MAKSUD PIN PROTES YANG TERSEMAT PADA BUSANA SELEBRITI DI OSCAR 2024
Bukan Oscar namanya jika selebriti beraksi di karpet merah tanpa membuat kenyataan politik menerusi fesyen.
Tahun ini beberapa tetamu menghadiri malam terbesar Hollywood sambil memakai pelbagai pin untuk menyatakan pendirian mereka. Daripada menyeru gencatan senjata kepada memperjuangkan kesaksamaan dalam industri hiburan.
Lihat pin tanda protes yang dipakai selebriti di Oscar dan makna di sebaliknya
Pin Gencatan Senjata
Ramai selebriti memakai pin Artists4Ceasefire merah untuk menyeru gencatan senjata dalam serangan Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza. Sekumpulan penyokong termasuk orang dalaman industri hiburan yang menandatangani surat terbuka kepada Presiden Joe Biden menggesa beliau supaya gencatan senjata dilakukan dengan segera.
Pelakon Poor Things, Ramy Youssef yang merupakan salah seorang penyampai Oscar 2024 tiba karpet merah dalam persalinan serba hitam dengan pin merah disemat pada lapelnya.
“Kami menyeru gencatan senjata segera di Gaza. Kami menyeru keamanan dan keadilan yang berkekalan untuk rakyat Palestin. Ini adalah mesej universal, ‘Berhentilah membunuh kanak-kanak. Jangan kita menjadi sebahagian daripada peperangan’.
“Kita perlu bertanya diri sendiri secara jujur, jika pemimpin berfikir gencatan senjata sepatutnya sudah lama dilakukan, mengapa ia masih belum berlaku? Sebab itulah kami menggalakkan semua orang untuk bersuara,” katanya di karpet merah.
Selain Ramy, bintang lain yang memakai pin Artists4Ceasefire untuk menyokong usaha ini termasuk Billie Eilish, Finneas O’Connell, Riz Ahmed, Mahershala Ali, Ana DuVernay dan Mark Ruffalo. Awal tahun ini Mark memakai pin sama di DGA Awards dan berkata, “Kita sudah tahu pengeboman tidak mendatangkan hasil dan tidak akan mencetus keamanan. Jadi apa salahnya beri peluang kepada gencatan senjata?”
Pin Kesaksamaan Gaji
Pereka kostum filem Napoleon yang menerima pencalonan Oscar, David Crossman memakai pin merah jambu Pay Equity Now di karpet merah Oscar. Awal tahun 2024 barisan pereka kostum melancarkan gerakan ini untuk kesaksamaan gaji dan jantina serta mendapatkan keadilan dalam industri.
Pin Bendera Palestin
Bintang Anatomy of a Fall Milo, Machado-Graner dan Swann Arlaud berjalan di karpet merah dengan memakai pin bendera Palestin. Sementara itu di luar Teater Dolby, beratus-ratus penunjuk perasaan berarak dan menyeru agar gencatan senjata dilakukan dengan segera.
Foto: Pedestrian TV
Pautan berkaitan: BERAPA PERBELANJAAN SEBENAR ANUGERAH BERPRESTIJ OSCAR?
Tags
Artikel Yang Berkaitan
OSCAR 2024: LIHAT SENARAI PENUH PEMENANG
Seperti yang dijangka, Oppenheimer terus mendominasi kemenangan di pentas Anugerah Akademi ke-96.
FESYEN LELAKI TERBAIK DAN TERBURUK DI OSCAR 2024
Karpet merah Oscar ke-96 diserikan dengan kehadiran selebriti Hollywood popular dalam persalinan pereka ternama.
SENARAI PENUH PENCALONAN OSCAR 2024
Senarai pencalonan Oscar 2024 yang diumumkan oleh Zazie Beetz dan Jack Quaid baru-baru ini menyaksikan beberapa kejutan dan ‘penghinaan’.