Homage filem dalam video What A Man Gotta Do daripada Jonas Brothers
Kumpulan Jonas Brothers meneruskan comeback mereka dengan muzik video terkini, What A Man Gotta Do yang baru dilancarkan minggu lalu. Diterajui pengarah Amerika-Korea, Joseph Kahn, yang turut mengarah video-video muzik ikonik seperti The Boy Is Mine dari Brandy & Monica, Toxic oleh Britney Spears, Without Me karya Eminem, dan Look What You Made Me Do dari Taylor Swift. Juga video Doesn’t Really Matter daripada Janet Jackson yang merupakan antara video muzik paling mahal produksinya (USD2.5 juta).
Seperti video muzik untuk Sucker, yakni lagu yang telah melonjakkan Jonas Brothers ke tangga nombor satu di carta US Billboard buat kali pertama dalam karier mereka, video What A Man Gotta Do menampilkan semula pasangan hidup adik-beradik Jonas ini dalam video yang penuh nostalgia. Yang melihatkan setiap pasangan Jonas melakonkan semula babak ikonik daripada tiga filem klasik era 70-an dan 80-an.
Dan jika anda dari generasi milenia atau kurang arif filem klasik Amerika, anda mungkin terlepas tangkap rujukan budaya pop yang dipertontonkan dalam video muzik ini. Tak mengapa, because got you covered!
Nick Jonas & Priyanka Chopra Jonas
Adegan pembukaan video melihatkan Nick Jonas meluncur masuk ke frame kamera memakai kemeja lengan panjang, kaca mata hitam, seluar dalam dan stokin putih sahaja sambil menyanyi. Idea asal ini sebenarnya diangkat daripada filem Risky Business (1983) lakonan Tom Cruise. Di mana Tom dilihat meluncur masuk ke foyer rumah lalu menari di sekitar ruang tamu sambil lip-sync lagu Old Time Rock And Roll dendangan Bob Seger.
Tom Cruise hanya berusia 21 tahun ketika berlakon babak itu. Dan 37 tahun kemudian, adegan ini kekal menjadi satu momen sinematik yang sering kali dirujuk atau diparodikan dalam budaya pop. Sebagaimana yang dihidupkan dalam filem Never Been Kissed (1999), pabila watak lakonan David Arquette memilih Tom Cruise dalam Risky Business sebagai kostum Halloween-nya. Tak lupa juga parodi siri iklan Guitar Hero: World Tour (2008) yang menampilkan atlet legenda Kobe Bryant, Michael Phelps, Tony Hawk bersama Alex Rodriguez sebagai satu kumpulan, dan supermodel Heidi Klum dalam iklan solo, masing-masing dalam kemeja dan seluar dalam atau seluar pendek kala bermain Guitar Hero.
Dan sebelum video muzik What A Man Gotta Do, tahun 2018 telah melihatkan artis Latin, Ricky Martin meniru gaya Risky Business untuk rancangan Lip Sync Battle pula.
Joe Jonas & Sophie Turner
Berlatar belakangkan pesta tari di dalam dewan sekolah, pasangan Joe Jonas & Sophie Turner melakonkan semula adegan dance off dari filem remaja, Grease (1978). Kemeja merah jambu bersama sut gelap yang disarungkan Joe memetik idea asal kostum hero filem itu, iaitu Danny lakonan John Travolta. Manakala Sophie berdansa dalam gaun putih seperti watak Sandy, lakonan Olivia Newton-John.
Menariknya, Sophie melakonkan dua watak berbeza iaitu Sandy dan watak bekas teman wanita Danny, yakni penari lincah Cha-Cha DiGregorio lakonan asal Annette Charles. Sebagaimana dalam filem, Cha-Cha dilihat merampas Danny daripada Sandy kala di lantai tari.
Kevin Jonas & Danielle Jonas
Satu lagi adegan filem cukup ikonik dari era 80-an. Kevin Jonas yang dilihat memainkan muzik dari telefon pintar yang diangkat di atas kepalanya adalah homage kepada filem Say Anything (1989) arahan Cameron Crowe. Di mana John Cusack cuba menambat hati buah hatinya dengan memainkan lagu In Your Eyes oleh Peter Gabriel dari boombox yang juga diangkat di atas kepalanya.
Satu lagi adegan filem klasik yang masih punya pengaruh dalam budaya Pop kontemporari. Baik di kaca televisyen seperti dalam siri The Simpsons (2000), Family Guy (2007) dan Orange Is The New Black (2016), juga di layar perak seperti dalam filem Easy A (2010) yang diterajui aktres Emma Stone.
Mungkin paling popular, adegan ini diparodikan dalam filem Deadpool 2 (2018) pabila watak anti-hero lakonan Ryan Reynolds itu cuba meyakinkan rakannya Colossus untuk mengikuti misinya. Walaupun Deadpool menggantikan boombox John Cusack dengan sebuah telefon pintar, lagu yang dimainkannya kekal lagu In Your Eyes oleh Peter Gabriel.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
JOE JONAS TEMUI CINTA SEKALI LAGI
Selepas empat bulan memutuskan hubungan dengan Stormi Bree, penyanyi berusia 35 tahun ini dilaporkan sudah pun menemui pengganti.
GAYA FESYEN RETRO LELAKI: INSPIRASI KLASIK UNTUK PENAMPILAN MODEN
Panduan gaya retro moden untuk lelaki, rahsia fesyen vintaj klasik dan bergaya menjadikan anda jejaka yang penuh karakter dan karisma.
5 AKTOR HOLLYWOOD YANG KELIHATAN KACAK BERAMBUT PANJANG
Kebanyakan bintang lelaki Hollywood pernah memiliki rambut panjang sepanjang kerjaya mereka terutama pada tahun 80-an dan 90-an.
20 GAYA SELEBRITI TERBAIK DI KEJOHANAN WIMBLEDON 2024
Kejohanan tenis paling berprestij, Wimbledon 2024 menyaksikan kehahiran barisan selebriti, pempenagruh media sosial, atlet sukan serta keluarga diraja United Kingdom dengan gaya musim panas yang chic.
5 SELEBRITI LELAKI YANG MEMILIH WANITA BERUSIA SEBAGAI ISTERI
Kita biasa melihat selebriti lelaki memilih pasangan lebih muda, namun senario sebaliknya kini semakin diterima dan menjadi ikutan di Hollywood.
7 PASANGAN SELEBRITI POPULAR DENGAN JURANG USIA KETARA
Menjalin hubungan dengan pasangan yang usianya jauh lebih muda atau lebih tua bukanlah satu perkara besar dalam dunia Hollywood.