Skip to content

IMAGINUR UNGGUL DI FESTIVAL FILEM MALAYSIA 2024

IMAGINUR UNGGUL DI FESTIVAL FILEM MALAYSIA 2024

Kongsikan artikel ini

Imaginur melakar sejarah apabila dinobat sebagai Filem Terbaik pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33).

Dengan kemenangan itu, Imaginur bukan saja membawa pulang trofi tetapi juga insentif Dana Kandungan Kreatif bernilai RM500,000. Nik Amir Mustapha selaku sutradara turut menerima Anugerah Pengarah Terbaik.

Imaginur mencipta rekod apabila mendominasi senarai pemenang Festival Filem Malaysia tahun ini. Selain Filem dan Pengarah terbaik, ia turut memenangi Cerita Asal Terbaik, Penyunting Terbaik, Lagu Tema Terbaik dan Penataan Seni Terbaik.

iamginur Festival Filem Malaysia ke-33

Seperti yang telah dijangka, Beto Kusyairy diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik. Sekali gus menewaskan nama-nama hebat seperti Zul Ariffin (Sheriff: Narko Integriti), Asrulfaizal (Duan Nago Bocho), Shaheizy Sam (Polis Evo 3) dan Chew Kin Wah (Rain Town).

Senarai Pemenang Festival Filem Malaysia ke-33

Susan Lankester yang merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi Kreatif Asia 2024 menepati ramalan apabila memenangi anugerah sama di FFM33. Trofi itu diraihnya menerusi filem Rain Town.

“Dari filem Mekanik, tempat saya mulakan perjalanan dalam industri perfileman Malaysia, ke filem-filem Aziz M Osman hingga kini, saya sangat bersyukur dan terharu dengan anugerah ini.

“Terima kasih kepada FINAS, barisan juri, dan seluruh tenaga kerja Rain Town. Kita orang Malaysia,” katanya ketika berucap di atas pentas.

Susan mengenepikan saingan hebat termasuk Diana Danielle (Imaginur), Nabila Huda (Rahsia), Nadia Aqilah (Eva) dan Chen Keat Yoke (Hungry Ghost Diner).

Trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menjadi milik Elizabeth Tan (Sheriff: Narko Integriti). Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pula dimenangi oleh Jack Tan (Abang Adik).

Filem Abang Adik turut meraih beberapa lagi anugerah iaitu Pengarah Harapan dan Lakon Layar Terbaik yang dimenangi oleh Jin Ong. Tidak lupa juga Rekaan Kostum atau Busana Terbaik dan Tatarias atau Solekan Terbaik.

Acara bertemakan Evolusi Sinema Malaysia ini turut menyaksikan Sheriff: Narko Integriti meraih trofi Anugerah Khas Box Office, Kesan Khas Visual Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Qisya Hairulzain diumum sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik menerusi filem Magik. Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Harapan pula menjadi milik Aniq Durar (Pagari Bulan) dan Trisha Ooi (Janna Endoro).

Tidak ketinggalan, Jackey Yow turut ke pentas bagi menerima anugerah Skor Muzik Asal Terbaik menerusi filem Malbatt: Misi Bakara.

Festival Filem Malaysia tahun ini menerima 104 penyertaan melibatkan 95 pencalonan daripada 64 filem cereka, 20 filem pendek dan 11 dokumentari. Setiap pemenang menerima wang tunai RM5,000 bersama trofi, manakala penerima Anugerah Khas membawa pulang RM10,000.

 

Pautan berkaitan: SENARAI PENUH PEMENANG GOTHAM AWARDS 2024