GLAM LELAKI NOVEMBER 2026, SIMBIOSIS #HAEYANG. MENAMPILKAN HAEL HUSAINI & DAYANG NURFAIZAH SECARA ESKLUSIF!
Pengarah Kreatif: JOHAN KASSIM, Pengarah Seni Kanan: KHAIRANI RAMLI, Pereka Seni Grafik: NURIN AFRINA , Pembantu Editorial: BATRISYIA FAISAL & NUHA ADAM, Dandanan: CKAY LIOW Grooming: SHENG SAW, Gambar: CHEE WEI Teks & temu bual: LYAAD HAIKAL
Selesa melewati perjalanan karier yang sudah stabil sebagai pemuzik yang memiliki impak besar, Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah utuh sebagai figura seni muzik yang terus disegani.
Berada di satu garis waktu yang panjang dalam sesebuah karier itu bagi saya menuntut satu keupayaan yang beriring minat yang tinggi. Dedikasi kerja dengan usaha yang tanpa putus meletakkan seseorang itu relevan di landskap kerja yang mereka mahu pasakkan namanya. Setidaknya itu apa yang saya dapat daripada melihat jauh dan panjangnya karier bermuzik Dayang Nurfaizah. Dia tidak selalunya di atas dan sejujurnya dia tidak perlu pun untuk selalu berada di atas kerana yang penting apa yang dia hasilkan memiliki ketersendirian setiap kali harus melepas single baru atau projek istimewanya.
Hal ini seiring dengan apa yang Hael Husaini lakukan dalam membina namanya. Putus asa mungkin tiada dalam kamus hidupnya kerana apa yang dia ada hari ini tidak akan pun berhasil jika setiap peluang yang dia cipta itu berhujung dengan kekesalan. Kerana setiap apa yang dia miliki hari ini saya percaya tidak hanya berbekal tuah tanpa kerja keras. Ada banyak ranjau yang harus dia lalui namun setiap satunya dia telap dengan penuh percaya.
Dua bintang ini sudah pun saya kira mencipta legasi yang tanpa perlu lagi sesiapa mempertikaikan keberadaan mereka sebagai bintang papan atas muzik tempatan. Barisan hits sudah tercipta, memori besar di pentas anugerah sudah dipateri sebagai sebuah bukti dan ia berkelangsungan panjang dalam siri konsert yang akan diingati penggemar muzik mereka.

Top, HERMES (Dayang), Top, HERMES (Hael)
2026 hampir ke penghujung, apa yang anda berdua boleh simpulkan tentang tahun ini?
HH: Sejujurnya, saya agak berpuas hati dengan perjalanan karier seni setelah mengambil keputusan untuk mengurangkan penglibatan di minggu fesyen luar negara. Tumpuan sepenuhnya terhadap karier muzik dengan melancarkan beberapa lagu solo dan duet.
DN: Tahun yang banyak mengajar Dayang untuk lebih menghargai perjalanan seni yang sudah Dayang lalui. Tahun ini mungkin Dayang perlahan dalam penghasilan lagu baru tapi Dayang bersyukur kerana masih diberi peluang untuk membuat persembahan, bertemu peminat dan terus berkarya. Pada tahap ini, Dayang tidak mahu terlalu mengejar kuantiti dan lebih selesa mengambil masa untuk mencari material yang benar-benar dekat dengan jiwa Dayang dan yang Dayang sendiri yakin untuk persembahkan kepada pendengar.
Usia karier Dayang menginjak 27 tahun, Hael sendiri sudah dua dekad bermuzik. Definisi kejayaan itu datang dengan pengertian atau at this point ia bergerak sekadar satu proses bagi anda berdua?
HH: Saya melalui sepuluh tahun pertama dengan penuh cabaran dan orang hanya melihat perjalanan bermuzik saya sepuluh tahun kebelakangan ini sahaja. Ia satu proses panjang yang pabila difikirkan kembali saya sendiri tak pasti di mana datangnya kekuatan untuk bertahan. Masih banyak lagi impian yang ada dan akan saya terus kejar dan usahakannya.
