10 LARANGAN YANG MESTI DIPATUHI KERABAT DIRAJA BRITAIN
Keluarga Diraja Britain sering memukau dunia dengan kehidupan mewah dan koleksi berlian memukau. Bagaimanapun, monarki itu juga mempunyai tradisi dan protokol pelik yang perlu diikuti setiap kerabat.
Sebagai pemerintah, Raja Charles III dikecualikan daripada kebanyakan undang-undang Britain tetapi terdapat juga beberapa peraturan yang perlu dipatuhinya. Tradisi sama dikenakan terhadap ahli keluarga Diraja yang lain walaupun sesetengah daripada mereka enggan mematuhi undang-undang pelik yang ditetapkan.
Beberapa protokol terkenal termasuk tidak duduk bersilang kaki dan tidak berkongsi pandangan politik, tetapi ada juga peraturan lebih aneh yang melibatkan diet dan fesyen.
GL kongsikan 10 protokol pelik yang perlu diiikuti kerabat Diraja Britain.
10. TIDAK BOLEH MELAMAR TANPA KEBENARAN MONARKI
Seperti yang digariskan dalam Akta Perkahwinan Diraja 1772, kerabat kanan memerlukan kebenaran bertulis daripada monarki sebelum mereka melamar pasangan yang ingin dikahwini. Ini diikuti dengan pengumuman rasmi pertunangan dan (biasanya) taklimat dengan pihak akhbar.
9. DUA PEWARIS TIDAK BOLEH MENAIKI PESAWAT SAMA
Peraturan ini dilaksanakan untuk mengelakkan dua pewaris utama terkorban sekiranya kemalangan berlaku. Ini bermakna apabila Putera George mencapai usia 12 tahun, dia tidak boleh lagi menaiki penerbangan sama dengan bapanya, Putera William. Peraturan ini turut dikenakan terhadap Putera William dan Raja Charles.
8. TIDAK DIBENARKAN BERAKSI MESRA SECARA TERBUKA
Kerabat Britain tidak boleh memaparkan rasa cinta terhadap pasangan di khalayak ramai. Walaupun Putera Harry dan Meghan Markle sering melanggar peraturan ini dengan berpegangan tangan, Putera William dan Puteri Kate Middleton juga pernah beberapa kali memberi isyarat cinta terhadap satu sama lain dengan cara halus.
7. MAKANAN BERCENGKERANG ATAU DAGING DIMASAK RARE ADALAH DILARANG
Peraturan ini tidak dianggap terlalu pelik memandangkan kedua-dua hidangan ini boleh menyebabkan keracunan sekiranya tidak dimasak dengan betul. Walaupun ia bukanlah undang-undang yang ketat, kerabat Britain dinasihat untuk mengelakkannya selagi boleh. Raja Charles juga beberapa kali dilihat gagal menahan godaan.
6. WANITA BUJANG DILARANG MEMAKAI TIARA
Kerabat wanita tidak dibenarkan menyarung tiara di kepala selagi belum sah bergelar isteri. Ia merupakan tradisi lama dan bagi kebanyakan ahli keluarga Diraja, kali pertama mereka memakai tiara mewah adalah pada hari perkahwinan mereka. Begitu juga dengan Meghan, Puteri Kate dan Puteri Beatrice.
5. TIDAK BOLEH MEMBERI AUTOGRAF ATAU MERAKAM SWAFOTO BERSAMA PEMINAT
Kerabat Diraja dilarang memberi autograf untuk mengelakkan risiko tandatangan mereka dipalsukan. Mereka dikehendaki menolak permintaan peminat seperti yang sering diucapkan oleh Raja Charles, “Maaf, mereka tidak membenarkan saya berbuat demikian.” Bagaimanapun baginda membuat pengecualian apabila menandatangani autograf untuk keluarga yang terjejas akibat banjir kilat dahsyat di Cornwall pada 2010.
Sementara itu, Meghan pernah melanggar protokol tersebut dan menandatangani nota peminat dengan menulis, “Hai Kaitlin”. Swafoto bersama peminat juga adalah dilarang.
