Skip to content

KONSERT COKELAT KEMBALI DI KUALA LUMPUR DIBATALKAN

KONSERT COKELAT KEMBALI DI KUALA LUMPUR DIBATALKAN

Kongsikan artikel ini

Jun lalu Cokelat memberi kejutan menggembirakan dengan mengumumkan akan kembali ke Malaysia selepas 14 tahun.

Kumpulan rock alternatif dari Bandung, Indonesia itu dijadualkan membuat persembahan mega di Zepp Kuala Lumpur pada 7 September 2024. Malangnya perancangan itu kini dibatalkan.

Tanjal Global Services selaku penganjur memaklumkan pembatalan Konsert Cokelat Kembali terpaksa dibuat atas alasan yang tidak dapat dielakkan.

“Dengan penuh rasa kesal, kami terpaksa membuat keputusan untuk membatalkan Konsert Cokelat Kembali. Keputusan ini dibuat atas sebab tidak dapat dielakkan dan di luar kawalan.

“Ini adalah keputusan bersama Cokelat dan mereka sudah pun dimaklumkan mengenai perkara ini secara rasmi. Kami memahami kekecewaan peminat Cokelat dan dengan penuh tulus ikhlas, kami mohon maaf atas kesulitan yang timbul berikutan keputusan ini.”

konsert cokelat dibatalkan

Tambah penganjur, pemegang tiket akan menerima bayaran balik penuh melalui Ubertickets, menggunakan kaedah pembayaran asal.

Cokelat Kembali Hidup Selepas Sedekad

Pengumuman tentang pembatalan Konsert Cokelat Kembali membuatkan ramai pencinta muzik rock alternatif berduka. Apa tidaknya, peminat sememangnya sudah lama menantikan konsert kumpulan ini sejak mereka berpecah 14 tahun lalu.

Coklat yang dianggotai oleh Kikan (vokalis), Edwin (gitar), Ernest (gitar), Ronny (bass) dan Ervin (dram) ditubuhkan pada 1996. Mereka membawa haluan masing-masing pada 2010 selepas pengunduran Kikan untuk memberi tumpuan penuh kepada anak-anaknya yang masih kecil.

Mereka kembali bersatu menerusi persembahan Hari Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 2022.

“Mungkin ini rahsia Allah. Tak pernah terlintas di fikiran saya untuk bergabung dengan abang-abang saya di sini. Jadi reunion ini sangat istimewa,” kata Kikan, menurut laporan Kosmo!.

cokelat

Jun lalu Kikan juga meluahkan rasa teruja kerana berpeluang menghiburkan peminat di Malaysia sekali lagi.

“Seperti semua tahu, kali terakhir kami membuat persembahan di Malaysia adalah pada 14 tahun lalu. Memang sudah cukup lama. Kami berharap persembahan ini dapat mengubat rindu peminat-peminat setia.

“Terima kasih kami ucapkan kepada semua peminat di Malaysia. Kami juga sangat rindukan Malaysia yang sudah kami anggap seperti rumah kedua,” katanya.

 

Foto: Harian Metro

Pautan berkaitan: SHEILA MAJID & DISKORIA BERKONGSI PENTAS KONSERT