DN: Definisi kejayaan Dayang hari ini sudah banyak berubah. Kalau dulu diukur dengan pencapaian, anugerah dan populariti tapi sekarang Dayang melihat ia dalam perspektif yang lebih luas. Dayang tidak lagi melihat perjalanan ini sebagai satu perlumbaan. Diberi kesempatan untuk terus menyanyi, masih ada yang mahu mendengar dan diberi ruang untuk berkembang sebagai seorang penyanyi juga satu kejayaan buat Dayang.

Cincin, CARTIER

Top & seluar, HERMES, Jam, CARTIER
At this point, careerwise ada hal yang masih membimbangkan anda berdua?
HH: Saya berani katakan yang karier saya berada di tahap yang selesa. Kadang-kadang saya tidak tahu mahu kejar apa lagi. Namun, saya sedar menjadi anak seni perlu sentiasa produktif, bijak mengatur strategi supaya kekal relevan. Kita berada di posisi yang mudah diganti dan dilupakan. Jadi perlu sentiasa ada inisiatif untuk memajukan diri.
DN: Perkara yang sentiasa bermain dalam fikiran Dayang adalah bagaimana untuk terus relevan tanpa kehilangan identiti. Industri muzik sentiasa berubah terutama sekali selera pendengar dan trend muzik semasa. Namun Dayang sentiasa percaya, tidak semestinya perlu mengikut trend. Sebagai penyanyi Dayang terbuka mencuba sesuatu yang baru namun penting untuk mengikut kesesuaian dan melakukannya dengan kejujuran.
Chemistry bekerja antara Dayang dan Hael sudah dibuktikan sejak “Haram” sehingga yang terakhir “Lemah” dan projek lagu raya yang lalu. Ada kolaborasi baru dalam masa terdekat?
HH: Untuk tahun ini belum ada apa-apa yang bakal dihasilkan kerana kami masing-masing sudah ada rencana kerja masing-masing. Namun jika Dayang ada perancangan menghasilkan album baru mungkin saya akan ciptakan sesuatu untuknya.
DN: Dayang sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Hael. Kami sudah beberapa kali bekerjasama dan Dayang rasa setiap projek mempunyai warna dan pengalaman yang tersendiri. Cuma buat masa ini, Dayang belum mempunyai sebarang perancangan khusus untuk kolaborasi. Dayang percaya sesuatu kerjasama itu perlu datang dengan material dan idea yang betul. Kalau ada lagu yang sesuai dan kami berdua merasakan ia menarik untuk diterokai, why not?

Dress, LONGCHAMP, sepatu tumit, FERRAGAMO
Buat Hael, ‘Selesa’ menjadi pertaruhan tahun ini. Lama sebetulnya Hael tidak hadir dengan big ballad. Apa yang menginspirasikan penghasilan ‘Selesa’ itu sendiri?
HH: Lagu ‘Selesa’ ini sebenarnya projek spontan. Ketika sedang sibuk di studio, saya dan rakan penulis Iqie Hugh secara santai mencipta melodi dan lirik. Selepas itu saya telah memuat naik demo di laman sosial dan mendapat perhatian ramai. Semua meminta agar lagu ini disiapkan. Banyak yang request lagu galau daripada saya. Jadi, ‘Selesa ‘ ini adalah hasil daripada eksperimental itu.
Bila agaknya Antonim PT.II akan beredar?
HH: Saya tahu ramai yang mengharapkan agar album ‘Antonim PT.II’ direalisasikan. Namun setelah perbincangan yang teliti dilakukan bersama pihak pengurusan saya ingin meletakkan titik noktah pada era ‘Antonim’ dan biarkan ia berakhir dengan satu edisi sahaja. Album saya yang seterusnya yang berjudul H.E.A.L akan menggantikan Antonim PT.II sebagai kesinambungan katalog muzik saya.
