SIRI TENTANG KESIHATAN MENTAL PATUT TONTON SEMPENA SUICIDE PREVENTION MONTH
Antara cara yang boleh dilakukan untuk memberi perhatian kepada Suicide Prevention Month ialah dengan menonton siri yang berkaitan dengan kesihatan mental.
Kesihatan mental merupakan satu perkara yang wajar diberi perhatian, lebih-lebih lagi dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mendapatkan bantuan dan sokongan. Bersempena Suicide Prevention Month, ayuh luangkan masa menonton beberapa siri yang mengetengahkan isu kesihatan mental, trauma, penderaan dan proses penyembuhan melalui kisah yang dekat dengan realiti kehidupan. Selain menghiburkan, siri-siri ini turut membuka ruang untuk kita memahami bahawa di sebalik setiap individu, mungkin ada perjuangan yang tidak terlihat.
GLAM Lelaki senaraikan 9 siri tentang kesihatan yang patut ditonton sempena Suicide Prevention Month bulan ini.
#1 Projek: Exit (2024)
Dibintangi oleh Mierul Aiman. Shasha Abedul, Naim Daniel dan Kimberly Chuah, drama bersiri ini menyentuh banyak tentang isu kesihatan mental. Berkisahkan Jannah (Shasha Abedul) yang mengalami kemurungan dan dihantar ke pusat pemulihan akhlak selepas gagal dalam percubaannya untuk membunuh diri. Jannah kemudian membuat rancangan untuk lari dari pusat tersebut bersama rakan-rakannya.
Isu mental yang diketengahkan: Kemurungan, Keresahan (Anxiety), Gangguan Bipolar

#2 I-Tanggang
Sedikit berbeza dengan siri yang berkait dengan isu mental, I-Tanggang antara satu siri yang mengetengahkan Munchausen Syndrome by Proxy (MSBP), satu penyakit dimana penjaga sengaja mencipta penyakit kepada orang bawah jagaan mereka, biasanya anak-anak. Siri ini juga menceritakan tentang Syafiq (Nadhir Nasar) dan Esra (Emma Sofea) yang cuba menyelamatkan Khay (Danish Hazriq) dari ibunya.
Isu mental yang diketengahkan: Munchausen Syndrome by Proxy (MSBP), Keresahan (Anxiety), Kecelaruan Ingkar (ODD)

#3 Dia Bukan Syurga
Menjadi salah satu drama hangat pada tahun 2025, Dia Bukan Syurga dibintangi oleh Ezzanie Jasny, Niezam Zaidi dan Nazim Othman. Tajul (Niezam Zaidi) merupakan seorang suami yang panas baran, namun amat menyayangi isterinya, Nuha (Ezzanie Jasny).
Isu mental yang diketengahkan: Borderline Personality Disorder (BPD), Othello Syndrome

#4 Daily Dose Of Sunshine
Drama yang menyentuh banyak hati, Daily Dose Of Sunshine menceritakan tentang Jung Da-eun, seorang jururawat di wad psikiatri bersama pesakit-pesakitnya. Konflik terjadi apabila Jung Da-eun menghidapi kemurungan dan terpaksa mendapatkan rawatan sebagai seorang pesakit. Drama ini menyentuh banyak isu mental melalui pesakit-pesakit Hospital Universiti Myungshin dengan kisah-kisah mereka.
Isu mental yang diketengahkan: Kemurungan, Gangguan Bipolar, Skizofrenia, Keresahan (Anxiety), Obsessive-Compulsive Disorder (OCD), Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD)

