Skip to content

KONSERT SEBUAH EPITOME SAYA SITI NURHALIZA GEGAR AXIATA ARENA

KONSERT SEBUAH EPITOME SAYA SITI NURHALIZA GEGAR AXIATA ARENA

Kongsikan artikel ini

Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang diadakan pada 9 Mac di Axiata Arena, Bukit Jalil berjaya memukau hampir 12,000 peminat. Membuktikan dirinya tiada galang ganti.

Konsert berdurasi tiga jam ini menjadi saksi keunggulan Datuk Seri Siti Nurhaliza sepanjang 28 tahun berkecimpung dalam industri muzik tanah air. Dimulakan dengan Lagu Indah, peminat dihiburkan dengan persembahan memukau dan bertenaga menerusi 36 lagu termasuk medley.

Antara yang mencuri perhatian penonton adalah Bukan Cinta Biasa, Purnama Merindu, Aku Biadadari Syurgamu, Sehebat Matahari, Debaran Cintamu dan Oda Di Bumi Anbia. Tidak lupa juga koleksi lagu tradisional seperti Cindai, Joget Senyum Memikat dan Mahligai Permata.

Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza

Foto: Berita Harian

Konsert solo berkonsep amal ini menampilkan lima segmen iaitu Mimpi Ke Awan, Surat Harapan, Mega Karaoke dan Bayu Timur. Juga segmen istimewa, Judika Solo yang merupakan kejutan buat peminat. Siti turut mengundang penyanyi Syamel Fodzly secara spontan untuk berduet mendendangkan lagu Kalau Berkasih.

Siti Nurhaliza Tersentuh Dengan Sokongan Peminat

Penghibur berusia 45 tahun ini mengakui terkejut dengan sambutan penonton terhadap Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza.

“Ketika konsert ini diumumkan, saya takut dan berdebar serta tertanya-tanya, adakah orang nak tengok konsert saya? Anda buat saya terkejut apabila semua tiket licin’ dalam tempoh dua jam,” katanya kepada penonton.

Ibu kepada dua cahaya mata ini juga meluahkan rasa terharu dengan sokongan padu bukan saja daripada peminat tempatan tetapi juga dari Singapura, Indonesia dan Brunei. Seorang peminat setia dari Portugal yang hadir bersama isteri dan anaknya dilihat mengibarkan bendera negaranya sambil menonton persembahan Siti di atas pentas.

Foto: X

“Seperti peminat lain, dia sanggup ‘berjuang’ di hadapan komputer demi mendapatkan tiket. Kami sudah lama tidak berjumpa. Ketika mula berkenalan, anaknya kecil lagi. Sekarang, anak perempuannya hafal semua lagu saya,” kata Siti mengenai peminat istimewanya.

Konsert ini dianjurkan oleh Yayasan Nurjiwa bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa serangan Israel sejak Oktober tahun lalu. Sebahagian kutipan jual tiket akan digunakan untuk membeli keperluan asas bagi penduduk Palestin. Juga disalurkan ke Sekolah Afwa Al-Afiyah di Gaza yang diasaskan Yayasan Nurjiwa empat tahun lalu.

 

Foto: X

Pautan berkaitan: SITISM, ALBUM SOLO KE-20 SITI NURHALIZA AKHIRNYA MENEMUI PEMINAT