Skip to content

GLAM LELAKI X KAHF BEYOND VIBES: TIM TIAH, LEBIH DARIPADA SEKADAR SEORANG USAHAWAN

GLAM LELAKI X KAHF BEYOND VIBES: TIM TIAH, LEBIH DARIPADA SEKADAR SEORANG USAHAWAN

Kongsikan artikel ini

Bagi Tim Tiah, kejayaan bukan sekadar tentang membina sebuah syarikat. Lebih penting, ia tentang memahami siapa dirinya, belajar daripada kegagalan dan membina sesuatu yang mampu berdiri tanpa dirinya.

Apabila nama Tim Tiah disebut, perkataan “usahawan” mungkin antara perkara pertama yang terlintas. Namun, selepas hampir dua dekad membina perniagaan sendiri, melalui fasa keluar daripada sebuah syarikat yang pernah dibawa ke pasaran awam, membangunkan Colony Coworking & Event Space dan kini kembali ke dunia penciptaan kandungan, Tim melihat dirinya dengan cara yang jauh lebih sederhana.

“Yang pertama, saya suami kepada isteri saya. Kemudian, bapa kepada Fighter dan Penny serta usahawan,” katanya ketika ditanya bagaimana dia menggambarkan dirinya hari ini.

Jawapan itu mungkin kedengaran ringkas, tetapi ia mencerminkan satu perubahan besar dalam cara Tim melihat kehidupan. Pada usia 40 tahun, gelaran dan pencapaian tidak lagi menjadi keseluruhan identitinya. “Saya hanya seorang Tim dan seseorang yang mencuba untuk hidup.” ujarnya.

Perjalanan itu sendiri bermula jauh sebelum era pencipta kandungan seperti yang dikenali hari ini. Pada 2007, Tim bersama pengasas bersama lain membangunkan Nuffnang. Nuffnang merupakan sebuah rangkaian pengiklanan blog yang muncul ketika dunia blog masih berada pada peringkat awal. Ketika itu, Tim melihat potensi untuk menghimpunkan komuniti blogger dan menjadikannya sesuatu yang lebih besar untuk pengiklan. Nuffnang kemudiannya berkembang di bawah Netccentric, sebelum syarikat itu disenaraikan di Australian Securities Exchange pada 2015.

Namun, selepas berada di satu tahap kejayaan yang mungkin menjadi impian ramai, Tim memilih untuk berundur daripada syarikat tersebut. Keputusan itu akhirnya membuka ruang kepada bab baharu dalam hidupnya.

Pada 2017, Tim bersama isterinya, Audrey Ooi, memulakan Colony. Ia merupakan sebuah konsep ruang kerja yang membawa pendekatan lebih premium dan berorientasikan hospitaliti kepada industri coworking. Idea tersebut lahir daripada keinginannya untuk membina persekitaran kerja yang lebih baik, selepas merasakan bahawa ruang kerja mempunyai pengaruh besar terhadap pengalaman dan kehidupan seseorang.

Colony bukanlah perniagaan yang mudah. Tim sendiri mengakui bahawa model coworking mempunyai cabaran tersendiri, termasuk nilai pelanggan yang tinggi serta perjalanan mendapatkan pelanggan yang panjang. Malah, pengalaman dalam dunia perniagaan mengajarnya bahawa pertumbuhan tidak semestinya perlu berlaku dengan pantas.

Hari ini, perspektifnya terhadap kejayaan juga berubah.

“Kita jarang memberi glamour dan pengiktirafan yang secukupnya untuk kegagalan. Bagi saya, kegagalan lebih penting kerana kejayaan hadir daripada kemampuan untuk sentiasa gagal dan tidak putus asa.” Mungkin itulah sebabnya Tim tidak melihat perjalanan keusahawanannya sebagai satu garis lurus menuju kejayaan. Sebaliknya, ia lebih kepada siri keputusan, kesilapan, percubaan dan penyesuaian.

Dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Tim kembali ke dunia yang pernah menjadi sebahagian besar daripada kehidupannya, kandungan digital. Sebagai seseorang yang sudah mempunyai pengalaman dalam dunia media digital sejak era blog, penciptaan kandungan bukanlah sesuatu yang asing. Namun, tidak pernah Tim sangkakan percubaan baharu itu akan berkembang sehingga menjadi satu lagi cabang penting dalam kehidupannya. Profil terkini Tim turut menggambarkannya sebagai seorang pencipta kandungan yang berkongsi pandangan mengenai keusahawanan, ekonomi dan kewangan peribadi, selain peranannya di Colony.

