Skip to content

GREEN DAY BAKAL GEGARKAN PENTAS KONSERT SULUNG DI MALAYSIA

GREEN DAY BAKAL GEGARKAN PENTAS KONSERT SULUNG DI MALAYSIA

Kongsikan artikel ini

Berita baik buat peminat kumpulan punk rock popular tahun 90-an dan 2000-an, Green Day.

Kumpulan legenda dari Amerika Syarikat ini akan menjayakan konsert pertama mereka di Malaysia tidak lama lagi. Bertempat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Green Days Live In Kuala Lumpur bakal menghiburkan anda pada hari Selasa, 18 Februari 2025.

Menurut penganjur Live Nation, Malaysia dipilih sebagai persinggahan kedua selepas Jakarta (15 Februari) bagi siri jelajah Asia. Ini diikuti dengan Jepun pada 21 dan 26 Februari. Singapura bagaimanapun tidak tersenarai.

“Live Nation Malaysia teruja mengumumkan legenda punk rock, Green Day akan membuat persembahan konsert pertama di Malaysia.

“Malaysia akan menjadi satu-satunya persinggahan di Asia Tenggara selain Jakarta bagi kumpulan ikonik itu,” jelas penganjur dalam satu kenyataan.

Konsert sulung Green Day di Kuala Lumpur

Kumpulan itu turut memuat naik satu perkongsian mengenainya di Instagram. Peminat tidak melepaskan peluang meluahkan keterujaan mereka di ruangan komen.

“Akhirnya. Kami sudah menunggu sejak tahun 90-an,” tulis seorang peminat. “Tolong kejutkan saya pada bulan September. Saya nak beli tiket,” komen seorang lagi peminat, merujuk kepada lagu popular mereka, Wake Me Up When September Ends.

Konsert Green Day Di Kuala Lumpur

Kumpulan yang ditubuhkan di Rodeo, California pada 1987 ini dianggotai oleh Billie Joe Armstrong (vokalis), Mike Dirt (gitar) dan Tree Cool (drum).

Green Day amat terkenal dalam generasinya dan telah menjual lebih 75 juta rekod di seluruh dunia. Ini termasuk lebih 24 juta jualan album di Amerika Syarikat.

Pada konsert sulung di Kuala Lumpur ini nanti, penonton akan dihiburkan dengan lagu-lagu daripada dua album terbesar kumpulan ini berjudul Dookie dan American Idiot.

konsert Green Day malaysia kuala lumpur

Foto: Getty Images

Dookie yang dikeluarkan pada 1994 menampilkan lagu-lagu hebat termasuk Basket Case dan When I Come Around. American Idiot pula dilancarkan sedekad kemudian pada 2014. Ia menjadi popular menerusi lagu hit Wake Me Up When September Ends dan Boulevard of Broken Dreams.

Buat ahli Live Nation, anda boleh mendapatkan tiket lebih awal sewaktu prajualan eksklusif pada 26 September dari jam 12 tengah hari hingga 11.59 malam. Jualan tiket awam pula akan dibuka ada 27 September bermula jam 11 pagi.

Pemegang Mastercard berpeluang mendapatkan akses khas untuk tiket prajualan bermula 24 September jam 10 pagi hingga 26 September jam 10 pagi.

 

Foto: Live Nation

Pautan berkaitan: IMAGINE DRAGONS KEMBALI HIBURKAN PEMINAT DI MALAYSIA