Skip to content

FOTO SINTESIS: Ismael Ma

Kongsikan artikel ini

ISMAEL MA
JURUGAMBAR
instagram @ismael_ma

body-3

Ismael yang baru sahaja berumur 25 tahun, kini memasang impian untuk bergelar jurugambar landskap profesional suatu hari nanti.

I’m just a regular 25 years old guy. Sebelum kembali semula ke Malaysia, saya pernah menetap di Egypt dan Hawaii. Banyak pengalaman berharga dikutip sepanjang menetap di kedua-dua tempat tersebut. Kedua-dua lokasi tersebut jugalah pencetus minat saya mengambil gambar dan banyak tentang dunia fotografi saya pelajari dari sana,” cerita Ismael.

Sesiapa yang berjumpa Ismael buat pertama kali, pasti akan tertanya-tanya, dari manakah Ismael berasal. Wajahnya seperti punya campuran Melayu dan Cina. Pertuturan bahasa Inggerisnya juga amat fasih. Terangnya, “Ibu dan bapa saya berasal dari negara Cina, bukan Malaysian Chinese. Tetapi, saya dilahirkan dan membesar di Kuala Lumpur. Saya pernah bersekolah di sekolah Cina dan Kolej Tuanku Jaafar. Dan membesar di Kuala Lumpur adalah suatu pengalaman yang berharga dalam diri saya. Banyak juga memori manis sepanjang membesar di Kuala Lumpur. Pada saya, Kuala Lumpur is my home.”

Menariknya tentang Ismael, dia membesar bersama lima orang kakak dan sebagai anak bongsu, akuinya agak manja. Biarpun tampak manja, sejak kecil lagi Ismael aktif melakukan aktiviti luar. “Saya merupakan remaja aktif dan boleh dikatakan saya masih aktif melakukan pelbagai aktiviti luar. Seperti bermain bola sepak dan menyelam. Pada usia 16 tahun, saya sudah mendapatkan lesen menyelam. Selain itu, rugbi dan bola keranjang turut saya minati. Tetapi buat masa ini saya perlu perlahankan sebentar melakukan aktiviti tersebut kerana dalam proses pemulihan disebabkan kecederaan yang dialami lalu. Kini, saya sedang giat melalukan aktiviti memanjat gunung dan rock climbing.”

Beritahu Ismael, bagi memenuhi minatnya terhadap memanjat gunung, dia pernah merencanakan percutian di beberapa lokasi bergunung. Seperti baru-baru ini, Ismael baru sahaja pulang dari memanjat Gunung Rinjani bertempat di Lombok, Indonesia. “Memanjat gunung di sekitar Hawaii lebih mengujakan berbanding di sini. Kerana laluan mendaki lebih kukuh dan tentunya pemandangan dari puncak sangat memukau!” cerita Ismael dengan penuh teruja.

“Keluarga selalu mengingatkan saya untuk melakukan sesuatu yang diminati dengan sepenuh hati. Lakukan ia seratus peratus. Kalau tak nanti akan menyesal.”

Memiliki keluarga besar dan ibu bapa berkerjaya profesional, banyak nasihat tentang kehidupan dan pekerjaan dikongsikan oleh mereka. Antaranya lakukan sesuatu itu dengan bersungguh-sungguh. “Keluarga banyak menasihati saya terhadap pelbagai aspek. Mereka selalu mengingatkan saya untuk melakukan sesuatu yang diminati dengan sepenuh hati. Lakukan ia seratus peratus. Kalau tak nanti akan menyesal. Dan tentunya kita tak mahu menyesal di kemudian hari, bukan?”

Selain minat melakukan aktiviti sukan, apa yang saya perhatikan ialah Ismael turut meminati apa sahaja tentang kebudayaan. Semangat kebudayaannya juga terpancar pabila berbual subjek berkaitan budaya. “Cultural stuff has always been inside me. Ibu saya membesar di Turki dan oleh itu, semasa kecil saya sering melawati keluarga sebelah ibu di Turki. Sekurang-kurangnya, setahun sekali saya akan ke sana. Agaknya bermula dari situ, minat saya terhadap kebudayaan mula timbul. Dan saya gemar mendalami sesuatu budaya itu kerana perbezaan setiap budaya itu cukup unik.”

Memori awalnya terhadap bidang fotografi terbit kala mengikuti program antara kebudayaan AFS ke Egypt, Mesir. Abang ipar menghadiahkannya kamera digital untuk merakam gambar dan video sepanjang sembilan bulan di sana. “Saya mendokumentasi setiap perjalanan dan aktiviti yang dilakukan di Egypt. Apa sahaja lokasi atau benda yang dirasakan cantik dan unik, saya akan rakamkan.”

Bagi yang mengikuti akaun Instagram Ismael, tentunya akan terpesona serta mengagumi koleksi gambar yang ditangkap Ismael. Semuanya indah-indah belaka. Tak ramai yang memiliki ‘mata’ seperti Ismael. Dan berdasarkan koleksi gambar yang dikongsi, memanglah benar dia jurugambar landskap yang berbakat besar serta punya harapan tinggi di masa akan datang.

“Saya tak jangka akan menerima komen positif dan sangat menggalakkan. Pengikut Instagram saya mengatakan gambar-gambar saya berinspirasi.”

Ismael memberitahu, “Setelah saya menetap di Hawaii, minat saya terhadap fotografi mula tercetus. Di samping itu, persekitaran Hawaii amatlah indah dan banyak lokasi menarik boleh dirakam. Lagi pun, tak perlu bersusah payah nak cari lokasi baru. Ia berbeza dengan persekitaran di kawasan bandar. Pencemaran pun tak banyak seperti di bandar dan alam semula jadinya masih terjaga. Awan biru di Hawaii turut menangkap perhatian saya untuk mengembangkan bakat mengambil gambar.”