Kurang lebih 2 tahun ‘Janji’ beredar, Dayang agak perlahan dalam menghasilkan single baru. Yang terakhir kali mungkin projek lagu raya. Sukar mencari naskhah yang baik?
DN: Keinginan menghasilkan lagu baru sentiasa ada. Cuma semakin lama Dayang berada dalam industri, semakin Dayang sedar bahawa Dayang perlu lebih selektif. Dayang tidak mahu menghasilkan sesuatu hanya kerana perlu mengeluarkan single baru. Dayang nak setiap lagu yang Dayang keluarkan mempunyai nilai dan identitinya sendiri. Kalau boleh, Dayang mahu pendengar dapat merasakan sesuatu apabila mendengar lagu tersebut. Dayang mengambil sedikit masa untuk mendapatkan material yang benar-benar sesuai tanpa perlu terburu-buru.
Maaf jika saya harus bertanya tentang persembahan di AJL40 yang lalu. Setelah beberapa tahun tidak bertanding semestinya peminat punya harapan tinggi. Ramai melihat kesukaran Dayang menyanyi malam tersebut. Ada hal yang mengganggu Dayang?
DN: Dayang faham peminat mempunyai harapan yang tinggi, lebih-lebih lagi selepas beberapa tahun Dayang tidak kembali ke pentas AJL. Dayang sendiri pun begitu kerana Dayang tahu betapa besarnya pentas itu dan apa maknanya kepada peminat. Dayang akui persembahan malam tersebut mungkin bukan persembahan terbaik Dayang dan Dayang sendiri sedar ada perkara yang boleh diperbaiki.
Namun Dayang tidak mahu terlalu melihatnya sebagai sesuatu yang negatif. Ada perkara yang kita rancang dan harapkan tapi pabila di pentas tidak semuanya berjalan seperti yang kita bayangkan. Dayang sangat menghargai sokongan peminat yang sentiasa ada dan Dayang mengambil setiap pengalaman itu sebagai sesuatu yang boleh Dayang pelajari.

Top, BOTTEGA VENETA, (Hael), Dress, BOTTEGA VENETA (Dayang)

Top, seluar & kemeja, BOTTEGA VENETA
Dayang melihat ia satu kebetulan, kesilapan atau ia hanya proses dalam turun naik seseorang penyanyi menjadi lebih baik?
DN: Dayang rasa ia sebahagian daripada proses perjalanan seorang penyanyi. Kita tidak boleh mengharapkan setiap persembahan akan menjadi sempurna, walaupun sudah bertahun-tahun berada dalam industri. Kadang-kadang pengalaman yang kurang baik itulah yang mengajar kita untuk lebih mengenali diri sendiri, membuat persediaan dengan lebih teliti dan memahami kemampuan kita. Hampir 27 tahun menyanyi, Dayang masih belajar dan itu yang penting. Jangan sampai pengalaman yang banyak membuatkan kita berhenti belajar atau merasakan kita sudah tahu segala-galanya.
Bercakap tentang kejayaan dan kegagalan, bagaimana kedua-dua hal ini membuat anda berdua bertumbuh sebagai individu dan pemuzik yang matang?
HH : Pada awalnya, saya seorang yang sangat sinonim dengan kegagalan. Bayangkan berbelas tahun berdamping dengan kekecewaan akibat gagal mencapai sebarang kejayaan sehinggakan saya seperti sudah lali jika apa sahaja usaha tidak menjadi seperti yang diimpikan. Namun, ada ruang kecil dalam jiwa saya yang sentiasa memujuk diri ini dengan sangat yakin suatu hari nanti saya akan berjaya dan jangan sesekali berputus asa. Hari ini, dengan apa yang saya capai, saya bersyukur dan menghargai dengan atas rezeki yang ada.
DN: Bagi Dayang, kedua-duanya memainkan peranan yang sangat penting. Kejayaan mengajar Dayang untuk bersyukur dan menghargai setiap rezeki yang diberikan, manakala kegagalan mengajar Dayang untuk lebih kuat dan mengenali kelemahan diri sendiri.