Menariknya, populariti tersebut datang tanpa Tim menjadikannya sebagai matlamat utama. “Saya tidak sangka akan jadi besar. Saya tidak sangka akan jadi terkenal.”

Di sebalik kandungan yang sering dilihat ramai, Tim sebenarnya membawa satu prinsip yang agak bertentangan dengan stereotaip seorang usahawan yang sentiasa mahu menang, iaitu kekal baik hati dan pemurah. Namun, dia sedar bahawa pilihan tersebut tidak selalunya membawa hasil yang mudah. Ada ketika orang mengambil kesempatan, malah kebaikan yang diberikan tidak dihargai. Tetapi bagi Tim, menjadi lebih tangkas atau lebih berkira mungkin boleh membawa kepada kejayaan yang berbeza. Cuma, ia bukan siapa dirinya.

Begitu juga apabila berhadapan dengan keputusan berisiko. Bagi seorang usahawan yang sudah melalui beberapa fasa perniagaan, membuat keputusan besar masih bukan sesuatu yang mudah. Bezanya, Tim kini memilih untuk memecahkan masalah besar kepada langkah-langkah yang lebih kecil.

“Saya sentiasa cuba untuk lihat segala krisis yang ada, dan saya bukan sekadar fokus kepada masalah keseluruhan, tetapi apa yang saya boleh lakukan sekarang. Kemudian ambil langkah kecil. Dan apabila saya mengambil langkah kecil, ia membawa kepada penyelesaian masalah besar.”

Apabila ditanya apakah perkara yang orang terdekat mungkin fikirkan tentang dirinya, Tim memilih dua perkataan: baik hati dan sabar. Namun, di sebalik sifat tersebut, Tim juga pernah melalui tempoh yang membuatkan dirinya terpaksa melihat semula cara dia menjalani kehidupan. Tim menyedari bahawa jika dia tidak berubah, dia mungkin kehilangan tiga orang penting dalam hidupnya.

Pengalaman itu mengubah cara dirinya berdepan dengan emosi dan diri sendiri. Daripada terus bergelut dengan kemarahan, rasa bersalah atau isu harga diri, Tim kini lebih sedar tentang apa yang perlu diperbaiki dan bagaimana dirinya mahu bergerak ke hadapan. Mungkin itu juga yang membuatkan definisi “usahawan” buat Tim kini berbeza daripada bayangan awalnya.

Dan selepas segala yang telah dibina, azam Tim sekarang bukanlah untuk mencipta sebuah empayar yang bergantung kepadanya. Sebaliknya, dia mahu membina sesuatu yang mampu berdiri sendiri.

“Saya cuma mahu bina sesuatu yang team saya boleh beroperasi tanpa saya dan boleh menjaga diri mereka dan pemegang saham dan masyarakat yang lebih meluas. Dan menambah nilai buat ekonomi.”

Kemudian, datang satu ayat yang mungkin paling menggambarkan perspektif Tim Tiah hari ini: “Saya tak mahukan bisnes yang menjadi cerminan diri saya.”

Daripada Nuffnang kepada Colony, daripada dunia blog kepada content creation, perjalanan Tim memperlihatkan bagaimana definisi kejayaan boleh berubah mengikut fasa kehidupan. Pada satu ketika, ia mungkin tentang membina sesuatu dari kosong. Kemudian, ia tentang mengetahui bila perlu berundur dan bermula semula. Selepas itu, mungkin tentang membina pasukan, belajar menerima kegagalan dan akhirnya mencipta sesuatu yang tidak memerlukan dirinya untuk terus hidup.

Kerana pada usia 40 tahun, Tim Tiah mungkin masih seorang usahawan. Namun lebih daripada itu, dia hanyalah seorang Tim Tiah. Seorang suami, seorang bapa dan seorang manusia yang masih mencuba untuk hidup, belajar dan menjadi lebih baik daripada dirinya yang semalam.

Pautan berkaitan: GLAM LELAKI SEPTEMBER 2026: ALPHA, DALAM RENTAK SENDIRI

Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.

Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

IKMAL AMRY, “SAYA PERCAYA PROGRES LEBIH PENTING DARIPADA KESEMPURNAAN.”

Bacaan Lanjut