHIN HUSSAIN, PEREKA TANJAK KONTINJEN MALAYSIA

Kongsikan artikel ini

KONTINJEN MALAYSIA BERPAKAIAN YANG DIINSPIRASIKAN DARI PEMAKAIAN LAKSAMANA HANG TUAH BAGI ATLET LELAKI DAN LENGKAP BERDOKOH SERTA ANGGUN BERSELENDANG BAGI PERSALINAN WANITA. TANJAK YANG DIPAKAI ATLET LELAKI SEWAKTU ACARA PERMBUKAAN OLIMPIK TOKYO 2020 ITU MERUPAKAN HASIL TANGAN SALLEHIN HUSSAIN, PENGARANG TANJAK DARI TANJAKFANSURI. SATU KEBANGGAAN BUATNYA.

 

BAGAIMANAKAH PERASAAN SALLEHIN APABILA PIHAK PENGANJUR MEMINTA SALLEHIN UNTUK MEREKA TANJAK UNTUK KONTINJEN MALAYSIA DI OLIMPIK 2020?

Gembira yang amat sangat. Sukar untuk digambarkan apabila diberi ruang dan peluang mengarang tanjak untuk Olimpik 2020 di Tokyo. 

Dua rekaan awal tanjak yang diusulkan Sallehin sebelum proses pemilihan tanjak akhir ditentukan.

 

BAGAIMANAKAN PROSES AWAL SEWAKTU MEREKA TANJAK TERSEBUT?

Tempahan berlaku seperti kebiasaan pelanggan lain sebelum-sebelum ini, segala perbincangan dilakukan melalui aplikasi WhatsApps kerana perniagaan kecil saya ini boleh dikatakan dilakukan seratus peratus secara talian. Saya diminta untuk mengarang dua jenis tanjak yang berbeza dari dua kain yang berbeza motif yang disediakan oleh mereka. 

Pada masa itu saya tidak tahu rekaan tanjak tersebut bakal diperagakan untuk temasya pembukaan Olimpik Tokyo 2020. 

 

APAKAH YANG TERJADI SELEPAS SALLEHIN MENERIMA TAWARAN ITU?

Selang beberapa hari kemudian, saya dihubungi semula dan diminta untuk mengarang tujuh tanjak. Dalam masa yang sama mereka memaklumkan kepada saya bahawa tanjak ini bakal diperagakan pada acara pembukaan Olimpik Tokyo 2020. 

Memang terkejut dengan makluman tersebut, malah rasa tidak percaya betul ke ni, tanjak gubahan baru (kerasi) saya terpilih ke Olimpik?

“Dalam beribu pengarang tanjak, kenapa aku?” itulah perkara yang bermain-main dalam fikiran saya. Memang tak sangka. 

Setelah saya menerima kain, saya memulakan proses pembuatan. Kebiasaannya saya akan membuat tanjak sama ada menggunakan kain songket atau kapas. Tetapi kali ini, menggunakan kain yang berbeza. Ini pertama kali saya membuat tanjak menggunakan ‘polyester’, seakan-akan kain yang digunakan untuk membuat uniform. 

Setelah selesai menyiapkan tujuh tanjak, saya bungkus setiap satu tanjak dalam kotak bagi memastikan tanjak tidak rosak semasa proses penghantaran. Menghantarkannya menggunakan perkhidmatan e-hailing. 

 

tanjakfansuri

Pembawa Jalur Gemilang, Lee Zii Jia turut memakai tanjak Tanjakfansuri ketika acara pembukaan.

tanjakfansuri

Tanjak rekaan Tanjakfansuri yang dipakai oleh atlet renang, Welson Sim sewaktu acara pembukaan Olimpik Tokyo 2020

 

THEN, WHAT HAPPENED NEXT? 

Selang dua hari kemudian saya dihubungi semula untuk menambah sebelas tanjak lagi. Selepas menerima kain lagi, saya diberikan tempoh dua minggu untuk menyiapkannya. Saya memerlukan dua jam untuk menyiapkan setiap tanjak, dari proses memotong sehingga siap tanjak. 

Setelah selesai semua proses, saya sempat kirimkan video cara-cara untuk merapikan saiz tanjak serta gambar menunjukkan bagaimana cara tanjak tersebut perlu dipakai. 

