KISAH EKSPEDISI DEREK FREAL, LELAKI INGGERIS PUJI KOMUNITI MUSLIM DI MALAYSIA
Di saat dunia mengecam agama Islam melahirkan pengganas serta menghalalkan pembunuhan dan penindasan sekaligus menyemarakkan Islamofobia di kalangan masyarakat dunia, netizen maya dikejutkan dengan penularan gambar seorang lelaki warga asing bersama dengan masyarakat tempatan Malaysia yang dimuatnaik ke dalam akaun Twitter sewaktu bercuti di sini. Yang menariknya, kepsyen yang ditulis mendapat respon serta perhatian ramai sekaligus menjadikan lelaki warga asing ini viral sekelip mata. ”Hey Trump, saya berada di negara muslim dan orang di sini lebih mesra berbanding orang di AS’. Ya, itulah kata-kata penulis blog pengembaraan HoliDaze.com, Derek Freal, dalam masa yang sama tidak segan silu membidas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Dalam tempoh beberapa ketika selepas itu, Derek kembali memuji komuniti Islam di Malaysia selepas beliau memuatnaik sekeping gambar di mana kelihatan beberapa warga tempatan membantu dirinya dan rakan sewaktu motosikal Derek mengalami masalah semasa membuat lawatan di Sabah baru-baru ini. Sekali lagi Derek menjadi topik bualan dan rata-rata ramai yang memuji dek etikanya yang ramah dan menghormati resam dan budaya apabila berada di negara orang. Atas sebab itu, GLAM Lelaki terpanggil untuk menghubungi dan memintanya berkongsi pandangan dan pengalamannya sepanjang berada di Malaysia. Teruskan membaca…
GLAM LELAKI: Boleh anda ceritakan serba sedikit mengenai diri anda?
DEREK FREAL: Terima kasih kepada pihak GLAM Lelaki kerana sudi menghubungi saya. Baiklah, nama saya Derek Freal dan saya dilahirkan di Amerika Syarikat pada tahun 1985. Saya merupakan seorang penulis blog dan saya amat suka mengembara. Walau kita tidak mampu memilih di mana kita ingin dilahirkan, tetapi kita boleh memilih untuk membuat apa yang kita inginkan dalam hidup. Kali terakhir saya mengembara ke Asia pada tahun 2008, saya membuat keputusan untuk berhenti kerja dalam bidang IT, lupakan kehidupan dan impian di Amerika, menjual rumah dan segala harta peribadi dan kini saya hidup dengan mengembara ke seluruh rantau Asia. Sudah tentu saya akan mengunjungi Eropah dan Amerika (kecuali “Trumperica”), tetapi saya pasti akan merindui Asia dan kembali ke sini lagi.
GLAM LELAKI: Boleh Derek kongsikan bersama pembaca tentang blog pengembaraan anda, theholidaze.com?
The HoliDaze datang dalam dua bahagian, theHoliDaze.com fokus kepada nasihat dan tip pengembaraan, dan blog.TheHoliDaze.com adalah dari sudut peribadi saya sebagai seorang nomad yang merantau ke setiap tempat yang lawati. Walapun saya mula menulis pada tahun 2008 sewaktu pertama kali berpindah ke Tokyo, saya mulai serius pada tahun 2011. Mulai tahun 2013, blog ini menjadi satu-satunya sumber pendapatan saya, dengan menerbitkan video-video untuk klien dalam industri perlancongan dan banyak lagi. Saya bukanlah blogger kembara yang sekadar menulis dan mengembara semata untuk mendapatkan bilik hotel percuma, penulisan saya lebih jujur dan saya akan menulis apa saja yang saya lalui, baik atau buruk tanpa rasa takut untuk kehilangan penaja mahupun klien.
GLAM LELAKI: Kenapa mengembara menjadi pilihan hobi anda?
Travel is addictive. Selain itu, pengembaraan mengajar kita mengenali dunia ciptaan Tuhan ini dengan lebih dekat, serta diri anda sendiri. Namun, anda tidak perlu terbang jauh semata atas sebab itu. Cadangan saya, terokai dahulu kampung halaman dan bandar raya terdekat dengan lokasi anda berada. Ajak bersama keluarga dan taulan. Saya telah mengembara di seluruh Amerika Utara dan Tengah, Eropah dan Scandinavia, termasuk Selatan, Timur dan Tenggara Asia. Saya masih belum berpeluang ke Amerika Selatan, Afrika atau Asia Barat.
Namun, yang menariknya saya sebenarnya tidak pernah merancang untuk pengembaraan seterusnya, saya lebih suka membiarkan angin menentukan haluan saya yang seterusnya. Secara teknikalnya, saya sepatutnya berada di Finland untuk sebuah projek, namun selepas tweet saya menjadi viral di Malaysia, saya membuat keputusan untuk membatalkan projek tersebut dan kekal tinggal di Malaysia. Ia keputusan yang tepat!
GLAM LELAKI: Kenapa Malaysia dan apa yang anda sukakan apabila berada di Malaysia? Mungkin Derek boleh kongsikan pengalaman sepanjang berada di Malaysia.