4. TIADA MAKAN MALAM KRISMAS TANPA MENIMBANG BERAT BADAN TERLEBIH DAHULU
Mungkin tradisi paling pelik dalam keluarga Diraja adalah upacara sebelum jamuan Hari Natal. Menurut CBS News, kerabat diminta menimbang berat badan mereka sebelum dan selepas jamuan. Jika berat badan bertambah, ia menandakan bahawa mereka benar-benar menikmati jamuan itu.
3. PEWARNA KUKU RONA TERANG TIDAK DIBENARKAN
Terdapat beberapa peraturan fesyen dalam keluarga Diraja dan salah satunya adalah tidak menggayakan kuku rona terang terutama sewaktu menjalankan tugas rasmi. Laporan mendakwa peraturan ini dicipta untuk mengelakkan gangguan dan mengekalkan profesionalisme.
2. PENGGUNAAN BULU HAIWAN ADALAH DILARANG
Peraturan ini wujud sejak 1337 setelah Raja Edward III melarang semua rakyat termasuk kerabat Diraja memakai pakaian daripada bulu haiwan. Mendiang Ratu pernah beberapa kali melanggar peraturan ini sehingga tahun 2019 sebelum penata gayanya, Angela Kelly mengesahkan baginda hanya memakai bulu tiruan sejak itu.
Puteri Kate juga pernah berdepan kecaman daripada PETA selepas menyarung sepasang sarung tangan bulu oposum sewaktu percutian keluarga pada 2016.
1. TIDAK DIBENARKAN BERMAIN MONOPOLI
Menurut media British, terdapat satu permainan papan yang tidak dibenarkan memasuki kediaman Diraja: Monopoli. Ia ‘diharamkan’ oleh mendian Ratu kerana dikatakan terlalu ganas. The Daily Telegraph memetik kata-kata Putera Andrew yang mengesahkan perkara itu, “Kami tidak dibenarkan bermain Monopoli di rumah.”
Foto: E! News
Pautan berkaitan: PUTERA WILLIAM & PUTERA GEORGE DILAPORKAN MELANGGAR PROTOKOL DIRAJA
Tags
Artikel Yang Berkaitan
ISYARAT MANIS DARIPADA PUTERA WILLIAM BUAT ANAK PEREMPUANNYA, PUTERI CHARLOTTE
Putera William secara terbuka menunjukkan rasa kasih dan sayang pada Puteri Charlotte dengan memakai gelang manik pemberian puterinya.
ALASAN MENGAPA PUTERA WILLIAM TIDAK PERNAH MENYARUNG CINCIN PERKAHWINAN
Ramai tidak menyedari bahawa Putera Wales tidak pernah menyarung cincin sejak mendirikan rumah tangga sehingga ke hari ini.
PUTERA HARRY TERIMA ‘HADIAH HARI LAHIR’ DARIPADA MENDIANG PERMAISURI ELIZABETH
Kekayaan Putera Harry meningkat secara mendadak pada ulang tahun kelahirannya yang ke-40 baru-baru ini.
GAJI TAHUNAN PUTERA WILLIAM SELEPAS DIKURNIA GELARAN DUKE OF CORNWALL
Putera William memiliki estet bernilai lebih RM47 bilion yang ditubuhkan oleh Raja Edward III pada 1337 buat pewaris takhta.
HIMPUNAN FOTO KERABAT DIRAJA BRITAIN DARI 1920-AN YANG TIDAK PERNAH DILIHAT
Istana Buckingham menganjurkan pameran ‘Royal Portraits: A Century of Photography’ dan menjemput orang ramai menikmati karya seni dan sejarah di sebaliknya.
RAJA CHARLES III AKHIRI TRADISI ISTANA WINDSOR BERUSIA 200 TAHUN
Raja Charles III mengetepikan satu tradisi tertua di Britain sekali gus mengecewakan sebahagian rakyat jelata.