SAYANG MALAYSIA, JOM BERSARUNG! KERETAPI SARONG 2026 KEMBALI
SARUNG ON, MALAYSIA VIBES ON!
Bila September tiba, satu acara yang mesti masuk dalam kalendar ialah Keretapi Sarong. Tahun ini, acara yang cukup sinonim dengan sambutan Hari Malaysia kembali pada 16 September 2026 dengan tema “Sayang Malaysia”. Lebih istimewa, edisi kali ke-10 ini bakal berlangsung serentak di 10 bandar di seluruh negara.
Daripada sarung dan batik hingga kebaya serta baju Melayu, inilah masanya untuk keluarkan semula busana tradisional dari almari. Bukan sekadar berkumpul dan menaiki pengangkutan awam bersama-sama, Keretapi Sarong juga menjadi ruang untuk rakyat Malaysia meraikan budaya, identiti dan semangat kebersamaan dengan cara yang lebih santai.
‘Sayang Malaysia’ Sebagai Tema Keretapi Srong 2026
Untuk edisi 2026, “Sayang Malaysia” dipilih sebagai tema utama yang membawa mesej tentang rasa cinta dan bangga terhadap negara. Pada masa sama, ia meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia.
Keretapi Sarong bukan hanya tentang sarung. Ia tentang bagaimana rakyat daripada pelbagai latar belakang boleh berkumpul dalam satu ruang, mengenakan busana yang membawa identiti masing-masing dan meraikan Hari Malaysia bersama-sama.
Pakai Apa Tahun Ini?
Kalau masih belum tahu mahu menggayakan apa untuk tahun ini, tema pakaian tahun ini memberi tumpuan kepada kepelbagaian etnik dan busana tradisional. Peserta digalakkan tampil dengan pakaian yang mewakili budaya atau etnik masing-masing.
Baju Melayu, baju kurung, kebaya, cheongsam, sari, batik atau busana tradisional etnik Sabah dan Sarawak, semuanya boleh menjadi pilihan. Tidak semestinya perlu terlalu formal, anda juga boleh menggabungkan elemen tradisional dengan gaya harian sendiri. Sarung dengan kemeja? Boleh. Batik dengan kasut sukan? Mengapa tidak? Yang penting, masih ada sentuhan budaya Malaysia dalam penampilan anda.
Keretapi Sarong X BEHATI: Satu Kolaborasi, Satu Cerita
Tahun ini, Keretapi Sarong tampil dengan sesuatu yang istimewa menerusi kolaborasi bersama BEHATI. Gabungan ini membawa semangat untuk meraikan identiti, budaya dan rasa cinta terhadap Malaysia melalui cara yang lebih dekat dengan generasi hari ini.
Kolaborasi ini turut memberi nafas baharu kepada kemeriahan Keretapi Sarong, dengan elemen fesyen dan budaya yang disatukan dalam satu pengalaman. Jadi, selain bersiap dengan busana tradisional, peserta juga boleh menantikan sentuhan istimewa daripada BEHATI yang melengkapkan sambutan tahun ini.
Edisi Ke-10, Sambutan Lebih Besar
Tahun ini juga cukup istimewa kerana Keretapi Sarong memasuki edisi ke-10. Sambutannya diperluaskan ke 10 bandar termasuk Padang Besar, Langkawi, Sungai Petani, George Town, Ipoh, Melaka, Johor Bahru, Kota Bharu, Kuantan dan Kuching.
Malah, Padang Besar, Langkawi dan Kuching menjadi antara lokasi baharu untuk tahun ini, membawa kemeriahan Keretapi Sarong kepada lebih ramai rakyat Malaysia di seluruh negara. Tidak cukup dengan itu, edisi kali ini turut hadir dengan “Joget Sarong” sebagai lagu tema, melengkapkan lagi suasana meriah sambutan Hari Malaysia.
Mari Bersarung!
Tak perlu tunggu kenduri atau majlis rasmi untuk keluarkan pakaian tradisional dari almari. Keretapi Sarong adalah peluang untuk kita pakai, raikan dan banggakan warisan sendiri dengan cara yang lebih santai. Jadi, dah tahu nak pakai apa pada 16 September nanti? Keluarkan sarung, ajak geng dan bersiap untuk Keretapi Sarong 2026.
Sayang Malaysia? Jom bersarung!
Pautan berkaitan: MARK YOUR CALENDAR: 5 SAMBUTAN YANG BAKAL WARNAI SEPTEMBER DI MALAYSIA
Tags
Artikel Yang Berkaitan
ANALISIS TREND UTAMA DI PENTAS KLFW 2026
Terokai trend utama KLFW 2026 dari sentuhan batik moden, gaya jalanan berani, hingga busana lelaki terkini di pentas peragaan tempatan.
SYAWAL, BUT MAKE IT YOU: STAIL SEMULA TRADISI DENGAN KREATIVITI
Syawal 2026 menyaksikan generasi baharu mentafsir semula Baju Melayu dan tradisi Raya dengan sentuhan moden.
6 KAFE TEMPATAN UNTUK LEPAK SEMPENA HARI MALAYSIA
Hari Malaysia tahun ini boleh dipenuhi dengan meluangkan masa bersama orang terdekat di kafe-kafe tempatan yang menjadi pilihan GLAM Lelaki.
KERETAPI SARONG 2025: SEGALANYA ANDA PERLU TAHU
Acara kegemaran rakyat Malaysia, Keretapi Sarong 2025 kini kembali lagi untuk memeriahkan bulan kemerdekaan Malaysia.
ENAM PEREKA FESYEN SOLO LELAKI YANG BAKAL BERAKSI DI KLFW 2025
Ketahui tujuh pereka fesyen solo lelaki yang bakal mementaskan koleksi terbaharu mereka di KLFW 2025 yang akan datang.
25 SELEBRITI ‘BEST DRESSED’ DI GLAM LELAKI ALPHAMEN 2023
GLAM Lelaki Alphamen adalah acara tahunan berprestij untuk meraikan individu yang telah memberikan impak positif dalam latar kerjaya masing-masing. GLAM Lelaki senaraikan 25 gaya selebriti terbaik di acara Alphamen 2023.