Minat mengambil gambar bukan sekadar hobi, Ismael mengembangkannya dengan bekerja dengan syarikat produksi semasa di Hawaii. “Saya pernah bekerja sebagai pembantu produksi dengan salah sebuah syarikat produksi di sana. Datang tanpa pengalaman, saya memberitahu majikan bahawa saya sanggup belajar daripada asas. Dan setelah beberapa bulan bekerja, banyak pengalaman baru dan skil dalam bidang produksi telah saya pelajari. Semua pengetahuan itu amat berguna buat mengemudi pekerjaan saya hari ini.”

Dengan teknologi serba canggih, Ismael menggunakan media sosial khususnya Instagram sebagai landasan mempamerkan karya fotografinya. Setiap foto yang dipaparkan dirakam menggunakan kamera digital dan telefon pintar miliknya. “Saya tak jangka akan menerima komen positif dan sangat menggalakkan. Terdapat komen daripada pengikut Instagram saya mengatakan gambar-gambar saya menginspirasikannya dan banyak memberi mereka ilham teknik mengambil gambar. Ada juga bertanya di manakah lokasi yang dipaparkan kerana mereka berminat untuk ke sana juga. Membaca kesemua komen ini, secara tak langsung membuatkan saya rasa gembira.” Ismael turut berkongsi bahawa dia teringin sekali ke Mulu, Bali dan Bromo untuk mengambil gambar-gambar landskap di sana.

Pada saya, selain mahir akan teknik tertentu, jurugambar harus mempunyai ‘mata’ bagi menangkap gambar yang cantik. Dan berdasarkan penilaian koleksi gambar Ismael, tanpa ragu-ragu dia punya ‘mata’. Dia bersetuju dengan pandangan saya dengan berkata, “Yes! I do think I have an eye for it. Setiap jurugambar ada ‘mata’ yang berlainan. Dan agak sukar untuk mendapatkan syot terbaik kalau tidak ada ‘mata’. Jikalau saya tiada ‘mata’, I won’t know what I’m doing now.”

“Saya pernah diberitahu bahawa saya bukan jurugambar dan what I’m doing is digital imaging. Tapi pada saya, ia tidak betul.”

Khusus jurugambar generasi baru, mereka bertuah kerana dengan bantuan teknologi serta aplikasi canggih, ia banyak membantu mereka mendapatkan syot-syot terbaik. Dan pada masa sama, menjimatkan masa. Tak perlu bersusah payah seperti jurugambar terdahulu, di mana ia lebih bergantung kepada tenaga dan inisiatif sendiri. Dengan pertolongan aplikasi seperti Photoshop, In Design, VSCOCAM dan sebagainya, dengan hanya beberapa klik dan editing, gambar bertukar menjadi lebih ‘sesuatu’.

“Saya pernah diberitahu bahawa saya bukan jurugambar dan what I’m doing is digital imaging. Ia bererti menangkap gambar secara digital dan mengubah suai gambar dengan menggunakan aplikasi atau pengisian sedia ada. Tapi pada saya, ia tidak betul. Aplikasi editing dikira salah satu cabang seni. Dan ia memerlukan fokus secukupnya juga memakan masa tertentu untuk edit gambar dan bukan semua orang bisa melakukannya dengan baik.”

body-2

“Tambahan pula, dunia hari ini rancak dengan persaingan. Semua orang berlumba-lumba nak ke hadapan dan mengimpikan karya mereka mendapat sambutan. Oleh itu, kita perlu mencuba pelbagai cara dan teknik bagi menghasilkan karya bermutu dan indah pada pandangan umum. Sama juga seperti jurugambar yang membeli alatan kamera beribu-ribu ringgit, tapi tak tahu mengambil gambar. Apa gunanya, bukan?” luah Ismael yang amat meminati hasil karya jurugambar National Geographic yakni Jimmy Chin.

Sebelum mengakhiri perbualan, Ismael ada memberitahu buat masa ini dia sedang giat menyudahkan projek fotografi terbarunya iaitu mengambil potret rakan-rakannya. Tambahnya lagi, setelah projek tersebut selesai, dia akan mempamerkan kepada semua pengikut karyanya.

By Abdul Aziz Draim
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

5 BINTANG HOLLYWOOD BERKELULUSAN HARVARD

5 BINTANG HOLLYWOOD BERKELULUSAN HARVARD

Bacaan Lanjut

RENAISSANCE FILEM BY BEYONCÉ DITAYANGKAN DISEMBER INI

Bacaan Lanjut

“USAH RISAU TENTANG KEMASYHURAN DAN KEKAYAAN, IA AKAN DATANG SENDIRI” – DATO’ SRI BERNARD CHANDRAN #GLALPHAMEN2023

Bacaan Lanjut
Tomok diangkat sebagai Alphamen GLAM Lelaki 2023

“JANGAN MUDAH LEKA DAN LALAI DENGAN SEGALA IMPIAN YANG INDAH DI LUAR SANA” – TOMOK #GLALPHAMEN2023

Bacaan Lanjut

“KITA PERLU MENORMALISASIKAN PERBUALAN KESIHATAN MENTAL. HENTIKAN STIGMA SETIAP LELAKI PERLU “SUCK IT UP” ATAU “BE A MAN” – KHOON HOOI #GLALPHAMEN2023

Bacaan Lanjut

REXKL MELANCARKAN REXPERIENCE – SEBUAH GALERI SENI IMERSIF TERBAHARU DI KUALA LUMPUR

Bacaan Lanjut