Sepanjang dalam industri, sudah tentu ada masa kita rasa sangat yakin dengan sesuatu yang kita lakukan, tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Ada juga perkara yang tidak pernah kita jangka akhirnya menjadi antara pencapaian yang paling bermakna.
Dayang belajar untuk tidak terlalu selesa apabila berjaya dan tidak terlalu lama menyalahkan diri apabila sesuatu tidak menjadi. Kedua-duanya adalah sebahagian daripada proses. Pada akhirnya, Dayang mahu menjadi seorang penyanyi yang bukan sahaja matang daripada segi vokal tetapi juga pemikiran dan cara Dayang menghargai muzik.
Lagu Hael yang mana kegemaran Dayang. Dan lagu Dayang kegemaran Hael? Mengapa?
HH : Saya sangat suka lagu ‘Andai Ku Tahu’ ciptaan Acis. Bagi saya lagu ini sangat mudah masuk di telinga saya mungkin sebab melodi Pop Melayu yang kuat. Saya boleh dengar dalam kereta seharian lagu ini sahaja.
DN: Kalau nak pilih satu, Dayang rasa ‘Haram’ antara lagu yang sangat dekat dengan Dayang kerana lagu itu mempunyai tempat yang tersendiri dalam perjalanan muzik kami. Dayang suka bagaimana Hael menterjemahkan emosi melalui melodi dan lirik.
Sebagai senior dalam bidang muzik, Dayang rasa ada keperluan to fit in new generation punya music taste atau itu bukan hal yang perlu difikirkan?
DN: Dayang rasa kita perlu sentiasa terbuka dengan perubahan tetapi pada masa yang sama tidak semestinya perlu mengubah keseluruhan identiti kita untuk mengikut selera generasi baru. Dayang suka mendengar muzik daripada generasi sekarang kerana banyak perkara menarik yang mereka bawa, sama ada dari segi produksi, susunan muzik mahupun penyampaian.
Bagi Dayang, tidak salah untuk bereksperimen dan mencuba sesuatu yang di luar kebiasaan. Apa yang paling penting adalah perlu tahu siapa diri kita sebagai seorang artis. Dayang mahu muzik Dayang terus berkembang mengikut zaman tetapi masih mempunyai identiti Dayang Nurfaizah yang pendengar kenali.
Pernah stuck dalam mencari haluan setiap kali mahu menerbitkan naskhah muzik yang baru?
HH: Pendapat saya mudah, hebat mana pun kita rasa diri kita dalam industri hiburan ini, kita tetap kena belajar mendengar dan menerima pendapat orang lain. Mungkin ada cara kita yang salah selama kita ‘stuck’. Jadi buka ruang untuk orang memberi pendapat. Oleh sebab itu, saya sentiasa mencari rakan penulis untuk bekerjasama sebab saya rasa cara itu dapat membuahkan hasil selain bertukar idea dan skil. Ini juga salah satu cara untuk saya tidak syok sendiri dalam berkarya.
DN: Dayang rasa itu perkara biasa dalam proses berkarya, lebih-lebih lagi apabila kita sudah mempunyai pengalaman dan standard tertentu terhadap hasil kerja sendiri. Kadang-kadang terlalu banyak berfikir sehingga sukar untuk membuat keputusan. Dalam keadaan begitu, Dayang biasanya akan mengambil sedikit masa, mendengar semula material yang ada dan mendapatkan pandangan daripada orang yang Dayang percaya. Dayang juga percaya kita perlu belajar untuk keluar daripada zon selesa. Ada kalanya sesuatu yang kita tidak pernah bayangkan sesuai dengan diri kita sebenarnya boleh menjadi sesuatu yang sangat menarik apabila kita berani mencuba.


Dress, MAX MARA (Dayang), Jaket Kulit, EMPORIO ARMANI (Hael)
Sebagai karyawan yang berpengalaman dalam bidang showbiz, situasi bagaimana yang membuat Hael & Dayang say no?
