PERUBAHAN FIZIKAL ADAM LAMBERT MENCURI PERHATIAN
Penyanyi yang terkenal dengan vokal lantang dan memukau, Adam Lambert mengejutkan peminat baru-baru ini dengan fizikal lebih langsing.
Kelibatnya dirakam ketika berjalan keluar dari set penggambaran rancangan Today di New York City pada hari Rabu. Adam memancarkan keyakinannya dalam persalinan rona biru terang sambil menunjukkan tanda ‘peace’ ke arah kamera.
Menurut laporan, penyanyi berusia 42 tahun itu berjaya menurunkan sekitar 27 kilogram dalam tempoh lapan bulan dengan bantuan ubat merawat diabetes jenis dua, semaglutide.
Jelasnya, dia diberikan Ozempic oleh doktor untuk membantu mengawal gula dalam darah. Namun dek kesan sampingan yang dialami, dia bertukar kepada jenama lain iaitu Mounjaro.
Adam Lambert Dibelenggu Masalah Berat Badan Sejak Remaja
Beberapa tahun kebelakangan ini pelantun lagu Ghost Town itu terbuka berkongsi tentang masalah berat badan dan isu kesihatannya.
Dalam beberapa hantaran di media sosial, Adam bercakap tentang cabaran yang dihadapinya dalam menangani masalah berat badan berlebihan dan bagaimana ia mempengaruhi fizikal dan mentalnya.
Dalam satu temu bual bersama Sirius Radio pada 2009, Adam mendedahkan bahawa berat badannya pada zaman remaja adalah sekitar 114 kilogram. Ini sekali gus mencalarkan keyakinan dirinya.
“Ia mencetuskan beberapa isu dalam hidup saya. Antaranya imej tubuh dan keyakinan diri,” katanya.
Adam bukan satu-satunya selebriti yang menggunakan semaglutide untuk menurunkan berat badan. Ramai bintang Hollywood telah mencuba kaedah ini, bagaimanapun ramai juga yang berdepan dengan kesan sampingan teruk.
Justeru penyanyi ini mengingatkan peminatnya agar sentiasa berhati-hati dalam memilih kaedah penurunan berat badan. Terutama penggunaan semaglutide yang seharusnya dilakukan di bawah pengawasan doktor untuk memastikan ia selamat dan berkesan.
Foto: Page Six
Pautan berkaitan: RAHSIA MATTHEW MCCONAUGHEY TAMPIL KURUS MELIDI DALAM DALLAS BUYERS CLUB
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.