Skip to content

SUSUK SEGAR KOMPAK SAV BMW X1

Kongsikan artikel ini

Selain BMW 320i Sport, BMW Malaysia telah merungkaikan susuk terbaru BMW X1 sDrive20i M Sport. Dua varian terbaru dalam portfolio barisan kenderaan yang dipasang di Malaysia ini mengukuhkan lagi komitmen pengeluar kenderaan premium dalam inisiatif pelaburan yang berterusan di dalam negara. Sejajar dengan matlamat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memperkukuhkan industri automotif pada tahun 2020.

Kata Harald Hoelzl merangkap Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, “Kami mengalu-alukan tahun 2020 dengan jilid baru dalam Karya Pemanduan Mengujakan yang kami tawarkan. Kali ini dengan BMW X1 sDrive20i M Sport dan BMW 320i Sport terbaru; kedua-duanya dipasang di peringkat tempatan, serta tergolong dalam segmen portfolio kami di Malaysia yang paling laris. Varian BMW 3 Series ini mengetengahkan jiwa keterujaan moden dalam segmen sport, sementara jentera Sports Activity Vehicle (SAV) tersebut pula mempersembahkan nuansa kelasakan yang diperbaharui dalam rangkaian BMW X.”

Susuk rekaan terbaru BMW X1 sDrive20i M Sport kini membiaskan pesona karismanya yang lebih menyerlah di atas jalan raya. Komponen gril ‘kidney’ dengan dua bahagian berkembar kini disatukan di tengah. Langsung, bampar hadapannya disempurnakan dengan lampu kabus LED berintegrasi serta salur masuk udara yang lebih besar bertujuan untuk memberikan jentera SAV baru ini penampilan yang lebih dinamik. Komponen tiub dalam lampu hadapan LED berbentuk heksagon, menonjolkan lagi perwatakan moden BMW X1 sDrive20i M Sport. ‘Lights Package’ juga merangkumi ‘Welcome Light Carpet’. Apabila pintu kenderaan ini dibuka, sumber cahaya LED di cermin luar bersebelahan dengan tempat duduk pemandu memancarkan karakter “X1” ke atas lantai dalam dua tona warna. Lampu belakang LED jentera ini juga menampilkan reka bentuk baru, dengan bar LED tunggal menyerlahkan corak bentuk L dari sisi ke sisi.

Menerusi Suspensi M Sport, jarak kelegaan tanah diturunkan sebanyak sepuluh milimeter kini 1,588 mm. Sehubungan itu, trim BMW Individual High-gloss Shadow Line dan Pakej Aerodinamik M menambah efisiensi dan kelasakan SAV ini. Ia turut diserlahkan melalui paip ekzos kanan dan kiri, yang kini bersaiz lebih besar daripada ukuran 70 milimeter kepada 90 milimeter.

SAV terbaru ini juga dipasangkan set roda aloi ringan M 18 inci dengan Penggayaan ‘Double-spoke’ 570 M Dwi-rona. Penguasaan BMW X1 sDrive20i M Sport dijana menerusi enjin petrol empat silinder 2.0 liter, lantas digandingkan dengan transmisi Steptronic Sport Dwi-Klac 7 Kelajuan. Jentera ini mampu mencapai kelajuan tertinggi mencecah 224 km/j. Output maksimumnya bersamaan dengan 192 kk (kuasa kuda) pada paras 5,000 – 6,000 rpm, dan puncak torknya ialah 280 Nm pada paras 1,350 – 4,600 rpm. Terus, BMW X1 sDrive20i M Sport mampu memecut dari kelajuan 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat dan SAV baru ini menggunakan bahan api gabungan berjumlah 6.5 liter bagi setiap 100 km, dan emisi karbon gabungan berjumlah 149 g/km.

Menjengah sudut interior BMW X1 sDrive20i M Sport terbaru, jentera ini diperkemas dengan trim interior yang menawan dalam rona Aluminium lalu diperhalusi dengan kemasan trim dalam Krom Mutiara. Elemen central infotainment jentera ini hadir dengan skrin sentuh 8.8” sistem navigasi yang terletak di tengah papan pemuka. Ia boleh digunakan untuk mengawal fungsi-fungsi hiburan dan navigasi, dengan kawalan suara serta Pengawal iDrive (iDrive Controller) di konsol sentral yang disediakan sebagai kaedah input alternatif.

Perkhidmatan BMW ConnectedDrive juga ditampilkan bersama SAV alaf baru ini. BMW X1 sDrive20i M Sport terbaru tampil dengan empat warna yakni Biru (Misano Blue), Hitam (Black Sapphire), Putih (Alpine White) dan Kelabu (Mineral Grey) yang digandingkan dengan upholsteri premium “Black Leather Dakota”.

Teks asal: ZUHAIRIE SAHROM

By Abdul Aziz Draim
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

5 Filem Patriotik Malaysia Sempena Hari Kemerdekaan

5 FILEM PATRIOTIK MALAYSIA SEMPENA HARI KEMERDEKAAN

Bacaan Lanjut
mercedes-benz glc 300

#GLPANDUUJI MERCEDES-BENZ GLC 300 4MATIC

Bacaan Lanjut

CUBA RESEPI MILO® INI SEMPENA KEDATANGAN PARK SEO-JUN KE MALAYSIA

Bacaan Lanjut
AKTIF BERLAKON DAN MENGACARA, INI SISI BERGAYA AIMAN WYNNE

AKTIF BERLAKON DAN MENGACARA, INI SISI BERGAYA AIMAN WYNNE

Bacaan Lanjut
KEJUTAN BUAT PEMINAT, UNGU LANJUTKAN KONSERT SATU HARI LAGI

KEJUTAN BUAT PEMINAT, UNGU LANJUTKAN KONSERT SATU HARI

Bacaan Lanjut
FESTIVAL DAN KONSERT MUZIK MENARIK DI ASIA 2022

FESTIVAL DAN KONSERT MUZIK DI ASIA 2022

Bacaan Lanjut