Skip to content

ZOHRAN MAMDANI, SIMBOL BAHARU KEPIMPINAN MODEN

Kongsikan artikel ini

Zohran Mamdani dilantik sebagai Datuk Bandar Baru New York. Kini menjadi sebutan dunia apabila dia mencipta sejarah sebagai Datuk Bandar New York City yang baharu. Kemenangan Mamdani bukan sekadar perubahan politik, tetapi juga simbol kepada wajah baharu kepimpinan. Muda, progresif dan mengutamakan nilai kemanusiaan. 

Latar belakang

Dilahirkan di Kampala, Uganda kepada ibu bapa berdarah India, Mamdani berpindah ke Amerika Syarikat ketika berusia tujuh tahun. Dia menamatkan pengajian di Bronx High School of Science dan Bowdoin College dalam bidang Africana Studies. 

Muslim pertama sebagai Datuk Bandar New York

Pada November 2025, Mamdani dipilih sebagai Datuk Bandar New York, menjadikannya Muslim pertama dan lelaki berdarah Asia Selatan pertama yang memegang jawatan itu. Lebih mengagumkan, dia juga antara Datuk Bandar termuda dalam sejarah New York. Satu pencapaian yang menandakan perubahan landskap politik Amerika.

Agenda utama Mamdani

Dikenali sebagai seorang ‘democratic socialist’, Mamdani memperjuangkan dasar yang berpihak kepada rakyat. Antara tumpuannya ialah menangani kos sara hidup tinggi, memperluas pengangkutan awam percuma, serta membina kedai runcit milik bandar bagi memastikan harga barangan keperluan kekal mampu milik. Mamdani juga menekankan kepentingan perumahan berpatutan dan keadilan ekonomi untuk semua lapisan masyarakat.

Cabaran dan kontroversi

Perjalanan Mamdani tidak bebas daripada cabaran. Dia pernah menerima kritikan terhadap pendiriannya mengenai isu global dan menghadapi serangan berbentuk Islamofobia. Namun, keteguhan Mamdani mempertahankan prinsip menjadikannya simbol ketabahan bagi ramai anak muda dan minoriti di Amerika.

Simbol harapan baharu

Lebih daripada sekadar kemenangan politik, kejayaan Zohran Mamdani menandakan kebangkitan suara komuniti imigran, Muslim, dan generasi muda. Dalam ucapannya, dia menegaskan mahu menjadi “Datuk Bandar untuk semua New Yorkers”. Satu janji yang melambangkan inklusiviti dan keberanian untuk mentakrifkan semula kepimpinan di kota paling berpengaruh di dunia ini.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by RAMA DUWAJI (@ramaduwaji)

Rama Duwaji

Isterinya, Rama Duwaji, adalah seorang artis dan pelukis Syria-Amerika yang berbakat. Duwaji dilahirkan di Houston dan kemudian berpindah ke Dubai. Duwaji memberi sokongan penuh terhadap kempen Mamdani dengan terlibat dengan perancangan dan penjenamaan kempen sepenuhnya. Dengan perlantikan ini, Duwaji kini merupakan ‘first lady’ New York pertama dari generasi Z. 

Artikel berkaitan: INSPIRASI LELAKI MODEN: KETAHANAN, DISIPLIN & GAYA HIDUP SIHAT