NEELOFA, ZOUK & HIJAB. DI MANA SILAPNYA?

Baru ahad lepas (25 Feb 2018), layar skrin netizen ‘bersemut’ dengan berita keindahan persandingan pelakon ‘merpati dua sejoli’, #FattZura, dan keesokannya (26 Feb 2018), kecoh pula tentang tindakan ‘mengejutkan’ usahawan dan pelakon, Neelofa dikecam selepas mengadakan majlis pelancaran koleksi tudung serta sambutan ulang tahun kelahirannya ke-29 di sebuah kelab hiburan terkenal. Was it an attempt for trending takeover? Nah, penulis hanya mengagak saja. Namun jika benar, ia nyata satu tindakan strategik pemasaran produknya. Manakan tidak, tidak sampai sehari semua tudung yang dijual atas talian, habis!

(Foto kredit: www.hangat.com)

Hebat bukan? Ya, penulis akui memuja dari jauh kredibiliti dan kesungguhan ikon pujaan ramai itu. Neelofa membuktikan seorang wanita muslimah persisnya, plus without a man by her side mampu mengecap kejayaan dengan hasil usahanya sendiri sehingga banyak pencapaian terpahat kekal dalam resume kariernya.  Namun penulis akui terkejut selepas mendapat tahu beliau akan melancarkan koleksi tudung terbaru BeLofa, di sebuah kelab malam terkemuka. Sempat juga penulis bertanya pada rakan media lain, ‘serius ah Lofa launch tudung kat Zouk?’ Seakan tidak percaya. Well, things happened.

Dek atas ‘ketelanjuran’ dan keberaniannya, Neelofa still talk of a town until today. Ramai mengecam tindakannya itu, namun ada juga yang membela. Persoalannya kini, has Neelofa went too far, or hasn’t she?

HANYA SEMATA TEMA?

Jelas sekali penulis tidak bertudung. Tetapi yang pasti, wanita berhijab darjatnya sangat tinggi. Bahkan, bukan mudah untuk seorang wanita menyembunyikan ‘permata’ nya dan terus beristiqomah. Banyak godaan dan cabaran. Ini diperakui sendiri oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turut memberi pandangannya sendiri berhubung tindakan Neelofa.

Jelas beliau, ‘tudung adalah simbol sifat malu seorang wanita, simbol akhlak Muslimah yang perlu dipelihara dan simbol kemegahan Islam yang wajar dibanggakan. Tidak salah untuk kita mencari kelainan. Malah, kadangkala kelainan itulah yang melorongkan seseorang ke jalan Tuhan. Namun, fitnah dan tohmahan perlulah sentiasa dielakkan. Satu kaedah yang masyhur di dalam Islam “Matlamat tidak menghalalkan cara”. Benar, perniagaan untuk mendapatkan keuntungan adalah matlamat yang murni. Namun begitu, kaedahnya juga wajib diraikan agar terhasilnya keberkatan”.

Surat teguran Mufti WP khas buat Neelofa.

Persoalannya, kenapa kelab malam itu dipilih sebagai venue pelancaran? Ya, penulis akui Neelofa adalah insan kreatif yang inginkan satu kelainan dalam setiap produk yang dihasilkan. Menurutnya, tema neon dipilih dan Zouk adalah satu-satunya lokasi strategik yang dapat merealisasikan impian dan misinya. Jika tempat lain dipilih, Neelofa perlu membayar lebih. Atau mungkin kah tempat bukanlah isunya kini. Kenapa penulis berkata demikian?

Ya, penulis akui tiada pada tempat kejadian dan mungkin tiada salahnya Neelofa melancarkan koleksi tudungnya di situ. Apatah lagi Neelofa dan teamnya berkeras tiada alkohol dihidangkan mahupun kewujudan rokok dan vape. Tetapi bagaimana pula dengan aksi-aksi tarian kurang manis wanita bertudung terkinja-kinja menari seakan tidak ingat dunia, sambil disaksikan kaum lelaki yang turut berada sama. Jika mereka tiada, lainlah cerita.

