Genap setahun menjayakan Konsert Ruffera di Dewan Filharmonik Petronas, Ruffedge bakal kembali menghiburkan peminat pada 19 Ogos ini.
Kumpulan yang dianggotai oleh Sein, Cat, Mode, Azan dan Zain itu telah pun memulakan konsert jelajah Ruffera ‘That Moment In Time’ dengan memilih Singapura sebagai destinasi pertama. Dengan penampilan istimewa DJ Uno, konsert yang berlangsung pada 24 Jun lalu di dewan utama The Theatre Mediacorp itu berjaya mencuri hati penonton. Ruffera ‘That Moment In Time’ Live In Kuala Lumpur juga akan membawakan artis jemputan khas yang tidak asing di kalangan peminat R&B iaitu Lah Ahmad.
“Pertama sekali terima kasih kepada peminat-peminat Ruffedge di Singapura yang menyaksikan persembahan istimewa mereka yang sememangnya ditunggu-tunggu selama ini. Dengan memberi sedikit kelainan bagi konsert di Kuala Lumpur, kami membawakan persembahan khas daripada penyanyi R&B terkenal, Lah Ahmad. Dia diundang sebagai penyanyi khas pada malam bersejarah itu,” kata Haniff Hamzah, Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia selaku penganjur.
Menurut Sein, Lah Ahmad dipilih kerana mereka mempunyai keserasian ketika membuat persembahan. Selain itu mereka juga bakal mengeluarkan lagu kolaborasi yang bakal dimuatkan dalam album terbaru Ruffedge tidak lama lagi.