HH: Saya sentiasa memilih cara diplomatik dalam bekerja. Saya akan berterus terang jika tidak gemar atau ingin menolak sesuatu perkara, kerja atau situasi. ‘No means NO!’
DN: Dayang rasa apabila sesuatu perkara itu tidak selari dengan prinsip, nilai dan tanggungjawab Dayang. Dalam industri ini, kita akan berjumpa dengan pelbagai jenis manusia dan situasi. So, Dayang percaya hubungan kerja yang baik perlu dibina atas dasar saling menghormati dan profesionalisme. Dayang juga belajar bahawa tidak semua peluang perlu kita ambil. Ada masanya kita perlu tahu batas dan keutamaan sendiri.
Apa yang pasti bakal menanti peminat di tahun 2027?
HH: Saya membayangkan untuk kembali berlakon pada tahun 2027. Ada beberapa tawaran yang sedang diteliti dan saya juga akan kembali ke acara minggu fesyen antarabangsa. Muzik pula, pihak pengurusan sedang merancang beberapa siri album tour dan akan menutup tahun 2027 dengan sebua konsert istimewa. Doakan semua ini menjadi kenyataan untuk saya.
DN: Dayang berharap 2027 akan menjadi tahun yang lebih baik dan produktif untuk Dayang dari segi muzik, insya-Allah. Dayang ada hasrat untuk kembali memberi tumpuan kepada penghasilan lagu baru dan sedang lihat apa yang boleh direalisasikan. Dayang juga teringin menghasilkan album Pop yang dapat memperlihatkan sisi muzik Dayang yang mungkin berbeza daripada apa yang pernah Dayang tampilkan sebelum ini.
Selain itu, Dayang berharap dapat terus mendekati peminat melalui persembahan dan projek-projek istimewa. Dayang tidak mahu terlalu awal menjanjikan sesuatu tetapi insya-Allah ada beberapa perkara menarik yang sedang diusahakan. Doakan agar segala perancangan dipermudahkan. Yang pasti, Dayang masih mempunyai banyak perkara yang ingin Dayang lakukan dalam muzik dan berharap peminat akan terus bersama Dayang dalam perjalanan ini.
Artikel berkaitan: DOMINASI SELEBRITI LELAKI ASIA DI MILAN FASHION WEEK SS26
Tags
Artikel Yang Berkaitan
DUA DEKAD HAEL HUSAINI: ANTARA AMBISI, EVOLUSI DAN LEGASI
Menerusi solo covernya yang ketiga bersama GLAM Lelaki, Hael Husaini menyingkap rahsia yang terus menyemarakkan semangatnya untuk bertahan, berkembang dan terus bersinar dalam industri.
HAEL HUSAINI, PERJALANAN MUZIK, SEBUAH PERJALANAN DIRI
Bagi Hael Husaini, perjalanan dalam muzik bukan sekadar tentang mengejar pencapaian, tetapi proses yang membentuk dirinya sebagai pemuzik.
7 NAMA DENGAN PENCALONAN TERTINGGI DI AIM25
Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) bakal berlangsung dengan barisan nama besar serta bakat baharu yang mencuri perhatian
AMT 2026: HAEL HUSAINI & AISHA RETNO PECAH REKOD DENGAN LIMA PENCALONAN
Hael Husaini dan Aisha Retno merupakan nama tersibuk yang berada di dalam barisan pencalonan Anugerah Melodi Terhangat (AMT 2026).
5 PENYANYI GENERASI BAHARU MALAYSIA YANG SEMAKIN MENYERLAH
Kehadiran penyanyi generasi baharu bukan sahaja menyegarkan industri hiburan tempatan, malah membuktikan bahawa bakat tempatan mampu bersaing dengan penyanyi yang sedia ada.
10 LAGU BAKAL BERENTAP MEMBURU GELARAN JUARA ANUGERAH JUARA LAGU 40
10 buah lagu diumumkan mara ke pentas akhir AJL 40 bagi memburu gelaran juara selepas berakhirnya saingan Separuh Akhir.











