6 HIGH SCHOOL SERIES TEMPATAN ANDA PATUT TONTON SEBELUM KUDRAT 1968
Sama seperti Kudrat 1968 yang sedang menjadi bualan, enam high school series tempatan ini juga boleh menjadi tontonan!
Siri dan filem Kudrat 1968 bakal ditayangkan tidak lama lagi. Sebelum ia membawa penonton kembali ke dunia remaja dengan latar dan kisahnya tersendiri, ada beberapa siri tempatan bertemakan sekolah yang terlebih dahulu mencuri perhatian. Daripada kisah pelajar elit, persahabatan dan tekanan akademik, hinggalah kepada realiti kehidupan di asrama dan kelas belakang. genre high school series tempatan kini semakin berani mengangkat sisi remaja yang lebih kompleks.
Jika anda gemarkan jalan cerita penuh konflik, persahabatan yang tidak dijangka, enam high school series tempatan ini wajar masuk dalam senarai tontonan anda.
#1 PROJEK: HIGH COUNCIL
Berlatarbelakangkan Kolej Ungku Dermat (KUDRAT), Projek: High Council mengikuti Fakhri yang memasuki sekolah berasrama tersebut dan bertemu semula dengan abangnya, Naim. Namun, kehidupan di KUDRAT bukan sekadar tentang akademik apabila Fakhri mula mengetahui kewujudan High Council, sebuah sistem kuasa tidak rasmi yang mengawal hierarki pelajar lelaki. Konflik semakin memuncak apabila perebutan kedudukan KAPLA mencetuskan persaingan antara pelajar, sementara Fakhri sendiri perlu berdepan dengan Kahar, figura berpengaruh yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan kedudukannya. Sarat dengan elemen buli, persahabatan, kuasa dan pengkhianatan, siri ini menjadi antara drama remaja tempatan paling ikonik.
Pelakon: Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Nadhir Nasar, Daiyan Trisha, Naim Daniel

#2 PROJEK: ANCHOR SPM
Berlatarbelakangkan tahun 2003, Projek: Anchor SPM mengisahkan sekumpulan pelajar Tingkatan Lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA). Aizat, kapten pasukan ragbi sekolah, berdepan masalah apabila dia diberi syarat untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan percubaan SPM selepas melakukan kesalahan disiplin. Bersama Aaidaa, pelajar paling cemerlang di sekolah, mereka kemudian terlibat dalam satu rancangan kontroversi berkaitan peperiksaan. Di sebalik kisah nakal dan kelakar mereka, siri ini turut menyentuh tekanan akademik, persahabatan dan keputusan yang dibuat ketika usia remaja.
Pelakon: Aedy Ashraf, Daiyan Trisha, Shasha Abedul, Nadhir Nasar, Fadhli Masoot

#3 KELAS BELAKANG
Tidak semua pelajar cemerlang berada di barisan hadapan. Kelas Belakang membawa penonton mengikuti kehidupan pelajar 5 Fikir, kelas yang sering dilabel sebagai kumpulan paling lemah dan bermasalah di sekolah. Segalanya berubah apabila Iman, seorang pelajar cemerlang, menjadi tutor kepada mereka demi mengejar peluang mendapatkan biasiswa. Pada mulanya, Iman melihat tugasan tersebut sebagai batu loncatan untuk dirinya sendiri. Namun, semakin lama dia mengenali pelajar-pelajar tersebut, semakin dia sedar bahawa mereka bukan sekadar “pelajar kelas belakang”. Di sebalik keputusan akademik yang rendah, masing-masing mempunyai masalah, impian dan kisah tersendiri.
Pelakon: Amylia Aidura, Zairi Aziz, Areef Amran, Farihin Arnia

#4 KELAS TAHANAN CIKGU HIRAGI
Apa yang berlaku apabila seorang guru menjadikan anak muridnya sebagai tahanan? Itulah premis Kelas Tahanan Cikgu Hiragi. Sepuluh hari sebelum tamat persekolahan, Cikgu Hiragi mengunci pelajar-pelajarnya di dalam kelas selepas seorang pelajar, Reena, meninggal dunia akibat buli. Cikgu Hiragi percaya ada antara mereka yang mengetahui perkara sebenar tetapi memilih untuk berdiam diri. Maka, satu demi satu rahsia mula terbongkar apabila dia memaksa para pelajar berdepan dengan kesalahan masing-masing. Dengan elemen misteri dan psikologi, siri ini mengangkat isu buli, rasa bersalah dan budaya berdiam diri. Siri ini diadaptasi daripada drama popular Jepun berjudul Mr. Hiiragi’s Homeroom.
Pelakon: Nadhir Nasar, Erysha Emyra, Arena Wan, Qistina Rania, Evertts Gomes, Arabella Ellen, Razin Qidran