Di sini, penulis ingin menegaskan, sebagai founder kepada jenama dan perusahaan ini, Neelofa bertanggungjawab untuk memperhalusi satu persatu aktiviti yang ingin dijalankan sebelum ia berlangsung. Sebagai insan yang bijak dan rasional, Neelofa boleh berfikir apa yang manis dan apa yang tidak untuk dilakukan oleh rakan dan jemputannya yang berhijab. Apatah lagi tarian, muzik, dan pergaulan bebas menjadi ‘nadi’ kepada tempat itu. Lagipun bukan baru seminggu dua Neelofa berhijab bukan. Make sense?

TERIMA KRITIKAN, AKUI KESILAPAN AND MOVE ON!

Neelofa, wanita kental! Penulis akuinya. Kutuklah apa saja, kecamlah sesuka hati yang pasti Neelofa tidak mudah tunduk akan apa saja kritikan yang dilemparkan. Jelasnya, beliau sendiri tidak terkesan malah tahu apa yang dilakukan. Ya, penulis admire Neelofa untuk itu. Namun, penulis akan lebih mengaguminya sekiranya Neelofa tidak berkerasan merasakan dirinya betul.

Harus diingat, walaupun dirinya tidak ambil pusing kata netizen, tetapi netizenlah yang melariskan jualan tudungnya itu. Mungkin sudah tiba masanya untuk Neelofa membuka mata dan minda, bahawa bukan semua kritikan itu menjatuhkan. Ada kala kritikan itu menunjukkan bahawa betapa sayangnya peminat terhadap dirinya.

Foto kredit: Foto Mohd Yusni Ariffin (Berita Harian Online)

Yang jelas di sini, isu ini berlaku akibat kesilapan Neelofa dalam membuat keputusan, tanpa merujuk kepada pakar agama terlebih dahulu, plus she’s a huge celebrity!. Walaupun keputusannya itu ‘menguntungkan’ duit poketnya, namun Neelofa tidak boleh lari dari implikasi dan impak dari kejadian kelmarin. Walaupun sehingga ke saat ini, ada campur tangan dari mufti yang menegur cara baik, termasuk netizen yang tiada henti menasihati, namun beliau seakan tidak berganjak dari pendiriannya. (Ketika artikel ini ditulis) Isunya kini, tercalarkah maruah Neelofa jika mengakui khilafnya, atau tinggi sangatkah darjat semua tuk menghukum sedangkan diri tidak sebaik mana?

Walau apa yang terjadi, pasti ada sesuatu yang kita pelajari dari isu ini. Seperti yang dinyatakan melalui kalam yang dititip Mufti Wilayah pada Hajjah Neelofa, adalah kekuatiran indikasi ini ‘bakal membawa satu fenomena normalisasi dalam bertudung. Apa sahaja boleh dan dibenarkan asalkan bertudung, sedangkan tudung itulah perisai utama kaum wanita’.

Sekadar pandangan penulis pula, alangkah indahnya jika pelancaran tersebut diselangi dengan majlis kesyukuran atau, selain duit hasil jualan disalurkan pada mereka yang terkesan dan terkorban dek pergolakan di bumi Syria sana. Barulah kena dengan nama Neelofa yakni bermaksud bunga Teratai, seperti dalam catatan pengembaraan Ibn Battuta, Nilüfer yang digambarkan sebagai seorang wanita solehah dan cemerlang (Sumber: www.thevocket.com). Namun siapa tahu? Entah-entah Neelofa lebih banyak melakukan sumbangan dan menderma dari netizen yang berterusan menghina dan mencaci dirinya. Apa-apa pun semoga Neelofa menerima segala kritikan dan kecaman dengan hati terbuka dan menerima hidayah dan petunjuk dari Allah S.W.T. All the best Neelofa! 

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan majalah GLAM Lelaki. 

Oleh Wan Mohd Firdaus, (@wanmohdfirdaus), 28 Februari 2018

 

 

Tags: , , , ,

Copyright © 2017. Blu Inc Media Sdn Bhd (7408-K). Hak Cipta Terpelihara.