Beginilah yang berlaku sepanjang proses tempahan tanjak. 

 

ADA SEBARANG CABARAN SEWAKTU MENYIAPKAN REKAAN?

Sebenarnya tanjak gubahan baru (kerasi) ini saya dah hasilkan sejak tahun 2017. Dan antara tanjak yang popular ditempah pelanggan untuk pelbagai majlis. Oleh itu, saya tidak mengalami kesukaran untuk mengarang tanjak ini, cuma sedikit sukar pada proses jahitan dan untuk dibentuk kerana ia menggunakan kain yang berbeza dari kain kapas atau songket. 

Cabaran lain sewaktu menyiapkan tanjak ini adalah kekangan masa kerana saya hanya boleh menyiapkan tanjak selepas waktu bekerja. 

Sallehin bergambar bersama hasil akhir tanjak

 

PERASAAN SALLEHIN SETELAH MENYAKSIKAN REKAAN TANJAKFANSURI MUNCUL DI ACARA PEMBUKAAN OLIMPIK TOKYO 2020?

Seawal jam 5 petang saya set reminder pada dekoder Astro, saluran 801 Astro Arena supaya tidak terlepas menyaksikan acara pembukaan. Tepat jam 7 malam saya dan ahli keluarga berkumpul bersama-sama untuk menyaksikan acara perasmian tersebut. 

Perasaan berdebar-debar menantikan kemunculan kontinjen Malaysia. Kami sekeluarga diselubungi pelbagai perasaan, takut tanjak tak jadi pakai ke, risau tanjak salah pakai dan macam-macam lagi. 

Bila tibanya masa kontinjen Malaysia keluar, suasana rumah saya riuh dek sorakan dari anak-anak. Tak kurang juga saya dan isteri turut serta bersorak bersama-sama. 

MENGAPA MEMILIH CORAK GEOMETRI?

Saya tidak terlibat dengan proses pemilihan kain, sama ada ‘design’ kain mahupun  jenis kain.

 

ADA SESI FITTING BERSAMA SETIAP AHLI KONTINJEN MALAYSIA SEBELUM MEREKA BERLEPAS KE TOKYO?

Untuk sesi fitting saya hanya dapat bekalkan video cara untuk ‘adjust’ saiz tanjak, dan gambar bagaimana tanjak tersebut perlu dipakaikan di atas kepala. 

Dalam semua proses di atas, saya belum pernah berjumpa dengan mana-mana pihak. Semuanya dilakukan seratus peratus di atas talian. 

 

PROJEK AKAN DATANG TANJAKFANSURI?

Perancangan dan hala tuju Tanjakfansuri selepas ini adalah untuk memastikan produk Tanjakfansuri terus relavan dalam pasaran. Tidak hanya digayakan pada musim-musim tertentu. Dalam masa yang sama dapat memastikan warisan Melayu terus diagungkan, tidak hilang ditelan zaman. 

 

Gambar: Milik peribadi Sallehin & Google

Artikel berkaitan: ALAMI SENSASI TOKYO 2020 TERUS DARI RUMAH

By Johan Kassim
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

CUBA RESEPI MILO® INI SEMPENA KEDATANGAN PARK SEO-JUN KE MALAYSIA

Bacaan Lanjut
AKTIF BERLAKON DAN MENGACARA, INI SISI BERGAYA AIMAN WYNNE

AKTIF BERLAKON DAN MENGACARA, INI SISI BERGAYA AIMAN WYNNE

Bacaan Lanjut
KEJUTAN BUAT PEMINAT, UNGU LANJUTKAN KONSERT SATU HARI LAGI

KEJUTAN BUAT PEMINAT, UNGU LANJUTKAN KONSERT SATU HARI

Bacaan Lanjut
FESTIVAL DAN KONSERT MUZIK MENARIK DI ASIA 2022

FESTIVAL DAN KONSERT MUZIK DI ASIA 2022

Bacaan Lanjut

BUFET RAMADAN ‘MUHIBBAH MALAYSIA’ DI PAVILION HOTEL KUALA LUMPUR

Bacaan Lanjut

KEL WEN, TUNGGAK UTAMA BEHATI

Bacaan Lanjut