5 FILEM HANGAT LAKONAN IQBAAL RAMADHAN
Filem-filem lakonan Iqbaal Ramadhan sentiasa menjadi filem yang hangat di Indonesia, kerana bakat lakonannya.
Iqbaal Ramadhan merupakan antara nama yang cukup sinonim dengan industri hiburan Indonesia sejak kecil. Bermula sebagai penyanyi bersama kumpulan Cowboy Junior (CJR), Iqbaal kemudiannya mengukuhkan namanya sebagai pelakon menerusi karakter ikonik Dilan dalam Dilan 1990. Dari watak romantik, drama sejarah sehinggalah filem aksi, pemuda kelahiran Surabaya ini terus mencabar dirinya dengan karakter yang berbeza dan membuktikan sisi versatilnya sebagai seorang pelakon. Kini, Iqbaal Ramadhan terus membuktikan bahawa dirinya antara pelakon muda Indonesia yang versatil.
Buat anda yang mahu menyelami perjalanan lakonan Iqbaal Ramadhan, ini lima filem yang wajib ditonton!
#1 Dilan 1990
Siapa boleh lupa karakter Dilan? Filem arahan Fajar Bustomi dan Pidi Baiq ini menjadi antara titik penting dalam perjalanan karier Iqbaal apabila dia memegang watak Dilan. Dilan merupakan seorang pelajar sekolah yang terkenal dengan personaliti nakal tetapi romantik. Kisah cinta Dilan dan Milea (Vanesha Prescilla) berlatarbelakangkan Bandung pada tahun 1990 ini bukan sahaja mencetuskan fenomena, malah berjaya meraih lebih 6.3 juta penonton di pawagam Indonesia.

#2 Bumi Manusia
Daripada kisah cinta remaja, Iqbaal beralih kepada watak yang jauh lebih serius menerusi Bumi Manusia. Diadaptasi daripada karya Pramoedya Ananta Toer dan diarahkan Hanung Bramantyo, filem ini menampilkan Iqbaal sebagai Minke, seorang pemuda pribumi yang hidup dalam era kolonial dan terlibat dalam kisah cinta bersama Annelies (Mawar Eva de Jongh). Peranan ini turut memperlihatkan sisi lakonan Iqbaal yang lebih matang dan dramatik.

#3 Ali & Ratu Ratu Queens
Dalam filem Netflix ini, Iqbaal membawa watak Ali. Ali ialah seorang remaja berusia 17 tahun yang pergi ke New York untuk mencari ibu kandungnya. Namun, pencariannya tidak berjalan seperti yang diharapkan apabila dia bertemu sekumpulan wanita Indonesia yang tinggal di kawasan Queens. Menggabungkan elemen komedi, kekeluargaan dan emosi, Ali & Ratu Ratu Queens menjadi antara filem yang memperlihatkan sisi Iqbaal yang lebih santai dan dekat dengan isu pencarian identiti serta keluarga.

#4 Mencuri Raden Saleh
Jika anda mahu melihat Iqbaal dalam watak yang lebih mendebarkan, Mencuri Raden Saleh ialah pilihan tepat. Iqbaal memegang watak Piko, seorang pelajar seni yang mempunyai kemahiran menghasilkan lukisan palsu sebelum menyertai sekumpulan anak muda dalam misi mencuri sebuah lukisan karya Raden Saleh. Filem aksi-heist arahan Angga Dwimas Sasongko ini turut dibintangi Angga Yunanda, Rachel Amanda dan Umay Shahab.

#5 Operasi Pesta Copet
Terbaharu, Iqbaal tampil dengan karakter yang benar-benar berbeza menerusi Operasi Pesta Copet. Dia memainkan watak Ijal, seorang pemuda yang berdepan masalah kewangan. Ijal kemudian merancang aksi mencopet secara besar-besaran bersama tiga rakannya di festival muzik Pestapora. Menariknya, Iqbaal sendiri menganggap watak ini sebagai antara transformasi paling berani dalam karier lakonannya. Malah, dia turut mempelajari kemahiran mencopet untuk menjayakan watak tersebut. Filem arahan Edy Khemod ini mula ditayangkan di pawagam Indonesia pada 27 Ogos 2026.

Pautan berkaitan: 6 HIGH SCHOOL SERIES TEMPATAN ANDA PATUT TONTON SEBELUM KUDRAT 1968
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.