#5 GENERASI: PERFECT 10
Kebanyakkan high school series menceritakan tentang pelajar lelaki, namun berbeza untuk Generasi: Perfect 10. Ia membawa penonton ke dunia gimnastik kompetitif. Kisahnya mengikuti Ezrina “Ezie” Riyad, seorang remaja yang bercita-cita menjadi atlet gimnastik profesional. Apabila kelab gimnastik di sekolahnya ditutup, Ezie menyertai sebuah akademi sukan elit untuk meneruskan impiannya. Namun, dunia baharu itu jauh lebih mencabar apabila dia perlu bersaing dengan atlet lain untuk mendapatkan tempat dalam pasukan utama. Di sebalik aksi gimnastik, siri ini turut melihat tekanan untuk menjadi sempurna, persaingan, keluarga dan pencarian identiti ketika usia remaja.
Pelakon: Arena Wan, Arabella Ellen, Sofia Jane, Sharifah Sakinah, Ellyza Azizi

#6 DORM 403
Kalau anda sukakan cerita sekolah dengan elemen misteri, Dorm 403 wajib masuk dalam senarai. Berlatarbelakangkan sebuah sekolah berasrama, cerita bermula apabila seorang pelajar bernama Sheikh menjadi mangsa buli sehingga meninggal dunia. Rakan-rakannya kemudian cuba menyembunyikan mayat tersebut, tetapi apabila mereka kembali, mayat Sheikh telah hilang. Kehilangan itu membawa kepada persoalan tentang apa sebenarnya yang berlaku, termasuk kaitannya dengan kehilangan seorang pelajar lain bertahun-tahun sebelumnya. Dalam masa yang sama, seorang wartawan mula menyiasat rahsia sekolah tersebut.
Pelakon: Muaz Zabir, Zairi Aziz, Evertts Gomes, Nik Rifa’ie, Gbril

Daripada perebutan kuasa dalam Projek: High Council hinggalah kepada tekanan SPM, kehidupan kelas belakang dan dinamika persahabatan di dorm, siri-siri ini membuktikan bahawa cerita tentang zaman persekolahan boleh hadir dalam pelbagai bentuk. Lebih daripada sekadar kisah remaja, setiap siri membawa perspektif berbeza tentang persahabatan, keluarga, tekanan, identiti dan proses membesar. Jadi, sementara menantikan Kudrat 1968, apa kata refresh semula memori zaman sekolah dengan enam siri tempatan ini?
Pautan berkaitan: 5 FILEM FIGHTER PATUT TONTON DI NETFLIX
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
GL THE MAN AWARDS 2026, “STYLE HERO” – MIERUL AIMAN
Nama yang sememangnya semakin besar dalam dunia lakonan, Mierul Aiman juga aktif dalam dunia fesyen dengan jenamanya, DreamKid.
SIAPAKAH BARISAN PENERIMA GL THE MAN AWARDS 2026?
GL The Man Awards 2026 kembali tahun ini demi meraikan lelaki-lelaki berpengaruh yang membentuk landskap gaya, seni dan budaya masa kini.
5 FILEM TERBAIK LAKONAN NADHIR NASAR
Bagi meraikan Chelot, lihatkan lima filem terbaik lakonan pelakon 29 tahun ini.
“CONFIDENCE IS THE KEY, KAN?” SHARUL KAMAL. KENALI PENYANYI DAN PELAKON YANG MULA MENJADI SEBUTAN.
Menjelang usia 30, Sharul Kamal tidak sekadar meraikan pencapaian, tetapi melihat muzik dan lakonan sebagai medium untuk menyampaikan rasa dan inspirasi.
HIGH COUNCIL UNIVERSE: INI KRONOLOGI SEBENAR PROJEK: HIGH COUNCIL, KAHAR & KUDRAT 1968
KUDRAT 1968 bukan sekadar prekuel, ini adalah turutan tontonan untuk faham keseluruhan High Council Universe.
FENOMENA FILEM CHELOT: INI 7 WAJAH PELAKON YANG DIKENALI
Filem Chelot yang kini nombor satu di Malaysia hadir dengan barisan pelakon tempatan yang amat dikenali dengan bakat lakonan mereka.











