PANDUAN SOLEKAN HALUS BUAT LELAKI TAMPIL LEBIH SEGAR
Menjaga penampilan dengan penggunaan solekan halus amat penting buat lelaki yang ingin kelihatan segar, lebih-lebih lagi untuk hari penting.
Di zaman moden ini, penampilan bukan lagi sekadar hal wanita semata-mata. Lelaki masa kini semakin sedar akan kepentingan menjaga wajah dan tampil kemas dalam setiap situasi, sama ada untuk urusan kerja, acara formal, mahupun rutin harian. Trend solekan halus buat lelaki ini bukanlah baharu. Di dalam dunia hiburan, solekan halus buat lelaki seringkali digunakan untuk meningkatkan penampilan individu berkenaan. Dari penyanyi-penyanyi Korea ke personaliti televisyen, penggunaan alat solek buat lelaki tidak asing lagi.
Solekan halus atau minimal makeup untuk lelaki bukan bertujuan untuk mengubah wajah secara drastik, tetapi lebih kepada menonjolkan ciri semula jadi, menyamarkan cela, dan memberikan wajah yang segar serta bertenaga. Panduan dari GLAM Lelaki ini memberi tumpuan kepada produk asas yang mudah digunakan agar anda kekal maskulin namun tampak lebih yakin dan bersedia menghadapi hari anda.
#1 Primer
Solekan boleh dimulakan dengan primer sebagai asas agar tahan lebih lama dan asas solekan tidak kelihatan cakey. Ramai yang melangkau langkah ini dan tidak mengapa, asalkan muka anda cukup lembab dan tidak kering sebelum memulakan solekan halus ini.

The Ordinary High-Adherence Silicone Primer

Chanel La Base Matifiante
#2 Bedak Asas (Foundation)
Memilih bedak asas yang ringan dan nipis amat penting lebih-lebih lagi untuk lelaki agar tidak kelihatan keterlaluan. Tekstur cecair yang ringan lebih mudah untuk disapu di atas permukaan kulit agar solekan asas kelihatan semulajadi. Beberapa jenama juga keluar dengan bedak asas khas untuk lelaki, seperti rangkaian alat solek Boy De Chanel. Bedak asas untuk kulit dan badan dari rangkaian Dior Backstage juga sempurna untuk menutup cela dengan minimalis.

Boy De Chanel Foundation

Dior Backstage Face & Body Foundation
#3 Sahap Noda (Concealer)
Buat sesetengah orang, mereka lebih gemar menggukanan sahap noda atau concealer untuk menutup cela di kulit berbanding bedak asas. Concealer mempunyai tahap penutupan yang lebih tinggi berbanding bedak asas, dengan formula dan tekstur yang lebih ringan. Produk ini seringkali digunakan untuk menutup parut-parut serta lingkaran gelap bawah mata. Jenama seperti Givenchy Beauty dan Tom Ford Men cukup sesuai untuk penutupan minimal ini.

Givenchy Mister Instant Corrective Pen

Tom Ford Concealer
#4 Bedak Tabur
Penggunaan bedak tabur melengkapkan lagi asas solekan, lebih-lebih lagi di dalam cuaca Malaysia yang panas ini. Untuk memastikan solekan halus tidak bergerak dan kekal lama, penggunaan bedak tabur dengan kuantiti yang ringan dan sedikit juga perlu. Jenama lokal IN2IT yang keluar dengan rangkaian produk solekan lelaki juga mempunyai bedak tabur yang khas buat lelaki. Selain itu, Givenchy Beauty juga cukup terkenal dengan bedak tabur mereka, walaupun dalam kalangan lelaki.

Prisme Libre 4-color Loose Powder

IN2IT Men Oil Control Loose Powder
#5 Penyerlah Kening
Untuk menambah lagi kesegaran di wajah, penggunaan produk kening juga boleh ditambah. Sedikit olesan di kening bagi menambah rona di kening bakal membuat wajah kelihatan lebih segar dan berseri. Produk ini juga mampu membuatkan kening anda kelihatan lebih kemas.

Chanel Stylo Sourcils Waterproof

Diorshow On Set Brow
#6 Balsam Bibir
Seterusnya, akhiri rutin solekan halus anda dengan bibir yang lembab. Ramai yang skeptikal dengan penggunaan balsam bibir kerana kelihatan seperti gincu. Terdapat banyak produk balsam bibir yang tidak berwarna dan sesuai untuk digunakan oleh lelaki. Selain daripada jenama antarabangsa seperti Chanel, jenama tempatan Chandra Skin juga keluar dengan rangkaian balsam bibir buat lelaki dan wanita. Kini, solekan halus anda sudah lengkap dan anda bakal kelihatan segar untuk hari istimewa!

Boy De Chanel Lipbalm
Pautan berkaitan: 5 PILIHAN BALSAM BIBIR TERBAIK UNTUK LELAKI
Tags
Artikel Yang Berkaitan
JACKSON YEE, DUTA GLOBAL BAHARU ARMANI BEAUTY
Jackson Yee, bintang Better Days, filem yang meraih pencalonan di Anugerah Akademi 2021 dilantik sebagai duta global baharu bagi mekap dan penjagaan kulit Armani Beauty. Jackson sebelum ini sudah pun dilantik sebagai jurucakap Aramani Beauty bagi pasaran China sepanjang tahun lalu. Pemilihan Jackson ini juga seiring dengan pelancaran Neocream dalam rangkaian ikonik Giorgio Aramani sendiri,…