PEMPENGARUH FESYEN BERBANGSA CINA YANG TERKENAL DI MALAYSIA
Pempengaruh fesyen berbangsa Cina di Malaysia merupakan individu yang amat berpengaruh dalam dunia fesyen tempatan.
Setiap kali Tahun Baharu Cina menjelma, ia bukan sekadar tentang perayaan, warna merah dan makan besar bersama keluarga. Ia juga menjadi detik penting untuk refleksi diri, permulaan baharu. Bagi dunia fesyen, ia merupakan satu ruang untuk ekspresi gaya yang lebih berani dan penuh makna. Dalam konteks Malaysia yang berbilang budaya, komuniti Cina telah lama menjadi antara penggerak utama dalam membentuk landskap fesyen yang moden, berani dan berskala antarabangsa.
Daripada barisan hadapan Milan, Paris dan London Fashion Week, sehinggalah gaya harian yang kreatif, lestari dan dekat dengan realiti, figura-figura ini bukan sekadar “well-dressed”. Mereka mencipta pengaruh. Pempengaruh berbangsa Cina ini juga membentuk cara generasi baharu melihat fesyen sebagai identiti, pernyataan diri dan juga budaya.
#1 Jack Gohr
Jack Gohr ialah simbol kepada kebangkitan pengaruh Asia dalam dunia fesyen global. Kehadirannya di Milan, Paris dan London Fashion Week bukan sekadar sebagai tetamu, tetapi sebagai individu yang benar-benar difahami oleh industri. Dari Dior ke Louis Vuitton, Prada hingga Kenzo, Jack membawa gaya yang tegas, maskulin dan penuh keyakinan.
Apa yang membezakan Jack ialah kebolehannya menggabungkan estetika fesyen Eropah dengan keperibadian Asia tanpa kelihatan dipaksa. Setiap penampilannya seolah-olah satu pernyataan: bahawa lelaki Asia tidak lagi berada di pinggir fesyen global, tetapi di tengah-tengahnya.
#2 Leeloo Larcombe
Dalam dunia fesyen yang sering didominasi oleh kemewahan dan trend pantas, Leeloo Larcombe tampil sebagai suara yang berbeza, dan penting. Dikenali dengan pendekatan thrift dan kitar semula, Leeloo bijak mengolah pakaian lama menjadi sesuatu yang segar, relevan dan sangat bergaya. Setiap helaian yang digayakan membawa cerita, karakter dan nilai.
Gaya Leeloo membuktikan bahawa fesyen bukan soal harga, tetapi imaginasi. Siluetnya sering eksperimental, tidak terikat dengan norma, namun tetap kelihatan effortless. Dalam masa yang sama, dia juga mengangkat isu kelestarian dengan cara yang cool. Ini menjadikannya inspirasi untuk generasi yang lebih sedar tentang impak fesyen.
#3 Jansen
Sebagai model dan pempengaruh fesyen, Jansen memiliki apa yang industri panggil sebagai “fashion face”. Wajah yang boleh berubah mengikut naratif jenama. Kolaborasinya bersama Dior, Louis Vuitton dan Coach menampilkan sisi lelaki moden yang sofistikated, bersih dan berkarisma.
Gaya Jansen sering berada di persimpangan antara high fashion dan komersial. Tidak terlalu eksperimental, tetapi cukup kuat untuk meninggalkan impak. Sama ada dalam sut kemas atau gaya kasual mewah, Jansen membawa imej lelaki bandar yang yakin, kontemporari dan relevan dengan pasaran fesyen hari ini.
#4 Han Pin Ma
Han Pin Ma mewakili satu demografi yang semakin penting dalam fesyen. Seorang lelaki dewasa yang berpengaruh, matang dan selesa dengan identiti sendiri. Sebagai usahawan dan seorang bapa, gayanya tidak bersifat menunjuk, tetapi penuh keanggunan senyap. Potongan ringkas, warna neutral dan fabrik selesa menjadi pilihan utama.
Beliau membuktikan bahawa fesyen tidak perlu bising untuk kelihatan berkelas. Gaya “comfortable but stylish” yang dibawanya menjadikan Han Pin Ma figura yang relatable, terutamanya untuk lelaki yang menghargai kualiti, fungsi dan estetika yang timeless.
#5 Zhen Ning
Zhen Ning ialah contoh sempurna figura moden yang bergerak merentas industri. Sebagai pelakon, model dan pempengaruh fesyen, dia tidak takut bereksperimen. Terutamanya, melalui gaya rambut yang sering menjadi elemen utama dalam penampilannya. Setiap perubahan membawa dimensi baharu kepada imejnya.
Kolaborasi bersama jenama besar seperti Emporio Armani, Tommy Hilfiger, Dior dan Puma membuktikan versatiliti Zhen Ning sebagai wajah fesyen. Apa yang menjadikannya lebih menarik ialah penglibatannya dalam industri lakonan Melayu, menjadikannya simbol integrasi budaya dan representasi Asia yang semakin diterima dalam arus perdana.
#6 Cabi
Dalam dunia fesyen yang sering memfokuskan siluet tinggi dan tubuh langsing, Cabi hadir sebagai inspirasi penting untuk gadis petite. Gayanya berteraskan cute-maximalist. Penuh warna, lapisan kreatif dan sentuhan playful yang mencerminkan personalitinya.
Cabi tahu bagaimana memanipulasi propotion, layering dan tekstur untuk mencipta ilusi visual yang menarik. Lebih daripada fesyen, kandungannya turut merangkumi gaya hidup, kreativiti dan kehidupan seharian, menjadikannya figura yang mudah didekati, autentik dan berpengaruh di media sosial.
#7 Christinna Kuan
Christinna Kuan melambangkan definisi wanita moden yang serba boleh. Multitalented, bergaya dan sentiasa tampil elegan, Christinna tahu bagaimana menaikkan penampilan tanpa kelihatan berlebihan. Sama ada dalam busana kasual atau helaian mewah, gayanya sentiasa terjaga dan berkelas.
Kerjasamanya dengan jenama seperti Dior, Maje Paris dan Gucci, serta kehadirannya di Paris dan Milan Fashion Week, mengukuhkan kedudukannya sebagai figura fesyen yang dihormati. Christinna membuktikan bahawa kekuatan sebenar gaya terletak pada keyakinan dan kefahaman diri.
Pautan berkaitan: 6 JENAMA BAJU MELAYU RAYA 2026 PILIHAN GLAM LELAKI
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
PEREKA FESYEN LELAKI TUNGGAL GENERASI BAHARU DI KLFW 2025
KLFW 2025 bakal dimeriahkan dengan rekaan dari pereka-pereka generasi baharu yang bakal mengejutkan peminat fesyen dengan koleksi mereka.
7 GAYA FESYEN IKONIK AWAL ASHAARI
Gaya fesyen Awal Ashaari cukup ikonik menjadikannya salah seorang selebriti lelaki Malaysia yang cukup versatil dari segi fesyen dan lakonan.
BAZLI NAZIM, MENCEBURI AKTIF BIDANG ‘CONTENT CREATION’ & PERNIAGAAN FESYEN
Kenali Bazli Nazim, pencipta kandungan dan pemilik jenama fesyen era baharu, Bazli Nazim. Stail peribadinya juga memberi banyak inspirasi.