Ini merupakan kali kelima saya ke Malaysia, dan setiap pengembaraan saya di sini pastinya lebih baik dari yang sebelumnya. Walaubagaimanapun, ini pertama kali saya ke Sabah dan ia sangat menyeronokkan! Ya, sudah pasti saya akan kembali ke Malaysia. Namun, saya masih lagi di sini (Malaysia) dan belum membuat sebarang keputusan bila untuk pulang. Memandangkan, rakyat Malaysia di sudah memanggil saya dengan gelaran Mat Derek, saya membuat keputusan untuk tinggal sekejap di sini dan meneruskan siri jelajahan video saya di Malaysia. Paling tidak dapat saya lupakan adalah sewaktu pertama kali saya menjejakkan kaki di Sabah bersama rakan, malangnya motorsikal saya rosak ketika itu. Namun, mujurlah ada seorang pakcik yang sudi menumpangkan saya dan rakan ke bengkel terdekat. Saya amat menghargai pertolongan pakcik tersebut walaupun pakcik tersebut tidak meminta apa-apa balasan pun.
GLAM LELAKI: Baru-baru ini, anda memuat naik gambar dan tweet yang secara tiba-tiba viral di kalangan netizen maya tempatan. Boleh kongsikan kenapa anda berbuat demikian dan adakah anda menyangka ia akan menjadi viral dan mempopularkan diri anda? Dan apa pula pandangan peribadi anda mengenai sikap sesetengah pihak yang prejudis dengan komuniti Islam.
Sekiranya anda dapat saksikan di laman Twitter saya, penuh dengan gambar harian saya terutama sekali apabila saya mengunjungi negara-negara orang. Yang pasti saya tidak pernah menyangka gambar yang saya muat naik itu akan menjadi viral. Motifnya, saya hanya ingin berkongsi pengalaman saya sewaktu di sini dengan pembaca dan pengikut saya. Mengenai membidas Donald Trump pula, ia hanya sekadar pandangan peribadi saya selepas idea perlembagaan serta sekatan masuk atau #MuslimBan yang dikeluarkan olehnya.
Sejak lawatan saya di Malaysia pada tahun 2014 dan 2015, layanan yang saya terima terutama sekali dari masyarakat Muslim di sini ternyata mengujakan. Mereka melayan saya ibarat ahli keluarga walaupun saya berlainan budaya, adat dan agama. Ya, saya bukan Muslim, saya minum arak dan makan daging khinzir, tetapi mereka menerima saya seadanya. Dan masyarakat dunia sewajarnya tidak mendiskriminasi dan menghukumi atas apa yang berlaku kerana bagi saya ia sememangnya tidak adil. Saya pasti setiap agama tidak menghalalkan pembunuhan dan penindasan. Cuma, individu itu sendiri gagal dalam membezakan apa yang betul dan salah. Usahlah menilai seseorang atau negara mengikut kaum atau agama mereka. Ia tidak sepatutnya berlaku.
GLAM LELAKI: Kata-kata terakhir Derek kepada semua rakyat Malaysia?
Sejujurnya, saya berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas segala kata-kata positif serta pengalaman indah saya sepanjang berada di sini. Sekiranya anda ingin melihat apa yang lakukan di Malaysia, anda boleh lawati Instagram (@theholidaze) dan Twitter (@the_HoliDaze). Video penjelajahan saya di Malaysia akan saya muat naik tidak lama lagi ke saluran YouTube saya youtube.com/user/theholidaze. Terima kasih semua! Terima kasih GLAM Lelaki!
Photo credit: Derek Freal
Oleh Wan Mohd Firdaus, 8 Mei 2017
Tags
Artikel Yang Berkaitan
KEHIDUPAN SONG JOONG KI DISERIKAN DENGAN KEHADIRAN CAHAYA MATA KEDUA
Sama seperti anak lelaki sulungnya, cahaya mata kedua Song Joong Ki turut dilahirkan di sebuah pusat perubatan di Rom, Itali.
ERNIE ZAKRI CIPTA SEJARAH TERSENDIRI DI PENTAS ANUGERAH INDONESIA
Rezeki mengiringi penyanyi genit bersuara merdu, Ernie Zakri apabila dinobat sebagai pemenang anugerah Soundtrack Sinetron Paling Ngetop di Anugerah Muzik SCTV 2024.
BENARKAH MAKAN SAMBIL BERMAIN TELEFON BOLEH MENINGKATKAN BERAT BADAN?
Hari ini ramai daripada kita memilih untuk menikmati hidangan sambil memegang telefon bimbit dan melayari laman sosial. Tindakan ini sepatutnya dielakkan!
5 TIP UNTUK PASTIKAN PENAMPILAN RAMBUT ANDA SENTIASA BERGAYA
Sama seperti wanita, rambut mahkota buat kaum Adam. Terutama di kalangan lelaki metroseksual yang mementingkan penggayaan dan penjagaan rambut.
BAGAIMANA PAUL MESCAL BINA OTOT UNTUK WATAK LUCIUS DALAM GLADIATOR II?
Otot kekar Paul Mescal mencuri perhatian dalam filem sekuel yang dinantikan peminat, Gladiator II.
JONATHAN BAILEY DISAHKAN KEMBALI DALAM BRIDGERTON MUSIM KEEMPAT
Musim baru Bridgerton berkisar tentang percintaan anak lelaki kedua dalam keluarga Bridgerton iaitu Benedict dan pasangannya, Sophie Baek.