EDDY SYAMIN, “TAHUN 2026 ADALAH TENTANG FOKUS DAN PERTUMBUHAN.”
Kali terakhir GLAM Lelaki bertemu Eddy Syamin adalah sewaktu dia tampil untuk wajah hadapan ALPHAMEN sempena meraikan ulang tahun ke-15. Kini, Eddy semakin matang dan punya misi yang lebih besar.
Boleh kongsikan sedikit tentang perjalanan Eddy dalam dunia kecergasan? Apa yang mendorong Eddy untuk bermula?
Saya tidak bermula dalam kecergasan dengan niat untuk menjadi jurulatih. Saya bermula kerana saya memerlukannya. Latihan memberi saya struktur, keyakinan dan rasa kawalan dalam hidup. Saya mempelajari Sains Sukan dan sentiasa aktif dalam bidang sukan. Selepas tamat pengajian, saya bermula dari bahagian khidmat pelanggan sebelum perlahan-lahan beralih ke dunia kejurulatihan. Waktu kerja yang panjang dan cabarannya memang sukar, tetapi saya gembira kerana bekerja dekat dengan minat saya. Lama-kelamaan, orang mula meminta bantuan saya, dan dari situlah saya sedar bahawa kecergasan bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi sesuatu yang boleh saya kongsikan dengan orang lain.
Bagaimana anda menggambarkan gaya peribadi anda? Adakah ia berubah dari masa ke masa?
Gaya saya ringkas, ‘clean’ dan praktikal. Saya gemar pakaian yang selesa, mudah bergerak dan sesuai dengan rutin harian saya. Seiring masa, gaya saya berkembang daripada terlalu berfokus kepada gim kepada sesuatu yang lebih seimbang untuk kerja dan gaya hidup. Saya tertarik kepada helaian yang ringkas dan maskulin. Tiada yang berlebihan, hanya klasik dan fungsional.
Bagaimana anda kekal mengikuti perkembangan trend content creation?
Saya banyak memerhati dan banyak bereksperimen. Trend berubah dengan sangat pantas, dan untuk mengimbangi kerja, keluarga, latihan serta penciptaan kandungan adalah sesuatu yang sangat mencabar. Ia memang tidak mudah. Ada kalanya saya perlu keluar dari zon selesa, tetapi saya sentiasa memilih apa yang terasa semula jadi untuk diri saya. Jika sesuatu tidak selari dengan siapa saya, saya tidak akan memaksakannya, walaupun ia sedang menjadi trend.
Kongsikan sedikit tentang perjalanan Eddy bersama Defy Training.
Defy Training terasa seperti rumah. Di sinilah saya paling banyak berkembang, bukan sahaja sebagai jurulatih, tetapi juga sebagai individu. Membina sesuatu bersama rakan sepasukan dan kolega yang berkongsi nilai yang sama, serta melihat klien memperoleh keyakinan dan kekuatan, merupakan bahagian paling bermakna dalam perjalanan saya di sini.
Boleh ceritakan tentang hasil kerja yang paling bermakna bagi anda?
Antara momen yang paling bermakna bukanlah kempen besar, penggambaran atau acara. Ia adalah detik-detik sunyi apabila seseorang memberitahu saya bahawa latihan telah mengubah cara mereka melihat diri sendiri. Momen seperti itu kekal lebih lama dalam ingatan saya berbanding mana-mana projek.
Apakah nasihat anda kepada jurulatih kecergasan baharu?
Jangan tergesa-gesa. Ambil masa anda. Bersikap rendah diri, baik dan profesional. Sentiasa terbuka untuk belajar, walaupun ketika melakukan kesilapan. Fokus untuk menjadi mahir dalam apa yang anda lakukan, belajar mendengar, dan benar-benar mengambil berat tentang klien anda. Itulah asas kepada kerjaya yang panjang.
Siapakah inspirasi anda?
Saya tidak benar-benar mengidolakan seorang individu tertentu. Inspirasi terbesar saya adalah perjalanan hidup saya sendiri. Cabaran masa lalu, disiplin diri, dan standard yang saya tetapkan untuk diri sendiri. Saya percaya pada akauntabiliti diri dan perkembangan berterusan. Setiap hari, saya berusaha untuk menjadi versi diri yang lebih baik daripada semalam.
Ada projek akan datang pada tahun 2026?
Tahun 2026 adalah tentang fokus dan pertumbuhan. Saya tidak mempunyai projek besar buat masa ini. Saya ingin membina program yang lebih baik, meluangkan lebih banyak masa untuk latihan sendiri, bertanding dengan lebih kerap, serta terlibat dalam kempen dan penajaan yang bermakna. Paling penting, saya mahu terus membina komuniti yang kukuh dan saling menyokong. Kurang gangguan, lebih tujuan.
Siapakah jenama atau individu impian untuk bekerjasama?
Saya tertarik kepada jenama dan individu yang menghargai kualiti, kejujuran, kepimpinan yang kukuh dan hubungan jangka panjang. Saya juga ingin bekerjasama dengan jenama seperti Apple dan Lululemon pada masa hadapan.
Apakah yang ingin anda capai sebelum mencecah usia 40 tahun?
Saya ingin melihat ke belakang dan berasa bangga, bukan sahaja dengan apa yang telah saya bina, tetapi juga dengan cara saya menjalani kehidupan. Kekal sihat, berkeupayaan, hadir sepenuhnya dan berpijak di bumi nyata sangat penting bagi saya. Dan tentunya, membina kestabilan serta kejayaan kewangan sepanjang perjalanan itu.
Artikel berkaitan: ATLET SUKAN GENERASI BAHARU YANG SEMAKIN MENYERLAH
Tags
Artikel Yang Berkaitan
MIKI GHAZALI RANGKUL PINGAT EMAS PADA USIA 16 TAHUN
Miki Ghazali menumbangkan lawan dari Thailand untuk merangkul emas dalam penampilan sulung di Sukan SEA. Tahniah buat Miki!
OSKAR LEE, SEIMBANG ANTARA SUKAN DAN STAIL. “SAYA MEMANG AKTIF SUKAN SEJAK KECIL.”
"Gaya saya banyak berubah. Era “hypebeast streetwear” dulu sudah berakhir, kini berkembang menjadi sesuatu yang lebih matang," Oskar Lee.
SETIAP LELAKI PERLU TAHU LIMA CARA INI UNTUK ELAK MULUT BERBAU BUSUK
Ketahui lima tips berkesan untuk mengelakkan mulut berbau busuk khas untuk lelaki.
BEG TROLI MEWAH PERTAMA BOTTEGA VENETA, ODYSSEY
"Odyssey" menampilkan material poli karbonat ringan dengan corak 3D Intreccio, teknik anyaman ikonik yang mendefinisikan identiti Bottega Veneta.
HAKIM MAZLAN, “TO BE HONEST, I’M NOT THAT UPDATED ON FASHION.”
GLAM Lelaki berbual dengan Hakim Mazlan, pengasas jenama lokal streetwear ‘One Plus Two’. Hakim berkongsi nasihat dan impian untuk jenamanya.
“SAMSUNG GALAXY Z FOLD6 PINTU GERBANG KREATIVITI DAN INOVASI,” SID MURSHID
Impian Sid Murshid terus berkembang, Galaxy Z Fold6 kekal sebagai teman setia. Dari membantunya mencari idea hingga urus kafe.











