Skip to content

INTERPRETASI MEWAH OUD DALAM SENTUHAN PARIS OLEH FRANCIS KURKDJIAN

INTERPRETASI MEWAH OUD DALAM SENTUHAN PARIS OLEH FRANCIS KURKDJIAN

Kongsikan artikel ini

Jenama wangian Maison Francis Kurkdjian hadir dengan wangian baharu yang berasaskan Oud, dengan sentuhan Paris. 

Oud, sering digelar sebagai “haruman dari syurga”. Ia berasal daripada perkataan Arab al-oud yang bermaksud kayu. Dikenali juga sebagai agarwood, bahan ini bertukar menjadi ramuan yang luar biasa apabila berada di tangan seorang perfumer. Digelar sebagai “emas hitam”, ekspresi terbaik oud memancarkan pelbagai dimensi olfaktori: berasap, berunsur animalik, bermadu malah kadangkala bernuansa buah-buahan. Keunikan, kelangkaan dan misteri yang menyelubungi bahan semula jadi ini telah memikat hati Francis Kurkdjian untuk menerokainya sejak tahun 2012, seterusnya memperkenalkan oud ke dalam palet olfaktori Maison melalui esen yang memiliki kualiti luar biasa.

Sebagai pengasas Maison Francis Kurkdjian, dia berhasrat untuk menawarkan perspektif pereka Paris terhadap ramuan yang sinonim dengan budaya Timur Tengah ini. Matlamatnya adalah untuk menelusuri geografi liar oud melalui lensa kepakaran minyak wangi Perancis, dalam komposisi yang kaya dengan bahan-bahan mulia dan digerakkan oleh pencarian harmoni. Maka lahirlah OUD. Sebuah haruman agung yang kemudiannya menjadi koleksi ikonik Maison.

Inspirasi Fabrik, Interpretasi Baharu Oud

Meneruskan penghormatan terhadap bahan berharga ini, Francis Kurkdjian mencipta koleksi yang menampilkan pelbagai wajah oud yang serba versatil. Terinspirasi daripada dunia couture, beliau menterjemahkan tekstur fabrik seperti sutera liar dan satin ke dalam interpretasi haruman. Setiap wangian menonjolkan keindahan esen oud melalui jejak haruman (sillage) yang kaya dengan sensorialiti.

Menurut beliau, apa yang mempesonakan tentang oud ialah sejarahnya, kerumitannya dan sensualiti liarnya yang hampir bersifat bestial. Dalam landskap perfum moden hari ini, nota animalik seperti castoreum dan civet semakin jarang digunakan. Oud membuka ruang untuk mengekspresikan sisi liar yang semakin hilang itu, namun dalam acuan gaya Perancis yang mementingkan keseimbangan dan harmoni.

Lebih daripada sekadar versi berkepekatan tinggi, Extraits de parfum dalam koleksi ini berdiri sebagai karya tersendiri. Ia menzahirkan emosi baharu sebagai variasi kepada tema Eau de parfum – dan sebaliknya – satu demonstrasi gaya yang benar-benar mengagumkan.

OUD – Keanggunan Intense Tanpa Sempadan

OUD Extrait de parfum menyerlahkan kedalaman aspek kulit dan berasap kayu oud yang mengingatkan kepada dupa. Sebaik sahaja disapu pada kulit, oud terserlah serta-merta, diserikan dengan nota saffron dan elemi yang memberikan sentuhan keemasan serta menyerlahkan nuansa rempah semula jadinya. Dipadankan dengan keanggunan kering kayu cedar dan misteri gelap patchouli, komposisi ini disempurnakan dengan akord musky dan vanila. Bebas daripada batasan era dan jantina, wangian ini menampilkan sillage sensual dan elegan – suatu keseimbangan indah antara Timur dan Barat.

OUD FRANCIS KURKDJIAN

OUD Silk Mood – Keanggunan Kontras Sehalus Sutera

Seanggun helaian sutera liar yang bermotif indah, OUD Silk Mood Extrait de parfum mengolah semula keanggunan klasik haruman chypre melalui perspektif oud. Oud berpadu dengan mawar yang diperkaya nota aromatik sedikit buah daripada blue chamomile. Pertemuan ini menghasilkan kontras chiaroscuro yang memukau, kelembutan mawar melengkapi karakter oud yang dalam dan liar.

OUD FRANCIS KURKDJIAN

OUD Satin Mood – Sensualiti Lembut dan Memikat

Sehalus satin yang melitupi kulit, OUD Satin Mood membawa oud ke dalam dunia amber yang hangat dan sensual – simbol ketertarikan pereka Barat terhadap Timur Tengah. Oud melayang lembut bersama nota vanila dan benzoin yang balsamik, menyerlahkan kelembutan rose absolute yang diperkaya akord violet berkilau. Diselubungi kehangatan geranium dan kayu manis, oud berubah menjadi lebih menggoda dan mempesona, menghasilkan sillage yang mewah dan memikat.

OUD FRANCIS KURKDJIAN

Koleksi OUD oleh Maison Francis Kurkdjian ini membuktikan bahawa oud bukan sekadar bahan mentah, tetapi kanvas artistik yang mampu diterjemahkan dalam pelbagai ekspresi mewah. Ia adalah pertemuan dua dunia – keindahan Timur dan kehalusan Perancis – dalam satu karya haruman yang abadi.

Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.

Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

5 WANGIAN LELAKI MASKULIN MASA KINI

Bacaan Lanjut

PRODUK KECANTIKAN PILIHAN GL

Bacaan Lanjut