#5 It’s Okay To Not Be Okay
Ini merupakan drama lakonan Seo Ye-ji yang cukup ikonik. It’s Okay To Not Be Okay mengisahkan Moon Gang-tae yang menjaga abangnya, seorang individu autistik, sambil bekerja di hospital psikiatri. Kehidupannya berubah selepas bertemu Ko Moon-young, penulis buku kanak-kanak terkenal yang mempunyai sisi misteri. Apabila mereka kembali ke Seongjin, ketiga-tiganya mula berdepan trauma dan rahsia masa lalu, sebelum perlahan-lahan saling membantu untuk sembuh dan meneruskan kehidupan.
Isu mental yang diketengahkan: Anti-sosial (ASPD), Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD), Gangguan Bipolar

#6 It’s Okay, That’s Love
Drama ini mengisahkan Jang Jae-yeol (Jo In-sung), seorang penulis novel misteri terkenal dan DJ radio yang mempunyai gangguan obsesif-kompulsif (OCD), serta Ji Hae-soo, seorang pakar psikiatri yang berdedikasi tetapi skeptikal terhadap cinta. Pertemuan mereka sering dipenuhi pertengkaran akibat perbezaan personaliti, namun hubungan itu perlahan-lahan bertukar menjadi cinta. Bersama-sama, mereka cuba menyembuhkan luka masa lalu masing-masing, sebelum berdepan dengan masalah kesihatan mental Jae-yeol yang lebih serius daripada yang disangka.
Isu mental yang diketengahkan: Skizofrenia, Keresahan (Anxiety), Obsessive-Compulsive Disorder (OCD)

#7 Kill Me, Heal Me
Kill Me, Heal Me mengisahkan Cha Do-hyun (Ji Sung), seorang pewaris keluarga konglomerat yang mengalami gangguan identiti disosiatif akibat trauma masa lalu. Dengan bantuan Oh Ri-jin (Hwang Jung-eum), seorang doktor psikiatri muda, dia cuba memahami dan mengawal tujuh personaliti berbeza dalam dirinya. Namun, apabila rahsia masa lalu mula terbongkar, Do-hyun perlu berdepan dengan trauma yang menjadi punca keadaannya sebelum salah satu personalitinya mengambil alih hidupnya.
Isu mental yang diketengahkan: Kecelaruan Identiti Disosiatif (DID)

#8 Split
Antara salah satu drama Malaysia yang mengetengahkan isu kecelaruan identiti ialah Split, yang dilakonkan oleh Shukri Yahaya. Kisah ini mengisahkan Maryam (Sarah Ali), seorang wanita bujang yang semakin berusia dan sukar membuka hati selepas melalui kekecewaan dalam hidup. Segalanya berubah apabila dia bertemu Mikael, jirannya yang mempunyai gangguan identiti disosiatif (DID) dan tujuh personaliti berbeza. Tanpa disedari, Maryam terjebak dalam situasi rumit dan berbahaya apabila personaliti Mikael mula muncul satu demi satu di hadapannya.
Isu mental yang diketengahkan: Kecelaruan Identiti Disosiatif (DID)
#9 The Act
Satu lagi siri yang menceritakan tentang Munchausen Syndrome by Proxy (MSBP), The Act mengisahkan Gypsy Blanchard yang dibesarkan oleh ibunya, Dee Dee, dalam kehidupan penuh kawalan atas alasan dia menghidap pelbagai penyakit. Namun, Gypsy akhirnya mengetahui bahawa dia sebenarnya sihat dan penyakitnya selama ini hanyalah rekaan ibunya. Apabila rahsia dan penderaan semakin terbongkar, hubungan mereka menjadi semakin toksik sehingga membawa kepada satu tragedi pembunuhan.
Isu Mental Yang Diketengahkah: Munchausen Syndrome by Proxy (MSBP)

Pautan berkaitan: SUICIDE PREVENTION MONTH: 5 TALIAN BANTUAN UNTUK ANDA HUBUNGI
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
SUICIDE PREVENTION MONTH: 5 TALIAN BANTUAN UNTUK ANDA HUBUNGI
Sempena Suicide Prevention Month, banyak talian bantuan yang sedia membantu mereka yang memerlukan bantuan, tidak kira masa.






